Seperti kami kongsikan sebelum ini, Hoyoverse sekali lagi menganjurkan HoYo Fest di Malaysia dan kali ini mereka telah bekerjasama dengan La Juiceria Superfoods Singature. Sebagai permulaan, HoYo Fest untuk Genshin Impact dianjurkan sehingga 9 Oktober sebelum Tears of Themis dan Honkai Impact mengikuti selepas itu.

Maklumat lanjut boleh dibaca melalui pautan ini; HoYo Fest Kembali Di Malaysia Pada Akhir Bulan Ini.

Dengan kerjasama bersama Hoyoverse dan juga La Juiceria saya berkesempatan untuk mengunjungi HoYo Fest tersebut hari ini dan berikut adalah pengelaman saya.

Lokasi

La Juiceria Superfoods Signature mempunyai beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang akan tetapi, hanya satu restoran sahaja yang terlibat dengan HoyoFest ini iaitu cawangan Nadi Bangsar. Anda boleh rujuk peta di bawah.

Namun, bagi anda yang berminat untuk mengunjungi HoyoFest ini, perlu melakukan tempahan terlebih dahulu dengan mengunjungi laman ini, dan memilih slot masa yang bersesuaian dan juga yang masih mempunyai kekosongan.

Setiap tempahan, pengunjung perlu memilih di antara dua pilihan set makanan iaitu Regular Set berharga RM36 dan Deluxe Set berharga RM45.

Jika anda hadir menggunakan kenderaan sendiri, terdapat ruangan parkir disediakan di bangunan tersebut, dan lebih kurang 2 jam bayaran parkir adalah RM4.40 sahaja, dan semasa saya mengunjungi ruangan parkir bukanlah satu masalah kerana terdapat banyak slot kosong.

Suasana

Restoran ini telah dihias dengan pelbagai hiasan berdasarkan Genshin Impact, terdapat juga satu ruangan yang dihias dengan tumbuh-tumbuhan bersama dengan watak baharu dari Sumeru iaitu iaitu Tighnari dan juga Collei.

Semasa saya mengunjungi terdapat juga beberapa orang cosplayer yang mengayakan watak daripada Genshin Impact, antaranya adalah Yae Miko, Zhongli dan Nahida. Ada beberapa cosplayer yang dibawakan oleh restoran sendiri, dan ada juga yang hadir sebagai pelanggan.

Manakala jika anda berminat untuk membeli barangan-barangan Genshin Impact, ia akan mempunyai satu ruangan khas. Saya perlu beratur untuk beberapa minit sebelum dapat membeli, akan tetapi oleh kerana ia adalah terhad kepada pengunjung yang melakukan tempahan sahaja oleh itu ia tidak akan menjadi terlalu lama.

Setiap pengunjung boleh membeli 10 barangan sahaja pada satu masa, dan setiap jenis barangan satu sahaja boleh dibeli. Semasa memasuki restoran anda akan diberikan satu kad yang akan ditanda apabila membeli barangan.

Anda juga hanya boleh berada di dalam restoran tersebut lebih kurang 45 minit sahaja, oleh itu perlu makan dan membeli barangan di dalam tempoh tersebut agar dapat memberi laluan kepada pengunjung di slot yang seterusnya.

Makanan

Sebagai satu restoran, dan juga tema untuk Hoyo Fest adalah mencuba makanan bertemakan setiap permainan. Bagi Genshin Impact, mereka menawarkan 1 Main + 1 Minuman untuk Regular Set dan tambahan 1 Appetizer untuk Deluxe Set.

Bagi Main, pilihan makanan adalah Satisfying Salad, Northern Smoked Chicken, atau Imported Poultry bagi Smoked Chicken dan Poultry, pengunjung boleh memilih di antara nasi ataupun salad. Manakala pilihan minuman pula adalah Apple Cide, Berry & Mint Burst dan Wolfhook Juice. Bagi appetizer, pula akan mendapat Chicken Mushroom Skewer dan Mondstadt Grilled Fish.

Saya mencuba Norther Smoked Chicken, Berry & Mint Burst dan sangat berpuas hati dengan bahagian makanan, air mungkin perlu tambahan satu gelas lagi untuk rasa mencukupi. Bagi appetizer, kedua-dua juga sangat lazat dan penutup yang baik.

Untuk maklumat lanjut mengenai Hoyo Fest ini anda boleh layari laman rasmi untuknya.

Sohor Kini