Sekarang Ialah Masa Terbaik Menonton The Crown Di Netflix

Ratu Elizabeth meninggal dunia awal pagi tadi selepas beberapa bulan gering. Kematian beliau disambut dengan sayu oleh warga Britain dan diraikan oleh warga negara yang pernah menjadi mangsa kolonisasi Empayar British selama ratusan tahun. Semasa berita beliau dilaporkan gering muncul di susur masa media sosial sekitar jam 8 malam semalam, aku mengambil keputusan menonton semula musim pertama The Crown di Netflix.

Bagi yang tidak pernah menonton The Crown, ini adalah siri mengenai kehidupan keluarga diraja England dengan Ratu Elizabeth menjadi watak utama. Kita mengikuti perjalanan hidup beliau semasa kemelut pemerintahan Edward VIII yang menyebabkan beliau turun takhta demi cinta. Di Netflix sebanyak empat musim sudah ditayangkan dengan dua lagi musim telahpun diluluskan.

Sekiranya anda belum pernah menonton The Crown, hujung minggu ini adalah waktu yang cocok sekali untuk menontonnya buat pertama kali dan bagi yang sudah menontonnya pula musim pertama perlu ditonton sekali lagi kerana terdapat banyak persamaan dengan situasi semasa.

Pada musim pertama kita disajikan beberapa episod yang berkisar dengan kematian George VI, bapa kepada Elizabeth. Ia boleh memberikan sedikit gambaran apakah yang sedang berlaku di belakang tabir selepas seorang ketua negara meninggal dunia. Situasi yang dipaparkan dalam The Crown menarik kerana Putera Harry sekarang berada di tempat yang sama dengan Putera Edward semasa menghadiri pengebumian adik beliau.

Seperti Edward, Harry mengumumkan beliau ingin keluar dari payung keluarga diraja. Keputusan yang tidak disenangi oleh Ratu Elizabeth tetapi dibenarkan juga kerana beliau bukan lagi waris utama takhta. Dalam The Crown, Wallis Simpson isteri Edward dilarang dari menghadiri pengebumian George VI bagi menjadi sensitiviti keluarga yang lain. Ini menimbulkan spekulasi mungkin Megan Markle kelak turut akan dilarang dari menghadiri pengebumian Elizabeth atas alasan yang sama. Beliau dipersalahkan “memecahkan keharmonian keluarga diraja” sejak bernikah dengan Harry pada tahun 2018.

Selain menjadi tingkap ke dalam keluarga diraja yang berahsia, ia turut boleh memberikan kita sedikit pemahaman mengapa ada pihak yang gembira dengan kematian Elizabeth awal pagi tadi. Walaupun tidak cukup lengkap seperti sebuah dokumentari, plot mengenai perkahwinan Diana Spencer, bagaimana beliau menguruskan skandal mendiang Puteri Margaret dan kebangkitan di Ireland boleh menjadi batu loncatan untuk penonton kemudian menyelami Wikipedia untuk mendapatkan nuance mengapa ramai yang “kurang hajar” menyambut kematian Elizabeth.

Selepas habis empat musim dan anda merasakan masih ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan Ratu Elizabeth, anda boleh tonton pula The Royal House of Windsor juga di Netflix. Siri dokumentari ini membincangkan keluarga ini dengan lebih mendalam tetapi anda harus pantas kerana ia akan ditarik dari katalog Netflix pada 29 September.

Sohor Kini