Warner Bros. Discovery telah mengubah strategi mereka untuk filem-filem DC dan filem yang disiarkan ke HBO Max. Mereka kini hanya akan mengeluarkan filem jika sudah yakin sahaja, sementara dunia filem DC akan diolah semula dengan mempunyai perancangan untuk 10 tahun seterusnya.
Banyak projek siri TV DC dan filem DC telah dibatalkan. Misalnya yang paling besar adalah filem Batgirl lakonan Leslie Grace. Variety melaporkan yang Warner Bros. Discovery masih berminat untuk Leslie kekal sebagai Batgirl/Barbara Gordon untuk projek akan datang.
Tetapi projek apakah itu? Filem Matt Reeves pencipta filem The Batman turut ingin hadir dengan sekuel, namun tiada sebarang kemaskini mengenainya. Filem DC lain yang dalam pembangunan seperti Wonder Woman 3 arahan Patty Jenkins, Superman dengan skrip oleh Ta-Nehisi Coates, Zatanna yang ditulis Emerald Fennell dan juga Static Shock yang diterbit oleh Michael B. Jordan – semuanya belum diluluskan oleh Warner Bros. Discovery lagi.
Jadi ada potensi filem-filem ini jika diteruskan Batgirl boleh muncul. WBD turut ingin jadikan dunia filem DC sebagai satu dunia untuk semua dan tidak lagi berasingan.
Antara filem yang diluluskan adalah seperti Blue Beetle yang ingin fokuskan kepada komuniti Mexico. Filem ini mempunyai bajet $100 juta dan akan ditayangkan pada tahun 2023. Filem sampingan Birds of Prey and the Fantabulous Emancipation of One Harley Quinn yang memfokuskan kepada Black Canary turut akan dihasilkan khusus di HBO Max.
Jadi buat masa ini, kita masih tidak tahu apakah dunia filem DC yang WBD ingin hasilkan. Sama-sama kita nantikan.
Sumber: Variety