Warner Bros. Discovery telah mengumumkan strategi baharu untuk filem-filem dan projek lain mereka pada minggu lalu. HBO Max dan Discovery+ akan disatukan, dunia filem DC akan diolah semula, dan mereka hanya akan keluarkan filem jika yakin filem itu cukup bagus dan boleh laris.
Bukan itu sahaja, untuk menjimatkan kos banyak filem dan siri TV telah dibatalkan pembangunannya. Filem yang sudah hampir siap seperti Batgirl turut menerima nasib malang, dibatalkan.
David Zaslav, CEO Warner Bros. Discovery turut memberitahu filem yang ditayangkan di pawagam tidak lagi akan disiarkan di HBO Max selepas 45 hari tayangan. Malah, filem yang dikeluarkan khusus untuk pawagam akan masuk ke platform penstriman mereka bergantung kepada prestasi filem.
Menurut David, filem di pawagam harus fokus kepada kutipan di pawagam serta untuk pengalaman menonton yang baik. Selepas ia tiba ke platform penstriman, filem itu ada potensi untuk kekal menjadi baik dan diminati ramai.
Beliau menyatakan, filem The Batman dan Elvis adalah contoh di mana di pawagam ia mempunyai tarikan yang baik dan kekal hebat selepas masuk ke HBO Max.
Ini bermakna, mereka yang terlepas menonton filem Warner Bros. di pawagam selepas ini mungkin perlu tunggu lebih lama untuk strim. Jika bernasib baik, barulah boleh strim lebih awal.