Warner Bros Discovery akan melakukan pengumuman prestasi kewangan mereka sekitar minggu ini, dan menurut Reuters dan juga Fox Business, mereka akan melakukan pengumuman mengenai strategi baharu bagi perniagaan penstriman.

Antara fokus utama yang ingin dilakukan adalah menggabungkan penawaran HBO Max yang memfokuskan kepada filem dan siri TV dengan Discovery+ yang lebih memfokuskan kepada rancangan realiti seperti dilaporkan pada bulan Mac lepas.

Gabungan ini dikatakan akan mengurangkan kos kerana dapat mengurangkan jumlah pengurus dan juga pekerja selain daripada pemasaran.

Jenama dan juga harga perkhidmatan penstriman baharu ini masih lagi dibincangkan di Warner Bros Discovery dan mungkin tidak akan diumumkan dalam masa terdekat. Namun ada kemungkinan yang ia tidak lagi menggunakan jenama HBO Max.

Warner Bros Discovery juga dikatakan akan memperkenalkan akaun secara percuma dengan menyertakan iklan, namun ia juga tidak akan diumumkan dalam masa terdekat. Selain daripada itu, mereka juga dikatakan akan memberi lebih fokus kepada penawaran filem-filem klasik sesuatu yang tidak diketengahkan di perkhidmatan HBO Max.

Mereka sebelum ini telah mengumumkan pembatalan filem Batgirl yang sepatutnya disiarkan secara terus di dalam HBO Max walaupun sudah berbelanja lebih $90 juta kerana merasakan yang filem tersebut masih memerlukan lebih banyak masa dan wang ringgit untuk disiapkan.

Sohor Kini