Ulasan Godzilla vs Kong – Benda Boleh Gaduh

Godzilla vs Kong merupakan filem keempat untuk siri MonsterVerse oleh Legendary, ia adalah filem ketiga untuk Godzilla selepas Godzilla pada tahun 2014, dan Godzilla: King of the Monsters pada tahun 2019 dan merupakan filem kedua bagi Kong selepas Kong: Skull Island yang dikeluarkan pada tahun 2017. Seperti judulnya, ia adalah filem pertama yang dihasilkan oleh hollywood menyertakan dua raksasa ini dalam satu filem.

Ia diarahkan oleh Adam Wingard yang mengarah filem seperti Death Note, Blair Witch dan The Guest. Senarai pelakon pula adalah seperti berikut Alexander Skarsgård sebagai Dr. Nathan Lind, Millie Bobby Brown sebagai Madison Russell, Rebecca Hall sebagai Dr. Ilene Andrews, Kaylee Hottle sebagai Jia dan Demián Bichir sebagai Walter Simmons.

Adakah ia filem gergasi seperti judulnya? Ataupun filem yang gagal mencapai potensi? Berikut adalah ulasan saya untuk Godzilla vs Kong.

Dua Gergasi, Satu Filem

Bagi yang mengikuti filem-filem MonsterVerse sebelum ini mungkin berbelah bahagi apabila bercakap mengenai Godzilla melawan Kong kerana melalui filem masing-masing, dua raksasa gergasi ini boleh dikatakan adalah watak “protagonis”. Ia juga akan menimbulkan pertanyaan apa yang berlaku?

Saya boleh katakan yang sebab ia terjadi disampaikan dengan terus dan tidak meleret serta filem ini juga tidak menjadikan ia terlalu misteri. Sebaliknya pada awal lagi ia terus dijelaskan, walaupun bagi saya ia tidak terlalu kukuh, namun ia masih lagi menjadi jawapan kepada persoalan saya sebelum menontonnya. Mungkin ada yang lebih suka jika ia menjadi persoalan sehingga akhir filem, akan tetapi bagi saya ia adalah perkara yang terlalu penting bagi penceritaan untuk terus kekal menjadi misteri. Oleh itu, cara filem ini lakukan, adalah cara yang tepat.

Sebaliknya, misteri lebih kepada mengenai mengapa perkara tersebut dilakukan. Bagi saya, ia bukanlah terlalu misteri, kerana saya dapat merasakan apa motif utama mereka dan ia juga adalah penceritaan yang cliche. Oleh kerana itu, dengan mudahnya saya dapat menjangkakan apa yang akan berlaku. Walaupun begitu, ia masih dilakukan dengan menarik dan seperti orang kata perjalanan lebih penting berbanding destinasi.

Tarikan utama filem ini sudah semestinya adalah pertarungan di antara Godzilla dan Kong, berdasarkan treler lagi saya sudah mempunyai harapan yang tinggi untuknya dan saya boleh katakan filem ini tidak mengecewakan. Ia dilakukan dengan baik, saya tidak perasan sebarang kecacatan pada CGI. Kedua-dua gergasi ini direka dengan baik, tidak mengejutkan dengan apa yang sudah disertakan daripada filem-filem sebelum ini.

Jika saya ingin merungut, adalah pertempuran di antara dua ini walaupun epik tetapi tidak membawa perasan gementar mungkin kerana saya sudah dapat menjangkakan apa yang akan terjadi di dalam filem ini. Tidak kira anda menyokong Godzilla ataupun Kong, akan ada bahagian yang menjadi “kejayaan” untuk anda.

Susunan Plot Yang Baik

Secara jujur-nya, saya risau mengenai filem ini selepas mengetahui yang Adam Wingard akan menjadi pengarah. Filem terakhir beliau iaitu filem aksi nyata Death Note untuk Netflix, sangat bercelaru dan saya jangkakan perkara yang sama akan berlaku di dalam Godzilla vs Kong. Namun, kerisauan saya tersebut adalah tidak berasas kerana walaupun mempunyai beberapa masalah yang saya akan ceritakan dengan lebih mendalam selepas ini, akan tetapi secara keseluruhan filem ini membawa satu penceritaan yang baik serta teratur. Ia tidak terlalu meleret ataupun terlalu gopoh.

Bagi menjelaskan mengenai pelbagai perkara baharu yang tiba di dalam filem ini, ia dilakukan dengan ringkas dan sekadar memperlihatkan permukaan sahaja. Pada pengakhiran filem, terdapat pelbagai persoalan, ia sedikit mengecewakan, akan tetapi saya merasakan ia akan diterangkan dengan lebih lanjut di filem-filem yang akan datang. Oleh itu, ia sesuatu yang saya maafkan, tambahan Godzilla ataupun Kong bukanlah watak yang boleh bercakap untuk menerangkan apa yang sedang berlaku, oleh itu, saya faham jika ia sedikit sukar untuk disampaikan dengan cara yang tradisional.

Ada masa ia memperlihatkan perkara baharu dengan terlalu banyak, terlalu cepat, oleh itu saya merasakan perlu untuk memfokuskan apa yang berlaku terlebih dahulu berbanding cuba memahami segala perkara. Namun, saya tidak merasakan ia salah, jika semasa anda menontonnya anda terasa terlalu banyak perkara yang tidak diterangkan dengan baik. Ia mungkin akan menjejas pengalaman tontonan anda.

Manusia Yang Lemah

Benar, jika ingin dibandingkan dengan raksasa gergasi seperti Godzilla ataupun Kong siapalah manusia, akan tetapi di dalam filem ini saya juga merasakan yang bahagian manusia adalah bahagian paling lemah dan pelbagai masalah berlaku kerana perlunya menyertakan manusia di dalamnya. Watak-watak manusia adalah penting, saya tidak merasakan filem ini boleh dilakukan tanpa mereka akan tetapi ia dilakukan dengan kurang baik.

Masalah pertama mengenainya adalah perkembangan watak dilakukan dengan bercelaru, watak seperti Dr. Nathan Lind serta Dr. Ilene Andrews terasa sangat mengelirukan dan perkembangan watak mereka sangat tidak berkesan. Saya tidak pasti ia adalah kerana mereka tidak diberikan peluang yang mencukupi ataupun kerana penulisan yang kurang baik akan tetapi saya kurang berminat dengan dua-dua watak.

Manakala watak penjahat seperti Walter Simmons pula terasa tersangat cliche dan tidak membawa penambahan kepada keseluruhan penceritaan dan sekadar hadir untuk menjadi alat bagi menggerakkan jalan cerita. Fokus utama sudah semestinya Godzilla dan Kong akan tetapi bagi saya jika hadir watak lain yang lebih menarik ia akan membantu untuk mengemaskan lagi penceritaan serta memberi pelbagai tarikan lain.

Ada juga watak yang baik akan tetapi oleh kerana ia telah dilakukan di dalam banyak filem lain, saya tidak merasa ia menjadi berkesan di dalam filem ini. Contohnya watak Bernie Hayes lakonan Brian Tyree Henry, ia dilakonkan dengan baik akan tetapi perwatakan taksub “teori konspirasi” ini telah dilakukan terlalu kerap, membuatkan saya sedikit jemu dengannya. Namun, sekurang-kurangnya watak Madison Russell yang kembali daripada filem Godzilla: King of Monsters serta watak baharu Jia dilakukan dengan berkesan dan saya sangat menyukainya.

Selain perwatakan, manusia juga serba sedikit mencacatkan filem ini kerana mereka sering melakukan perkara yang tidak masuk akal dan terasa sangat bercanggah dengan ‘logik’ penceritaan. Contohnya, bandar Hong Kong telah mengetahui yang Godzilla menghampiri, akan tetapi apabila Godzilla tiba, baru mereka berlari lintang pukang. Ia mungkin pilihan kreatif untuk memperlihatkan bertapa menakutkan-nya Godzilla akan tetapi bagi saya ia tidak diperlukan.

Kesimpulan

Godzilla vs Kong adalah satu filem yang seronok untuk ditonton, jika anda menyukai filem-filem MonsterVerse yang lain, saya yakin yang anda akan menyukai juga filem ini. Ia tidak membawa penceritaan yang rumit ataupun mengelirukan, akan tetapi mungkin akan ada beberapa persoalan yang tidak terjawab dan kita hanya boleh berharap ia akan diterangkan di filem yang seterusnya.

Plot penceritaan disampaikan dengan baik dan ia berjaya memastikan untuk tidak menjadikan mana-mana bahagian terlalu meleret ataupun terlalu gopoh. Penglibatan manusia di dalam filem ini adalah kelemahan utama, tidak kira dari segi perwatakan ataupun sama ada mereka sepatutnya terlibat di dalam sesetengah perkara. Namun, ia bukanlah perkara yang mencacatkan filem ini sebaliknya sekadar membuatkan saya berharap mereka boleh memperkemaskan lagi penglibatan watak manusia yang bagi saya masalah yang sama dengan filem-filem sebelum ini

Penafian: Tayangan awal untuk filem ini disediakan oleh Warner Bros Malaysia untuk tujuan ulasan. Filem ini sudah-pun ditayangkan di pawagam bermula 24 Mac 2021.

Godzilla vs Kong
Rumusan
Godzilla vs Kong adalah satu filem yang seronok untuk ditonton, jika anda menyukai filem-filem MonsterVerse yang lain, saya yakin yang anda akan menyukai juga filem ini.
Positif
Pertempuran Godzilla dan Kong Dilakukan Dengan Baik
Plot Penceritaan Disampaikan Dengan Kemas
Negatif
Perwatakan Yang Kurang Menarik
Pelbagai Persoalan Tidak Terjawab
7

Sohor Kini