Bagi peminat-peminat manga di Malaysia terdapat pelbagai cara untuk membaca manga sama ada secara digital ataupun fizikal. Secara digital terdapat beberapa perkhidmatan yang percuma dan juga berbayar seperti Manga+ ataupun melalui perkhidmatan seperti Google Play Store.

Baca lanjut: Cara Untuk Membaca Komik Dan Manga Digital Secara Sah.

Terbaru, Square Enix juga telah menawarkan aplikasi tersendiri untuk membaca manga secara digital iaitu Manga Up! yang sudah boleh dimuat turun di App Store untuk iOS dan Play Store untuk Android.

Ia menawarkan sebilangan judul manga seperti Fullmetal Alchemist, Soul Eater, Goblin Slayer dan Toilet-bound Hanako-kun. Melalui penawaran ini, ia mungkin adalah hasil kerjasama di antara Square Enix dan juga Yen Press sejak dari tahun 2014 lagi.

Manga-manga ini kebanyakannya boleh dibaca secara percuma untuk beberapa episod awal, dan perlu menggunakan mata UP ataupun XP untuk membaca episod-episod seterusnya termasuk juga yang terbaru.

Setiap pemilik akaun Manga Up! akan mempunyai 40 mata UP yang akan di set semula setiap hari. Manga yang memerlukan mata UP akan memerlukan lebih kurang 10 mata UP setiap satu, dengan kata lain 4 episod sehari.

Selepas mendapatkan episod tersebut menggunakan mata UP, anda perlu membacanya dalam masa 3 hari sebelum perlu membelinya sekali lagi. Perkara sama juga untuk episod yang mempunyai tag “advance” akan tetapi ia akan menggunakan XP yang boleh diperoleh dengan melakukan aktiviti di dalam aplikasi ini.

Pembelian menggunakan XP juga akan mempunyai tahap masa iaitu perlu membacanya dalam masa 3 hari selepas pembelian. Jika anda tidak lagi mempunyai Up ataupun XP, boleh juga menggunakan coins yang boleh dibeli melalui pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini