Membaca komik dan mangga merupakan antara hobi terawal yang saya ada, ia bermuka dengan manga-manga seperti Detective Conan dan Doraemon yang dibeli secara fizikal, kemudian saya juga membaca komik-komik dari Hong Kong seperti Pendekar Laut dan Wira Tunggal.
Saya juga membeli buku koleksi manga yang dialih bahasa iaitu Kreko (kebenaran untuk mereka menerbitkan manga-manga tersebut masih diragui sehingga sekarang). Manakala untuk komik-komik tempatan saya lebih memfokuskan komik di dalam Gempak, Utopia dan Ujang.
Manakala kini, hobi tersebut sudah berkurang dan hanya terhad kepada komik serta manga tertentu sahaja dan kebanyakannya adalah secara digital kerana lebih mudah walaupun tidak boleh menjadi koleksi yang dapat dilihat.
Melalui penulisan ini, saya akan kongsi-kan cara untuk saya mendapatkan komik dan manga secara sah, sah daripada segi anda membayar ataupun ia diterbitkan dengan mendapat kebenaran penerbit asal komik tersebut. Saya bahagikan kepada tiga, iaitu perkhidmatan percuma, perkhidmatan gedung digital dan akhir sekali langganan bulanan.
Perkhidmatan Percuma

Satu-satunya perkhidmatan yang saya tahu menyertakan perkhidmatan secara percuma adalah Manga+ yang seperti namanya memfokuskan manga. Ia memfokuskan manga-manga oleh Weekly Shonen Jump seperti Demon Slayer, My Hero Academia dan The Promised Neverland.
Jika ada manga-manga yang anda berminat, anda boleh terus membacanya melalui pelayan web ataupun aplikasi Manga+ yang boleh dimuat turun untuk peranti iOS dan Android.
Kekurangan untuk Manga+ adalah, kebanyakan manga adalah terhad untuk 3 episod terawal dan 3 episod terkini. Oleh kerana itu, jika anda sudah mengikut manga tersebut, ia adalah perkhidmatan yang sesuai tetapi jika anda baru ingin mula membaca, anda perlu menggunakan perkhidmatan lain.
[info]Layari Manga+[/info]Perkhidmatan Gedung Digital
Ini adalah perkhidmatan yang berbayar, dan ia adalah untuk kedua-dua komik serta manga. Terdapat tiga gedung digital utama yang saya sering gunakan iaitu Comixology, Google Play Store dan Dark Horse Comics.
Comixology

Comixology merupakan gedung komik dan manga digital oleh Amazon, walaupun ia memfokuskan pengguna Amerika Syarikat, tetapi anda boleh membeli dan mendaftar akaun tanpa masalah di Malaysia. Anda juga boleh menggunkaan kad kredit ataupun debit Malaysia.
Daripada tiga gedung digital, saya lebih banyak menggunakan Comixology kerana ia mempunyai paling banyak koleksi komik serta manga. Bagi komik oleh DC ataupun Marvel, anda boleh membeli setiap episod dengan harga lebih kurang $2.99 (RM12) ataupun membeli satu jilid yang mengandungi 7 episod dengan harga $12.99 (RM53). Harga mungkin berbeza mengikut komik, dan juga tawaran promosi.

Manakala untuk manga pula, kebanyakan ditawarkan secara jilid sahaja dan tiada secara episod. Kebiasaan ia dijual dengan harga serendah $6.99 (RM28) sehingga $12.99 (RM53) bergantung kepada judul. Ia menawarkan manga daripada pelbagai penerbitan dan tidak terhad kepada Weekly Shonen Jump sahaja.
Anda boleh membaca komik atau manga yang dibeli melalui pelayar web, ataupun aplikasi untuk peranti iOS dan Android. Namun, pembelian hanya boleh dilakukan melalui laman Comixology, untuk aplikasi Android ia akan dibuka melalui pelayar web di dalam aplikasi, bagi iOS mesti membukanya sendiri.
[info]Layari Comixology[/info]Google Play Store

Jika anda inginkan harga di dalam ringgit, ataupun ingin pembelian terus melalui peranti Android, anda boleh menggunakan Google Play Store bahagian Books. Saya jarang menggunakannya kerana, saya tidak memiliki peranti Android, dan pilihan yang disertakan agak terhad.
Bagi pasaran Malaysia ia hanya menyertakan komik daripada DC ataupun Marvel, tetapi tiada untuk manga. Manga ditawarkan untuk pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat secara jilid seperti Comixology.
Jika anda inginkan komik tempatan, Komik-M mengeluarkan beberapa komik mereka di Play Store dengan harga yang berpatutan. Terdapat komik-komik tempatan lain yang ditawarkan tetapi anda perlu mencarinya.
[info]Layari Google Play Store[/info]Dark Horse Comics

Dark Horse Comics merupakan penerbit komik yang mempunyai gedung digital mereka sendiri. Mereka menawarkan komik oleh mereka sendiri, dan mereka kebiasaan mengeluarkan komik berdasarkan IP-IP terkenal seperti The Last of Us, The Witcher dan Stranger Things. Ia juga mempunyai IP tersendiri yang popular seperti, Hellboy dan The Umbrella Academy.
Anda boleh membeli dan membaca melalui laman web, ataupun melalui aplikasi untuk peranti iOS dan Android. Oleh kerana ia pembelian secara terus melalui iOS dan Android, harga yang ditawarkan di dalam aplikasi adalah dalam ringgit, akan tetapi melalui laman web masih lagi USD.
Selain tiga di atas, terdapat pelbagai lagi gedung digital, contohnya Marvel sendiri ada mempunyai gedung digital mereka sendiri, tetapi saya lebih memilih untuk menggunakan Comixology kerana ia menyertakan pelbagai koleksi komik dan manga yang lain.
[info]Layari Dark Horse Comics[/info]Perkhidmatan Langganan
Terdapat dua perkhimatan langganan yang saya pernah guna, iaitu Comixology Unlimited dan Shonen Jump. Namun, saya tidak mengesyorkan Comixology Unlimited kerana beberapa sebab iaitu;
Pertama, ia hanya terbuka kepada pasaran Amerika Syarikat dan memerlukan akaun Amazon pasaran tersebut. Kedua, harga bulanan juga agak mahal iaitu $5.99 (RM24). Ketiga, ia tidak menawarkan semua komik tetapi komik-komik tertentu sahaja, manakala untuk komik seperti DC dan Marvel, ia hanya ditawarkan di dalam langganan ini selepas setahun dikeluarkan.
Shonen Jump oleh Viz
Perkhidmatan langganan yang sama masih guna adalah Shonen Jump melalui Viz. Ia tidaklah boleh dikatakan secara sah, kerana secara rasminya, ia tidak dilancarkan di Malaysia tetapi oleh kerana anda masih membayar setiap bulan, saya boleh katakan ia adalah “separa-sah”.
Ia adalah perkhidmatan langganan untuk membaca pelbagai komik Weekly Shonen Jump, anda boleh membaca semua episod untuk mangga yang ada, dengan harga langganan yang berpatutan iaitu $1.99 (RM8) sebulan. Anda terhad kepada 100 episod sehari, akan tetapi berdasarkan pengalaman saya ia lebih daripada cukup.
Untuk melanggan perkhidmatan ini, anda perlu melayari laman Viz.com menggunakan VPN bagi negara yang menyokongnya seperti Amerika Syarikat ataupun negara jiran Singapura. Pendaftaran memerlukan kad debit dan kad kredit, untuk pembayaran anda boleh menggunakan kad Malaysia.
Selepas melanggan anda boleh membacanya melalui laman web, memerlukan terus menggunakan VPN Amerika Syarikat/Singapura, ataupun dengan memuat turun aplikasi Shonen Jump untuk iOS dan juga Android.
Aplikasi ini hanya boleh dimuat turun melalui App Store ataupun Play Store Amerika Syarikat akan tetapi selepas memuat turunnya, anda boleh membaca manga tersebut tanpa menggunakan VPN.
Ia mungkin sedikit sukar untuk melanggan akan tetapi saya merasakan ia adalah perkhidmatan yang sangat berbaloi dan sekurang-kurangnya anda bukan membaca secara percuma tanpa kebenaran. Ia juga menyertakan pembacaan secara percuma tetapi seperti Shonen+ ia terhad untuk 3 episod terawal dan 3 episod terkini.
[info]Layari Shonen Jump oleh Viz[/info]Sebagai penutup saya boleh katakan, daripada perkhidmatan-perkhidmatan di atas, yang saya sering guna adalah Comixology dan langganan Shonen Jump. Ia sudah cukup untuk memenuhi keinginan saya membaca komik dan juga manga.
Perkhidmatan-perkhidmatan yang saya sertakan di atas juga adalah sebahagian kecil sahaja daripada pelbagai perkhidmatan lain, jika anda gemar membaca komik serta manga dan mempunyai cara-cara lain untuk membacanya secara sah, pastikan anda kongsi cara anda di bahagian komen di bawah.