Beberapa bulan yang lalu, Square-Enix telah mengumumkan bahawa mereka akan memasuki arena NFT dengan penawaran NFT mereka sendiri. Mereka kini telah memperlihatkan butiran lanjut mengenai perkara tersebut, dan ia boleh dikatakan agak melucukan.
Square-Enix akan bekerjasama dengan Enjin, yang akan merumahkan NFT dan juga token keluaran syarikat pembuat permainan video tersebut didalam platform rantaian blok Efinity mereka. NFT dan token-token ini nampaknya akan diperkenalkan bersama-sama permainan patung mereka dan juga permainan kad yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Sebagai contoh, Square-Enix baru sahaja membuka pra-tempah untuk permainan patung Cloud Strife daripada Final Fantasy VII. Dengan pra-tempah ini, syarikat tersebut mengatakan bahawa ia juga akan disertakan dengan token pengesahan digital dan juga NFT ataupun salinan digital patung tersebut.
Square-Enix juga dijangka akan memperkenalkan kad permainan yang akan menggunakan sistem token digital yang sama, menggabungkan kad fizikal dan juga digital sebagai satu cara untuk mengesahkan anda memiliki produk yang tulen.
Apa yang kelakar bagi kami ialah Final Fantasy VII merupakan sebuah permainan JRPG yang mengisarkan tentang sekumpulan watak yang menentang kejahatan syarikat korporat yang mencemar alam sekitar dengan penggunaan Mako sebagai sumber tenaga utama bandar Midgard dan seluruh dunia permainan tersebut.
Sokongan untuk kriptowang dan NFT dilihat menentang semua nilai-nilai yang cuba diterapkan pada permainan JRPG klasik tersebut.