Bumilangit Cinematic Universe adalah dunia filem adiwira dari Indonesia yang turut diadaptasi daripada komik-komik mereka sendiri. BCU sudah pun hadir dengan filem pertama mereka iaitu Gundala dan kelak turut akan hadir dengan siri TV tersendiri di Disney+ Hotstar Tira.

Baca: Bumilangit Cinematic Universe Adalah Pesaing Kepada MCU Dan DCEU Dari Indonesia

Terkini, BCU bakal hadir dengan filem pertama di bawah siri Satria Nusantara iaitu Sri Asih. Filem ini diarahkan oleh Upi Avianto dengan skrip ditulis oleh Upi sendiri bersama dengan Joko Anwar. Sri Asih diadaptasi daripada komik judul sama karya R. A. Kosasih dan berikut adalah treler pertama filem ini;

Dalam treler, ia masih tidak jelas apakah jalan cerita filem ini. Tetapi boleh lihat yang ada penglibatan seakan satu majlis orang kaya, penjahat yang dengki, serta ada penceritaan kisah sejarah. Kemudian watak Nani kemudian dilihat mula sedar sesuatu dan mula berlawan dengan gaya ala Daredevil. Filem ini menyertakan Sri Asih lakonan Pevita Pearce dan turut disertai oleh Jourdy Pranata, Jefri Nichol dan Randy Pangalila.

Dalam komik, Sri Asih adalah seorang Dewi Sri yang dilahirkan semula dalam badan Nani Wijaya. Nani adalah anak daripada keluarga yang kaya raya. Nani bekerja sebagai Biro Penyiasatan Jenayah dan hari demi hari beliau berusaha menjadi seorang yang boleh menewaskan kejahatan. Suatu hari, Nani secara tidak sengaja menyeru nama Dewi Asih dan telah berubah menjadi adiwirati Sri Asih.

Sohor Kini