Informasi Permainan Video Terkini
Bumilangit Cinematic Universe Adalah Pesaing Kepada MCU Dan DCEU Dari Indonesia

Bumilangit Cinematic Universe Adalah Pesaing Kepada MCU Dan DCEU Dari Indonesia

Diterbitkan pada Ogos 19, 2019 oleh .

Marvel Cinematic Universe atau MCU adalah francais filem adiwira berasaskan komik Marvel. Fasa ketiga francais filem ini baru sahaja tamat dengan filem Spider-Man: Far From Home tahun ini dan hanya akan bersambung pada tahun hadapan. Manakala, DC Extended Universe atau DCEU adalah francais filem berasaskan komik-komik DC yang boleh dikatakan sekarang agak huru-hara seperti tiada arah tuju. Hanya MCU sahaja yang dilihat berjaya.

Jika anda sudah bosan dengan dunia-dunia MCU atau DCEU – ya, ada sahaja alternatif seperti Umbrella Academy. Tetapi itu terhad dan hanya satu kumpulan yang kecil. Bagaimana kalau saya katakan akan terdapat francais filem adiwira baharu yang akan bersaing dengan MCU atau DCEU? Francais filem ini adalah Bumilangit Cinematic Universe, atau nama gelarannya adalah BCU. Seperti francais yang lain, filem-filem BCU juga akan berasaskan daripada komik-komik. Komik-komik ini adalah daripada Indonesia, dari siri Patriot, Jawara dan Satria Nusantara.

Berikut adalah watak-watak dalam Bumilangit Cinematic Universe. Mandala, Gundala, Sri Asih, Godam, Tira, Si Buta Dari Gua Hantu, Merpati, Desti Nikita, Camar, Tanto Ginanjar, Bidadari Mata Elang, Cempaka, Nila Umaya, Ghani Zulham, Pengkor, Ridhwan Bahri, Mustika Sang Kolektor, Virgo, Dewi Api dan Aquanus. Sebenarnya banyak lagi watak-watak dalam komik-komik ini, tetapi hanya ini sahaja watak yang disahkan buat masa ini yang akan muncul dalam filem-filem BCU. Terdapat juga watak-watak baru yang dicipta yang tiada dalam profil Bumilangit. Ada juga watak lama yang grafik filemnya belum diberikan.


Adiwira BCU

Jawara

Si Buta dari Gua Hantu

Mengisahkan seorang legenda bernama Barda Mandrawata yang ditemani dengan seekor monyet bernama Wanara. Beliau mula menjadi legenda selepas menewaskan Mata Malaikat atas sebab membalas dendam atas kematian bapa dan tunang beliau.

Mandala

Mandala adalah seorang jejaka yang dibesarkan oleh Nyi Nara Sati, Ratu Setan Buaya Putih. Beliau menjadi seorang pahlawan terunggul selepas melepaskan diri dari Nyi Nara Sati dan berlatih dengan pakcik beliau, Batara Si Pendekar Satu Tangan. Selepas menjadi pahlawan, beliau digeruni ramai.

Bidadari Mata Elang

Nama sebenar Bidadari Mata Elang adalah Dewi. Beliau adalah cucu kepada Nyi Inggit – Ular Sembilan. Dewi adalah pendekar wanita yang hebat, menggoda dan angkuh. Watak Dewi adalah jenis yang bukan baik dan bukan jahat, kerana beliau tidak memihak mana-mana bahagian. Asalkan ia memberi manfaat kepada beliau, di situlah beliau berada.

Patriot

Gundala

Mengisahkan seorang jejaka bernama Sancaka yang disambar petir. Selepas itu Sancaka mendapati yang beliau memiliki kuasa panahan petir yang hebat. Sebenarnya itu adalah anugerah daripada Raja Kerajaan Petir yang bernama Kronz. Sancaka secara tidak langsung menjadi putra angkat kepada Kronz dan menerima kalung ajaib untuk menjadikan beliau adiwira, Gundala.

Godam

Bayangkan sahaja kisah Superman dan SHAZAM digabungkan, itulah kisah Godam – lebih kurang!. Di planet Godam, seorang bayi terpaksa ditinggalkan atas kejadian rampas kuasa telah gagal. Bayi tersebut telah ditemui oleh sepasukan penjahat dan dibesarkan oleh mereka. Bayi ini dinamakan Godam dan telah menemui baju perisai dan cincin ajaib. Akibat menjadi jahat, beliau terperangkap dalam cincin tersebut. Suatu hari, Bapa Kebenaran telah menganugerahkan cincin kepada Awang dan Awang boleh memiliki kuasa Godam.

Tira

Seorang mahasiswi bernama Susie mempunyai skil yang hebat atas mempertahankan diri. Beliau juga pakar dalam teknologi dan memiliki satu sut dengan teknologi yang hebat dan telah berazam untuk melawan kejahatan. Suatu hari, kejadian Pintu 9 Naga telah berlaku dan sejak itu Susie telah didampingi roh Setan 9 Naga. Akan tetapi dengan bermeditasi, Susie boleh menyeru roh 9 Naga tadi untuk menggunakan kuasanya. Secara tidak langsung beliau adalah adiwira wanita bernama Tira.

Merpati

Mengisahkan seorang wartawan yang cerdik, bijaksana dan mempunyai skil mempertahankan diri bernama Sedhah. Suatu hari, bapa beliau ditimpa kemalangan. Atas cuba menyelamatkan bapa beliau, Sedhah terjatuh dari satu tebing dan diselamatkan oleh sekelompok burung merpati. Rupa-rupanya, Sedhah diselamatkan oleh Ratu Merpati yang kemudiannya mengarah Sedhah untuk merendam diri dalam satu posyen magis – Sedhah kemudian berubah menjadi adiwirati Merpati dan akhirnya bercinta dengan Gundala.

Satria Nusantara

Sri Asih

Seorang Dewi Sri yang dilahirkan semula dalam badan Nani Wijaya. Nani adalah anak daripada keluarga yang kaya raya. Nani bekerja sebagai Biro Penyiasatan Jenayah dan hari demi hari beliau berusaha menjadi seorang yang boleh menewaskan kejahatan. Suatu hari, Nani secara tidak sengaja menyeru nama Dewi Asih dan telah berubah menjadi adiwirati Sri Asih.

Aquanus

Terdapat satu planet di alam semesta yang didiami oleh amfibia manusia robot. Planet tersebut adalah Planet Zyba. Suatu hari Dhanus telah lahir dan dibesarkan di bumi dan juga menjadi adiwira di bumi, Aquanus. Beliau tinggal di Pulau Berhala, yang mana merupakan lokasi di mana pasukan adiwira lain berkumpul. Aquanus juga mengemudi satu kapal selam dengan teknologi yang tinggi.


Watak-Watak Lain

Pengkor

Wismu Atmaja seorang lelaki yang dilahirkan cacat, tetapi sangat cerdik dan bijak. Atas kecacatan pada diri Wismu, beliau digelar Pengkor. Bertahun beliau berhadapan dengan pelbagai cacian dan maki, suatu hari beliau telah menjadi penjahat yang dahsyat. Malah turut mendalangi pelbagai perkara jahat.

Camar

Seorang pahlawan dari kepulauan Maluku telah melarikan diri bersama-sama dengan seorang gadis Belanda, bagi mengelak askar-askar Belanda pada tahun 1910. Pahlawan tersebut kemudiannya telah hadir dengan satu skil pertahan diri tersendiri bernama Camar dan melatoh pengikut mereka untuk gunakan untuk melawan pihak Belanda. Motila, iaitu anak didik beliau yang paling muda adalah yang paling berbakat dan telah menjadi adiwira bernama Camar.

Virgo

Rini merupakan anak kepada seorang saintis yang sedang bereksperimen dengan projek memberi kuasa kepada manusia. Tanpa disedari bapanya, Rini telah menjadi tikus makmal dengan rela. Dengan kuasa yang beliau terima, beliau telah menjadi Virgo untuk menewaskan penjahat.


Gundala

Filem pertama BCU adalah Gundala. Gundala ini mengisahkan seorang jejaka bernama Sancaka. Suatu hari beliau dipanah petir dan menerima kuasa petir (seakan Thor) dan menewaskan penjenayah di Jakarta menggunakan kuasa beliau. Filem ini membawakan pelbagai watak dari komik Patriot. Salah seorang penjahat dalam filem ini adalah Pengkor yang mana dilihat mempunyai dendam dari kecil. Gundala dilakonkan oleh Abimana Aryasatya, manakala Pengkor pula dilakonkan oleh Bront Palare.

Filem ini akan mula ditayangkan pada 29 Ogos 2019 di Indonesia. Tidak pasti lagi sama ada filem ini akan ditayangkan di Malaysia ataupun tidak.

Selepas filem ini, ia akan diteruskan dengan pelbagai filem individu seperti ‘Sri Asih’, ‘Godam & Tira’, ‘Si Buta Dari Gua Hantu’, ‘Patriot Taruna’, ‘Gundala: Putra Petir’, Mandala Golok Setan’, dan ‘Patriot’. Patriot adalah pasukan utama buat semua adiwira-adiwira dalam BCU. Ia adalah seperti adiwira-adiwira dalam MCU yang dikumpulkan dalam pasukan Avengers.


Tidak pasti juga bagaimana arah tuju filem-filem ini dan adakah ia akan berjaya. Memandangkan ia adalah komik yang popular di Indonesia ia mungkin akan menjadikan tarikan utama rakyat negara sana. Tiada langsung promosi untuk tayangan di Malaysia atau negara lain. Harapanya filem ini jika berjaya boleh teruskan dengan francais filem lain dan boleh ditayangkan lebih meluas lagi. Ayuh sama-sama kita nantikan.


TIPS & ULASAN