Sebulan yang lalu, Stranger Things 4 telah pun disiarkan di Netflix selepas tiga tahun kali terakhir kita semua saksikan Stranger Things 3. Musim keempat dipecahkan kepada dua bahagian, episod 1-7 untuk yang pertama dan episod 8-9 untuk kedua. Kali ini The Duffer Brother’s dan Netflix melakukan banyak perubahan untuk memastikan kualiti menjadi lebih baik.

Baca: Ulasan Stranger Things 4 Bahagian 1 – Makin Seram, Ngeri Dan Panjang

Contohnya kesan visual banyak menggunakan kaedah praktikal untuk memberi vibe seram klasik 80-an tetapi dengan iterasi moden dan gabungan CGI. Durasi juga adalah lebih panjang, tetapi berjaya menyampaikan cerita dengan baik dan tidak meleret. Stranger Things 4 juga dilaporkan mempunyai bajet tertinggi dengan sekitar $30 juta per episod berbanding musim ketiga yang hanya $10 juta.

Episod 1-7 pada aku mempunyai penceritaan yang menarik dan memberikan lebih banyak elemen seram ngeri. Tetapi ia masih tidak memuaskan kerana setiap watak berpecah dan tidak bersama seperti musim-musim sebelum. Walaupun begitu, ia masih memberikan pengalaman menonton yang baik. Untuk bahagian kedua, ia mempunyai durasi sekitar 4 jam untuk kedua-dua episod. Kali ini geng Max cuba serang hendap Vecna, geng Joyce dan Jim cuba cari jalan pulang sambil hentikan Demgorgon di Rusia, geng Mike akhirnya bertemu dengan Eleven dan geng Mason pula semakin mengganas sehingga sanggup cuba membunuh.


Apa Pula Kali Ini?

Apa yang akan aku sampaikan dalam artikel ini ada sedikit beberan (spoiler) untuk Stranger Things 4 episod 1-7. Tetapi aku masih cuba untuk pastikan pengalaman menonton anda semua tidak terjejas. Episod lapan dan sembilan ini mengambil masa hampir empat jam, iaitu 1 jam 27 minit pada episod 8 dan sekitar 2 jam 20 minit untuk episod 9. Walaupun panjang dan lama, pada aku ia tidak meleret dan masih memuaskan. Aku pun ambil masa dua hari untuk habiskan kerana penat kerja seharian dan tidak larat untuk maratonton.

Masih lagi dengan format sama, iaitu penceritaan berpecah kepada pelbagai kumpulan dengan setiap watak berbeza mempunyai misi tersendiri di lokasi berlainan. Tetapi setiap detik dalam setiap episod kali ini lebih mencemaskan, buatkan aku sendiri tidak sangka mereka semua sanggup lakukan apa yang ingin dilakukan. Sedikit demi sedikit, kita boleh lihat semakin banyak perkembangan watak berlaku dan perubahan yang masing-masing lalui untuk menempuh segala cabaran.

Entah kenapa aku rasakan, penulis sengaja tidak menggunakan watak Eleven dengan lebih banyak- mungkin ingin simpan untuk musim kelima nanti? Aku rasakan kali ini lebih banyak fokus pada kawan-kawan Eleven seperti Max, Lucas, Steve, Nancy atau juga Eddie dan Dustin. Malah watak di Rusia seperti Jim dan Joyce juga tidak banyak mainkan peranan. Walaupun begitu, aku masih rasa seronok dan puas hati dengan perjalanan setiap watak ini menyelesaikan misi masing-masing.

Runut muzik yang digunakan adalah Running Up That Hill nyanyian Kate Bush banyak digunakan dengan pelbagai iterasi berbeza yang mana pada aku memberikan satu mood yang sangat menarik. Bulu roma aku tegak sepanjang tontonan kerana rasa tidak sabar untuk tahu apa yang berlaku. Skrip juga ditulis dengan baik dengan setiap pelakon berjaya sampaikan watak masing-masing dengan penuh emosi.

Kisah utama yang berlaku adalah di Hawkins, di mana Max, Lucas, Steve, Nancy, Robin, Dustin, Eddie, Erica merancang untuk terus serang hendap Vecna. Perancangan mereka dan persediaan mereka ini penuh dengan drama yang mantap, ada elemen komedi yang tidak cringe, serta kisah mereka yang mempunyai aksi yang hebat dan dahsyat. Aku juga suka bagaimana watak Jason dalam Stranger Things yang berubah daripada pelajar popular di sekolah sehingga menjadi ganas terlampau.

Kisah Eleven bersama Owen dan Martin juga disampaikan dengan baik, yang mana ia adalah saat di mana Eleven akhirnya dapat teruskan kehidupan yang lebih bebas tanpa mengetahui ada orang lain cuba kawal hidup. Walaupun saat ini banyak yang buatkan aku rasa marah dan tidak puas hati, ia masih mempunyai emosi yang membuatkan aku rasa gembira dengan hubungan antara Papa dan anak angkatnya.

Kisah di Rusia bersama Joyce, Jim, Murray, Yuri dan Enzo juga mempunyai komedi dan saat romantik yang baik. Aku suka tetapan adegan mereka di penjara Rusia bersama Demogorgon. Kisah Mike, Will, Argyle dan Jonathan juga aku suka lihat bagaimana Will luahkan perasaan tanpa Mike tahu perkara sebenar mengenai Eleven. Pengorbanan seorang kawan baik di antara mereka ini cukup menarik.

Episod ini juga berlakunya pertempuran yang sangat menakjubkan dengan Eleven yang sudah pelajari kuasanya. Kemunculan Vecna yang kelihatan kejam, seram dan mendebarkan juga membuatkan aku terfikir kenapa baru sekarang watak ini muncul.

Paling aku suka, adalah satu saat di mana Eleven berjaya merumuskan yang setiap kejadian yang berlaku sejak musim pertama, pertempuran di musim kedua dan aksi dahsyat dan musim ketiga semuanya berkait dengan satu perkara yang ANDA SEMUA WAJIB TONTON. Walaupun sejak kemunculan Vecna di bahagian pertama Stranger Things 4 sudah boleh agak dan ramal, tetapi jika anda tonton sendiri anda pasti akan rasa lagi puas.

Ini semua buatkan aku semakin tidak sabar untuk nantikan musim kelima. Tetapi jika ada masalah pun, episod kesembilan tamat dengan baik. Jika perlu tunggu 2 tahun pun aku tidak akan ada masalah kerana aku ingin mereka habiskan masa dengan baik untuk sampaikan penamat Stranger Things yang mantap.

Apa Yang Aku Tak Suka?

Mungkin ini hanya aku seorang, tetapi aku yakin ramai juga yang mempunyai pendapat sama dengan aku. Perubahan drastik untuk penceritaan Stranger Things 4 yang aku tidak suka adalah setiap watak utama berpecah menjalankan misi masing-masing di lokasi berbeza. Jika kita lihat musim pertama, kedua dan ketiga – biasanya pada akhir semua orang akan kembali bersama dan bersama-sama menghentikan musuh. Tetapi kali ini terdapat banyak penceritaan dan misi, seperti;

  • Geng Max: Max, Will, Robin, Lucas, Nancy, Steve, Eddie, Dustin dan Erica melakukan misi di Hawkins untuk cuba menghentikan Vecna sendiri.
  • Geng Mike: Mike, Will, Jonathan dan Argyle dalam misi mencari Eleven yang berada di makmal Nina bersama Sam Owen dan Martin Brenner.
  • Geng Joyce: Joyce, Jim, Murray dan Enzo di Rusia yang cuba pulang sambil berlawan dengan Demogorgon

Aku faham mereka cuba sesuatu yang berbeza. Pengasingan mengikut misi tersendiri ini tidak bosan, malah boleh menyampaikan pelbagai cerita tersendiri dengan setiap watak yang boleh berkembang dengan baik boleh disampaikan dalam durasi yang panjang ini.

Tapi pada aku, aku lebih suka jika setiap episod memfokuskan sepenuhnya pada setiap geng seakan satu kisah antologi – tetapi pada penghujung barulah semua bertemu dan bersama-sama menghentikan Demogorgon yang mengganas dan Vecna yang kejam.

Apa Seterusnya?

Bukan satu lagi rahsia yang musim keempat tidak akan menamatkan pengembaraan Eleven dan rakan-rakan. The Duffer Brother’s telah mengesahkan yang musim keempat tidak cukup untuk tamatkan cerita yang ingin disampaikan. Malah, Stranger Things hanya akan tamat dengan musim kelima. Jadi apa yang berlaku ada episod sembilan, walaupun cara ia tamat sedikit tergantung – mereka masih berjaya sampaikan dengan cara yang baik dan tidak membuatkan aku rasa tertunggu-tunggu seperti Money Heist yang suka tamatkan episod di saat mendebarkan.

Ada laporan menyatakan, kita tidak perlu tunggu lama untuk Stranger Things 5 seperti kita tunggu Stranger Things 4 selama tiga tahun selepas musim ketiga. Ada juga ura-ura yang jika dunia Stranger Things ini ingin dikembangkan, selepas musim kelima mereka akan teruskan dengan siri sampingan pula.

Kesimpulan

Walaupun aku tidak suka cara siri TV ini memisahkan watak penting dengan misi-misi tersendiri, aku masih mempunyai pengalaman menonton setiap episod yang memuaskan. Episod 8 dan 9 berjaya membuatkan hati aku berdebar tanpa henti dan memberikan aku rasa seram sejuk menantikan apakah yang akan berlaku pada setiap watak. Aksi yang berlaku adalah hebat, aku suka cara Eleven berlawan dengan Vecna. Aku juga suka bagaimana Dustin dan Eddie menjadi kawan baik, ada kisah romantik antara Mike dan Eleven serta Nancy dan Steve, Jim boleh berlawan dengan Demogoron, dan banyak lagi.

Ia juga mempunyai banyak detik sedih dan bahagia yang membuatkan aku tersentuh hati dan hampir melelehkan air mata kerana setiap pelakon mempunyai prestasi lakonan yang sangat mantap. Visual praktikal yang digunakan nampak cantik dan hebat, visual CGI walaupun masih ada yang kantoi – asalkan tidak mengganggu pengalaman menonton aku tidak kisah.

Stranger Things 4 episod 8-9 adalah antara yang terbaik setakat ini dan aku tidak sabar untuk saksikan musim kelima nanti. Aku ingin tahu bagaimana The Duffer Brothers akan tamatkan francais Stranger Things yang aku mula tonton sejak di kolej lagi.

Stranger Things 4 Episod 8-9
Disiarkan Pada 1 Julai
Stranger Things 4 diteruskan lagi dengan episod 8 dan 9, selepas lebih sebulan episod 1-7 disiarkan. Walaupun hanya dua episod, ia mempunyai durasi hampir 4 jam. Dua episod ini padat dengan aksi, penuh dengan emosi, mempunyai penceritaan yang memuaskan dan adalah episod terbaik setakat ini.
Positif
Jalan cerita yang ringkas, tetapi memuaskan
Padat dengan aksi dan penuh dengan emosi
Walaupun durasi panjang, ia tidak meleret
Negatif
Semua geng tidak bersama untuk menentang musuh utama
9.5

Sohor Kini