Bulan April lalu ketika acara CinemaCon, Sony Pictures telah mengumumkan yang filem Ghostbusters akan diteruskan dengan filem kelima. Ia akan menjadi sekuel kepada Ghostbusters: Afterlife, iaitu antara filem 2021 Sony Pictures yang berjaya mengutip $200 juta (~RM880 juta).
Baca: Ulasan Ghostbuters: Afterlife – Memberi Peminat Satu Kepuasan Dan Merindui Yang Asal
Ghostbusters: Afterlife adalah filem keempat dalam francais Ghostbusters dan merupakan filem ketiga yang bersambung secara terus dengan dua filem asal Ghostbusters (1984) dan Ghostbusters 2 (1989). Filem ini dibintangi oleh Paul Rudd, Carrie Coon, Finn Wolfhard dan Mckenna Grace sebagai pelakon baharu, sementara pelakon asal seperti Bill Murray, Dan Aykroyd, Ernie Hudson, Annie Potts dan Sigourney Weaver turut kembali memainkan watak masing-masing.
Twitter rasmi Ghostbusters pada awal Jun ada mendedahkan yang filem kelima mereka akan berlaku di sekitar bandar Manhattan, New York – iaitu balai bomba ikonik dalam francais Ghostbusters. Kod nama filem kelima ini adalah Firehouse. Deadline pula baru-baru ini melaporkan yang filem ini akan ditayangkan pada 20 Disember 2023 akan datang.
Lokasi balai bomba ini ada dipertontonkan dalam adegan pasca-kredit Afterlife, di mana Winston Zeddemore (Ernie Hudson) telah membeli balai bomba ikonik ini dengan penampilan kereta ikonik Ecto-1. Dalam adegan ini, ia turut memperlihatkan lampu amaran bahaya menyala memberi petanda akan ada ancaman baharu.
Masih belum ada jalan cerita dan siapakah pelakon yang akan terlibat dalam filem ini. Tetapi ada kemungkinan besar, pelakon-pelakon asal Ghostbusters dan pelakondalam Ghostbusters: Afterlife akan kembali beraksi dalam filem ini. Sama-sama kita nantikan.