Skip to main content

Kita mula mendengar khabar mengenai sekuel sebenar filem Ghostbuster pada tahun 2019. Filem yang sepatutnya ditayangkan pada tahun 2020 ditunda kerana pandemik dan kini akhirnya ia sedia ditayangkan di Malaysia. Filem ini adalah filem yang dinanti-nantikan oleh peminat.

Filem 2016 bukannya sekuel, tetapi satu spin-off, dan filem Afterlife ini adalah sekuel sebenar kepada filem Ghostbusters 1984. Ia berkait dengan musuh lama seperti Zuul, Gozer, Muncher, Stay Puft Marshmallow Man dan banyak lagi gangguan hantu. Kali ini ia melibatkan keluarga cucu kepada salah seorang ahli pasukan Ghostbusters asal.

Filem ini adalah satu kesinambungan terbaik selepas lebih 30 tahun tiada sekuel sebenar Ghostbusters. Ia juga merupakan satu olahan baharu untuk francais era baharu di zaman moden. Filem ini turut memberi hormat terbaik kepada filem asal dengan banyak easter egg untuk peminat dengan penceritaan yang lancar dan menghiburkan.


Cucu Siapa, Kisah Apa, Kenapa?

Filem ini memfokuskan kisah cucu kepada salah seorang ahli pasukan Ghostbusters asal, iaitu Egon Spengler. Selepas beliau mati, segala aset ditinggalkan kepada anak perempuan dan dua cucu beliau. Atas masalah kewangan, keluarga ini iaitu Carrie Coon sebagai Callie, Finn Wolfhard sebagai Trevor dan Mckenna Grace sebagai Phoebe.

Tiba di sebuah bandar yang kecil, mereka mula bertemu dengan Celeste O’Connor sebagai Lucky, Paul Rudd sebagai Grooberson dan juga Logan Kim sebagai Podcast. Gangguan hantu yang sudah lebih 30 tahun tidak berlaku dijelaskan dalam filem ini kenapa. Kenapa semuanya sudah tenang, tiba-tiba di bandar kecil ini mula ada gangguan?

Apa terjadi kepada pasukan Ghostbusters turut didedahkan dalam filem ini dengan penceritaan penuh emosi dan lancar.

Trevor dan Phoebe iaitu cucu kepada Egon Spengler, tidak tahu atuk mereka ini kerana disembunyikan oleh ibu mereka Callie. Mereka telah “dipinggirkan” oleh Egon tanpa sebab yang jelas. Dalam filem ini watak Phoebe diberi penuh perhatian dan merupakan watak paling penting. Prestasi Mckenna Grace dalam filem ini adalah memuaskan dengan emosi yang realistik, seorang gadis genius yang “tiada kawan”, turut mempunyai perwatakan yang dipinggirkan orang sekeliling membawa jalan cerita filem ini dengan baik sekali.

Beliau membuka laluan untuk Sony mengolah semula francais Ghostbusters dengan peminat generasi baru sambil memuaskan peminat filem-filem asal.

Perwatakan Phoebe ini cukup baik dan meyakinkan. Beliau berjaya membawa iras Egon dan satu watak yang tidak mengalah dan sentiasa bersedia untuk apa jua keadaan.

Abang beliau adalah Trevor lakonan Finn Wolfhard yang merupakan satu watak asal ada sahaja. Penglibatan beliau dalam filem ini adalah tidak begitu menyerlah selain cuba menarik peminat Stranger Things yang beliau pernah berpakaian kostum Ghostbusters dalam siri TV tersebut. Trevor adalah watak lucu dan cuba membawakan elemen romantis bersama Lucky lakonan Celeste O’Connor yang bersifat lebih matang daripada Trevor.

Grooberson lakonan Paul Rudd adalah watak yang sedar akan kewujudan pasukan Ghostbusters suatu ketika dahulu dan memberikan pendedahan kepada Phoebe, Podcast lakonan Logan Kim, serta watak lain. Watak beliau adalah lucu dan memberikan satu kelengkapan dalam filem ini untuk rasa ia lebih seronok untuk tonton.

Podcast adalah watak yang lucu dan sentiasa menceriakan penonton. Filem ini mempunyai jalan cerita yang mudah faham, pantas dan lancar. Jalan cerita filem ini sebenarnya adalah klise, di mana sekumpulan kanak-kanak temui perkara misteri, kemudian watak lain pula sedari kewujudan misteri ini dan kemudian penyiasatan berlaku. Satu demi satu rahsia terdedah, sejarah misteri terungkai, dan perselisihan faham antara keluarga.

Walaupun kedengaran biasa sahaja, ia menjadi seronok untuk ditonton kerana penceritaan yang tidak meleret. Ia padat dengan easter egg khusus untuk peminat. Setiap satu berkait dengan filem lepas, daripada kenderaan, senjata, petikan skrip dan lain-lain – semuanya memberi hormat kepada filem asal.

Ia membuatkan filem ini rasa lengkap dan penuh dengan emosi untuk tonton satu francais kegemaran. Saya masih ingat lagi, kedua-dua filem Ghostbusters adalah filem kegemaran dan kerap tonton berulang kembali. Apabila menonton filem ini, sekuel yang bersambung secara terus dengan pelbagai petanda merujuk filem lalu – membuatkan saya gembira, terhibur dan rasa puas ketika menonton.

Permulaan Francais Baharu – Satu Olahan

Seperti Disney dan Marvel yang mencipta siri TV MCU, memberi pendedahan lebih kepada dunia filem Marvel dengan banyak watak baharu. Itu jugalah yang Sony cuba lakukan nampak gayanyalah. Filem ini ada adegan tambahan di penghujung kredit. Ia memberi petanda jelas yang francais Ghostbusters tidak akan tamat.

Dengan pengenalan watak Phoebe, Trevor, Podcast, Lucky dan Grooberson ia jelas memberi peluang yang peminat ada harapan untuk nantikan kesinambungan kepada Afterlife. Sama ada sekuel, spin-off dalam siri TV yang berlaku dalam dunia yang sama.

Apabila ada watak yang bijak dibawakan oleh pelakon yang berbakat, Phoebe membuatkan saya teringat kepada Eleven dalam Stranger Things. Watak ini boleh membesar dengan francais Ghostbusters dan menjadi pengganti kepada Egon Spengler baharu. Penglibatan Lucky dan Podcast pula adalah peluang terbaik untuk Sony mengimplementasikan keadilan diversiti di antara kaum dan jantina.

Dengan ada pengarah dan penulis yang sama, iaitu bapa dan anak – mereka berdua boleh ketuai masa depan Ghostbusters. Setiap elemen asli boleh digubal agar ia masuk akal dan boleh diterima jika ia berlaku di dunia kita sekarang – moden. Bukan itu sahaja, sinematografi yang cantik juga boleh dikekalkan.

Sambil merujuk apa kemampuan filem lalu, cuba tiru semula dengan teknologi moden dan masukkan iterasi baru – filem ini akan ada dua kumpulan peminat. Yang asal dan yang baru yang akan mula menghargai yang asal.

Saya boleh bayangkan masa hadapan, di mana francais filem kegemaran akan ada olahan francais baharu dengan pelakon muda yang akan member nafas baru kepada sesuatu yang sudah kita kenal. Ini adalah satu benda yang Marvel lakukan, DC, dan banyak lagi. Trend mengolah IP sedia ada, dan jadikan satu filem baharu atau siri TV yang masih boleh menghormati elemen asal.

Apa-apa pun, apa yang Afterlife bawakan ini tidak mengecewakan. Sepanjang menonton, ia membawakan senyuman kepada saya dan rasa gembira menonton sesuatu yang minat tetapi bersesuaian dengan dunia moden memang menarik.

Kesimpulan

Filem ini adalah satu filem yang amat mudah untuk diramal. Tidak dinafikan yang ia mempunyai penceritaan yang klise, tetapi ia seronok untuk ditonton kerana penyampaian yang tidak meleret dan amat lancar. Penceritaan adalah ringkas dan mudah faham. Setiap watak yang ada rasa cukup, dengan watak utama berjaya membawakan cerita dalam filem ini dengan baik sekali.

Setiap easter egg dalam filem ini juga tidak terlampau banyak dan hanya mencukupi untuk filem ini cukup memberi hormat kepada filem asal. Ghostbusters: Afterlife adalah filem yang seronok ditonton jika ada masa lapang, tonton bersama seisi keluarga ataupun terus mara tonton dua filem asal daripada tahun 1980-an dan terus tonton filem ini akan memberi satu memori indah kepada semua.

Ghostbusters: Afterlife
Di pawagam 2 Disember
Sekuel kepada Ghostbusters 1984. 30 tahun tiada lagi gangguan hantu, tiba-tiba ancaman sama 1984 menghantui satu bandar kecil. Hal ini melibatkan cucu Egon Spengler, dengan prestasi lakonan mantap, fan service memuaskan dan penyampaian penuh emosi.
Positif
Penyampaian cerita yang ringkas dan lancar
Memuaskan hati peminat dengan banyak easter egg
Prestasi lakonan mantap, persediaan "universe" filem baharu
Negatif
Jalan cerita yang mudah diramal
Tidak banyak watak diberi pendedahaan baik
9
Skor Ulasan

Leave a Reply