Pada 10 Jun lepas, Wizards of the Coast telah melancarkan penambahan seterusnya untuk permainan kad Magic the Gathering mereka iaitu Commander Legends: Battle for Baldur’s Gate yang merupakan penambahan rentas-siri dengan Dungeons & Dragons.

Ia adalah penambahan Commander Legends yang memfokuskan kepada sesi permainan mod draft dan menyertakan 361 kad baharu dan juga kad yang dihasilkan semula.

Bersempena dengan pelancaran ini, Wizards telah menyediakan kami satu kotak Set Boosters untuk nyah-kotak dan melihat sendiri rekaan-rekaan baharu yang digunakan di dalam penambahan ini.

Kandungan Kotak Set Boosters

Sekotak Set Boosters untuk Commander Legends: Battle for Baldur’s Gate ditawarkan dengan harga RM480 yang mengandungi 18 Set Boosters yang setiap satunya akan mengandungi 15 kad Magic, 1 Kad Seni, 1 Token, 1 Kad Iklan atau 1 Kad daripada ” The List” iaitu kad lama yang dibawa kembali.

Seperti Set Booster untuk penambahan sebelum ini, berikut adalah kandungan mengikut jenis kad yang disediakan;

  • 1 hingga 7 kad Rare ataupun lebih tinggi
  • 3 – 10 kad Uncommon
  • 3 – 9 kad Common
  • 1 kad Foil
  • 1 kad Foil-etched

Seperti yang kami kongsikan sebelum ini, mengambil inspirasi daripada Baldur’s Gate, kad di dalam set ini juga akan menyertakan rekaan rangka Rulebook yang akan memperlihatkan rekaan seperti ‘Dungeons & Dragons Monster Manual’.

Apa yang kami dapat bukanlah kad-kad yang mempunyai rarity yang tinggi akan tetapi dengan rekaan yang berbeza ini memberi tarikan sendiri untuk bukan sahaja menggunakan kad di dalam sesi permainan tetapi juga mengumpulnya.

Selain itu, kad untuk Land juga mempunyai rekaan tersendiri seperti mana penambahan-penambahan sebelum ini, dan kali ini ia membawa rekaan berdasarkan dunia di kawasan Baldur’s Gate yang sudah semestinya menarik minat bagi pemain-pemain yang juga bermain Dungeons & Dragons.

Antara kad yang mempunyai rarity Mythic yang kami peroleh daripada Set Booster ini adalah Minsc & Boo, Timeless Heroes yang merupakan kad jenis Legendary Planeswalker, yang boleh menggunakan counter +1 untuk meletakkan tiga token +1/+1 ataupun counter -2 untuk mengorbankan mana-mana creature dan menyerang creature lawan menggunakan kuasa kad tersebut.

Tawaran Lain

Commander Legends: Battle for Baldur’s Gate akan ditawarkan di dalam beberapa pilihan kotak selain daripada Set Boosters yang saya kongsikan di atas iaitu Draft Boosters yang ditawarkan dengan harga RM460, kotak Collector Boosters yang ditawarkan dengan harga RM1,250 bersama dengan Commander Decks yang mempunyai 4 pilihan dan ditawarkan RM140 setiap satu, Pek Pra-pelancaran ditawarkan dengan harga RM75 dan Commander Legends Bundle dengan harga RM220.

Pemain-pemain di beberapa negara Asia Tenggara terpilih termasuk juga Malaysia juga berpeluang untuk mendapatkan dadu rekaan khas dengan setiap pembelian kotak Collector Booster. Anda boleh layari WPN Stores untuk membelinya.

Sohor Kini