Capcom ketika Capcom Showcase mereka telah mengumumkan penambahan untuk Resident Evil Village iaitu The Winter’s Expansion yang akan tiba pada 28 Oktober 2022 untuk kesemua platform ia dikeluarkan.

Penambahan ini akan menyertakan tiga kandungan baharu iaitu mod third-person, penambahan untuk mod The Mercenaries dan juga Shadows of Rose iaitu penceritaan tambahan yang akan memfokuskan kepada watak Rosemary yang diperkenalkan di akhir permainan.

Bermula pada 28 Oktober kelak, pemain boleh bermain keseluruhan mod penceritaan secara third-person yang akan memberikan pengalaman baharu untuk bermain. Mod ini berkemungkinan besar boleh ditukar semasa di dalam sesi permainan, oleh itu jika anda masih lagi sedang bermain boleh mencuba menggunakan mod ini kelak.

Manakala bagi penambahan untuk mod The Mercenaries mereka menambah tiga watak yang boleh digunakan iaitu Chris Redfield, Karl Heisenberg dan Alcina Dimitrescu. Setiap daripadanya akan mempunyai pergerakan dan juga senjata tersendiri.

Kandungan terakhir adalah Shadows of Rose iaitu penambahan penceritaan yang memfokuskan kepada Rosemary Winters, iaitu anak kepada Ethan yang merupakan bayi sepanjang kempen utama, tetapi telah membesar pada akhir permainan.

Di dalam penambahan ini Rosemary memasuki di dalam kesedaran Megamycete untuk menutupnya. Di dalam, dia berjumpa dengan satu watak yang berwajah seperti dirinya sendiri. Penceritaan ini akan dimainkan sepenuhnya secara third-person. Pemain boleh membeli peluru dan ubat akan tetapi di dalam jumlah yang sangat terhad.

Capcom juga telah mengumumkan yang Resident Evil Village Gold Edition akan dikeluarkan pada tarikh yang sama, di mana ia menyertakan permainan utama dan juga Winter’s Expansion.

Mod permainan multi-pemain iaitu Resident Evil Re: Verse yang akan ditawarkan secara percuma untuk pemilik Village juga akan tiba pada tarikh yang sama.

Resident Evil Village sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Sohor Kini