EA telah mengesahkan sesuatu yang diura-urakan sejak beberapa bulan lepas dengan mengumumkan yang mereka akan menggunakan judul baharu untuk permainan simulasi bola sepak, iaitu berbanding menggunakan jenama FIFA, mereka akan memanggilnya sebagai EA Sports FC, FC mungkin merujuk kepada Football Club.

Di pengumuman yang berlainan, FIFA iaitu badan organisasi bola sepak dunia, telah mengumumkan yang mereka telah membenarkan EA untuk terus menggunakan jenama FIFA bagi permainan keluaran tahun ini, iaitu FIFA 23, akan tetapi mereka juga sedang membangunkan beberapa permainan bola sepak kendiri, namun ia bukan satu permainan simulasi.

Salah satu permainan bola sepak baharu tersebut akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini bersempena dengan Piala Dunia di Qatar. Dengan ia bukan satu permainan simulasi, ia mungkin permainan bola sepak kasual ataupun arked, seperti NBA 2K Playgrounds ia juga mungkin sekadar pengalaman tambahan untuk Piala Dunia.

Manakala bagi permainan simulasi bola sepak pula, FIFA sedang di dalam perbincangan dengan beberapa penerbit permainan lain, untuk hadir dengan permainan utama pada tahun 2024 dan mungkin akan meneruskan penamaan FIFA 24 atau FIFA 25. Mereka juga menegaskan yang permainan sebenar bola sepak, akan menggunakan jenama FIFA.

Buat masa ini, antara penerbit yang diura-urakan adalah 2K Sports yang merupakan penerbit utama untuk permainan simulasi bola kerajang, NBA 2K.

Sohor Kini