Jika anda ingin mencari satu filem yang menggambarkan konsep Popcorn Flick ataupun Kuis Bertih Jagung, The Lost City adalah filem yang benar-benar membawa konsep tersebut. Ia tidak membawa sebarang perkara yang luar biasa ataupun menarik, akan tetapi masih lagi satu filem yang saya mempunyai masa yang baik menonton.
Persoalan sekarang adakah ia satu filem yang berbaloi untuk anda membayar tiket dan meluangkan masa keluar ke pawagam? Kebiasaannya saya akan kata ya, akan tetapi dengan hadirnya pelbagai perkhidmatan penstriman, ia mungkin bergantung jika anda benar-benar tiada filem lain yang lebih baik untuk ditonton.
The Lost City adalah mengenai Loretta Sage lakonan Sandra Bullock yang merupakan seorang penulis novel terkenal akan tetapi selepas kematian suaminya, dia mengalami masalah untuk menulis penceritaan yang baik. Di dalam buku terbaru yang ditulis iaitu The Lost City of D, dia menceritakan mengenai satu tempat tersembunyi yang dikaji bersama suaminya.
Perkara tersebut telah menarik minat Abigail Fairfax lakonan Daniel Radcliffe yang merupakan seorang jutawan dan mempunyai minat di dalam mencari harta karun. Dia ingin mencari tempat tersembunyi tersebut dan telah menculik Loretta untuk membantu usaha tersebut.
Manakala Alan Caprison lakonan Channing Tatum adalah model untuk muka depan bagi The Lost City of D, selain sekadar menjadi model bagi novel tersebut, dia juga menyukai Loretta. Oleh itu, apabila dia melihat Loretta diculik, maka bermula misi menyelamat yang kemudiannya bertukar menjadi misi mencari tempat tersembunyi.
Saya tidak mempunyai masalah dengan kualiti mana-mana pelakon, akan tetapi merasakan setiap watak dihasilkan dengan kurang menarik. Ia adalah satu filem komedi, akan tetapi saya tidak merasakan yang watak itu sendiri perlu menjadi komedi. Disebabkan terlalu inginkan komedi ini, perwatakan-perwatakan untuk setiap watak terasa kurang dan cliche, hanya di bahagian akhir watak-watak ini menjadi lebih baik sekali gus menjadi penceritaan lebih baik.
Perhubungan antara Loretta dan Alan juga ada masa menjadi sedikit mengelirukan, filem ini cuba untuk menjadikan kisah romantis di antara mereka berdua, namun di kebanyakan tempat ia kurang menjadi, walaupun di bahagian-bahagian yang serius ataupun ‘drama’ dan sekali lagi hanya di bahagian akhir sahaja ia memberi impak.
Watak penjahat pula iaitu Abigail, Daniel Radcliffe memberikan prestasi yang baik akan tetapi wataknya adalah terlalu cetek dan terasa sama sahaja dengan watak-watak jahat di puluhan filem yang lain mengenai orang kaya yang taksub dengan sesuatu.
Satu perkara yang saya boleh katakan adalah filem ini melakukan ‘pencarian harta karun’ yang lebih baik berbanding filem Uncharted yang saya ulas sebelum ini ataupun Jungle Cruise. Setiap kali mereka menjumpai klu baharu ia disampaikan dengan baik, bahkan penemuan terakhir juga disampaikan dengan menarik kerana ia mempunyai penceritaan tersendiri.
Dari segi aksi dan CGI, ia dilakukan dengan baik untuk memberikan aksi kepada filem ini, ia memuaskan walaupun hanya dilakukan dengan ringkas sahaja. Kawasan-kawasan yang dipilih juga adalah baik dan bersesuaian dengan suasana yang cuba dibawa oleh filem ini.
Rumusannya, The Lost City adalah satu filem yang saya tidak akan katakan sebagai satu filem yang bosan, banyak bahagian di dalam filem ini membuatkan saya ketawa, ada beberapa bahagian yang juga memberikan filem drama dan filem aksi yang baik, akan tetapi tiada mana-mana bahagian yang saya anggap boleh diingati.
Ia adalah satu filem ringkas, filem yang sudah banyak kali dilakukan, tetapi dengan gandingan yang baik di antara Sandra Bullock serta Channing Tatum, ia satu filem yang berbaloi untuk anda luangkan masa menonton, walaupun tidak semestinya anda perlu ke pawagam dan boleh sahaja menantikannya untuk tiba di mana-mana platform penstriman.
Penafian: Tayangan awal untuk The Lost City disediakan oleh United International Pictures. Ia akan mula ditayangkan pada 7 April 2022.