Sony melalui penubuhan PlayStation Production ingin memperluaskan penawaran IP mereka kepada lebih banyak jenis media, ini termasuklah filem dan juga siri TV. Mereka bakal hadir dengan siri TV The Last of Us yang akan dibangunkan oleh HBO dan untuk artikel ini, ia adalah mengenai filem berdasarkan satu lagi permainan oleh Naughty Dog iaitu Uncharted.

Permainan pertama Uncharted dikeluarkan pada tahun 2007 dan permainan terakhir adalah pada tahun 2017 iaitu Uncharted: The Lost Legacy, tidak mengambil kira pengeluaran semula Uncharted: Legacy of Thieves Collection. Di dalam 10 tahun tersebut, Uncharted boleh dikatakan sebagai satu IP yang dikenali ramai, dan Nathan Drake adalah antara watak utama paling popular di dalam industri permainan video.

Dengan kata lain Filem Uncharted mempunyai satu tugasan yang besar untuk memenuhi kehendak peminat-peminat tegar. Namun, pada masa sama, saya juga merasakan tidak adil untuk melihat filem ini daripada perspektif pemain sahaja, kerana ia juga akan ditonton oleh mungkin jutaan penonton yang tidak pernah menyentuh permainan ini.

Oleh itu, bagi ulasan untuk filem Uncharted ini saya akan bahagikan kepada dua bahagian iaitu sebagai seorang penonton filem dan sebagai peminat untuk siri permainan ini.

Uncharted adalah filem yang memfokuskan kepada watak Nathan Drake (lakonan Tom Holland) iaitu seorang pelayan bar yang mempunyai minat dan pengetahuan mengenai sejarah-sejarah silam terutama mengenai harta karun yang tersembunyi di pelosok dunia dan juga mempunyai kemahiran untuk menyeluk saku.

Victor Sullivan (lakonan Mark Wahlberg) juga berminat dengan harta karun dan telah mengajak Nathan Drake untuk mencari harta karun yang ditinggalkan oleh pelayar Ferdinand Magellan pada 500 tahun yang dahulu. Pada awalnya, Nathan tidak berminat tetapi apabila Sullivan mengatakan yang ia berkait dengan abangnya Samuel Drake, bermula pengembaraan mereka berdua.

Bagi yang tidak tahu menahu mengenai siri permainan, saya boleh katakan yang filem ini adalah seronok dan mendebarkan, ia juga adalah satu pengenalan baik Nathan Drake ke layar perak. Perhubungan di antara Drake dengan Sullivan dilakukan dengan baik, lakonan Tom Holland agak serasi dengan Mark Wahlberg.

Walaupun mereka tidak diberi masa yang mencukupi untuk mempunyai perkembangan watak yang lebih mendalam, akan tetapi apa yang disampaikan sudah cukup baik. Namun, ia berlainan untuk watak-watak lain terutama tiga watak utama yang lain iaitu Chloe Frazer (lakonan Sohia Ali), Santiago Moncada (lakonan Antonio Banderas) dan Braddock (lakonan Tati Gabrielle).

Ketiga-tiga watak ini memainkan peranan yang penting menjadi kawan dan juga lawan kepada Drake dan juga Sullivan, akan tetapi penyampaian terasa sangat cetek dan kurang menarik. Ia bukanlah salah lakonan ataupun pelakon itu sendiri, akan tetapi bahagian yang diberikan kepada mereka tidak mencukupi untuk mempunyai sebarang perhubungan dengan penonton. Terutama watak Moncado yang mempunyai pelakon yang terkenal tetapi terbazir dengan perwatakan yang sangat generik dan terhad.

Filem Uncharted boleh disamakan dengan filem-filem lain yang mencari harta karun, seperti Indiana Jones, National Treassure mahupun satu lagi IP permainan video iaitu Tomb Raider. Perkara yang penting mengenai filem-filem seperti ini adalah debaran mencari harta karun ini, dan saya boleh katakan ia dilakukan dengan sederhana sahaja.

Menarik untuk melihat mereka mendapat penunjuk, yang membawa ke satu tempat lain, memasuki kawasan misteri yang penuh perangkap, akan tetapi ia terasa terlalu cepat, dan apabila penemuan besar dilakukan saya sekadar tertanya “itu sahaja?”, ia tidak memberi kepuasan ataupun debaran yang mencukupi. Ia mungkin kerana kekangan masa, akan tetapi saya ingin sesuatu yang lebih rumit dan kompleks.

Bagi aksi pula, ia adalah cukup memuaskan, terdapat pelbagai aksi yang menarik dan mendebarkan. Saya inginkan lebih banyak aksi yang ‘besar’ akan tetapi ia hanya dilakukan di bahagian akhir filem sahaja walaupun sedikit kecewa, tetapi sekurang-kurangnya ia memberikan satu penutup yang baik.

Secara ringkasnya, saya boleh katakan yang jika anda sekadar ingin menonton filem, ia adalah satu filem yang cukup baik dan anda akan mempunyai masa yang baik. Namun, jika anda seperti saya dan jutaan orang lain yang boleh dikatakan membesar dengan siri permainan ini, ia lebih mengecewakan.

Terdapat banyak perubahan yang dilakukan kepada watak yang bagi saya menjadikan watak-watak tersebut kurang menarik jika ingin dibandingkan dengan permainan video. Selain itu, di dalam permainan video Uncharted adalah mengenai pengembaraan yang epik, akan tetapi filem ini membawa pengembaraan yang sederhana dan tidak langsung epik.

Berbanding mengembara ke pelbagai negara mencari harta karun dengan pelbagai halangan bukan sahaja daripada penjahat tetapi juga pelbagai tekaria yang terdapat di kawasan-kawasan yang direka sangat baik. Filem Uncharted bagaikan satu salinan yang kurang berkualiti sahaja, banyak elemen yang memberi perasaan epik, tidak ditawarkan.

Oleh itu, jika anda bercadang untuk menonton filem ini, dan saya masih lagi mengesyorkan untuk anda lakukannya, letak harapan anda di tahap yang sederhana sahaja, dan jangan terlalu kaitkan filem ini dengan siri permainan video, yang bagi saya tidak adil tetapi pada masa agak sukar untuk tidak dibandingkan kerana mereka memilih untuk menggunakan IP dan watak daripada siri ini.

Saya boleh katakan, bahagian terbaik di dalam filem ini apabila melihat video pengenalan untuk PlayStation Productions.

Penafian: Tayangan awal untuk Uncharted disediakan oleh Sony Pictures, ia akan mula ditayangkan di pawagam pada 17 Februari 2022.

Uncharted
Satu pengenalan yang baik untuk Nathan Drake Ke Layar Perak, tetapi mengecewakan untuk peminat-peminat siri permainan
Positif
Lakonan Yang Baik Untuk Kebanyakan Watak
Aksi Yang Mendebarkan
Negatif
Perwatakan Yang Lemah
Pengembaraan Kurang Epik
Banyak Perubahan Watak Yang Kurang Menarik
7

Sohor Kini