Ulasan Ambulance – Ringkas, Pantas, Padat Dan Bolehlah

Michael Bay adalah pengarah yang terkenal untuk filem Bad Boys dan francais filem Transformers. beliau sudah lama tidak mempunyai filem untuk tayangan di panggung wayang. Kali terakhir adalah pada tahun 2017 untuk filem Transformers: The Last Knight. Tahun 2019 pula adalah filem untuk Netflix iaitu 6 Underground. Selepas lima tahun, beliau kembali dengan filem untuk pawagam iaitu filem aksi bertemakan rompakan dan keluarga – Ambulance.

Filem ini adalah olahan semula kepada filem Ambulancen yang ditayangkan pada tahun 2005, iaitu filem Denmark daripada Laurits Munch-Petersen dan Lars Andreas Pedersen. Dalam Ambulance, watak utamanya adalah Danny Sharp lakonan Jake Gyllenhaal dan Will Sharp lakonan Yahya Abdul-Mateen II.

Danny Sharp perompak hebat yang terkenal mengikut jejak langkah arwah bapa beliau, William Sharp pula merupakan bekas tentera marin yang terdesak memerlukan duit untuk isteri beliau kerana sistem kesihatan di Amerika Syarikat yang teruk dan insurans yang tidak boleh menanggung kos pembedahan eksperimental. Disebabkan beliau bertemu dengan Danny abang kesayangan selepas bertahun tidak berjumpa antara satu sama lain kerana berbeza pandangan dalam kerjaya dan kehidupan.

Daripada inginkan pinjam $231,000 sahaja Will terlibat dengan rompakan $32 juta bersama Danny. Sepanjang rompakan berlaku, tanpa disedari – pasukan Danny sudah pun dipantau lama oleh SIS iaitu Special Intelligence Service akan aktiviti mereka. Dalam misi menyelamatkan diri, Danny dan Will telah merampas sebuah ambulans yang mana di dalamnya ada seorang polis cedera serta wakil EMT Cam Thompsan lakonan Eiza González.

Sepanjang filem ini ia adalah filem kejar mengejar di antara kenderaan polis dan ambulans rampasan tadi. Boleh dikatakan dari mula filem sehingga tamat. Dengar seakan bosan, tetapi sebenarnya ia agak mengasyikkan kerana cerita yang ringkas dan memudahkan penonton untuk fokus sepenuhnya kepada filem ini. Filem ini juga tidaklah begitu meleret, kerana baru sahaja mula filem rompakan dan kejar mengejar ini terus bermula. Tetapi aku rasakan, tidak semua akan suka dengan konsep filem ini kerana seakan kosong dan terlampau ringkas dan banyak masa habis di dalam ambulans dan ada sikap pihak berkuasa klise yang degil dan tidak boleh berfikir dengan cekap walaupun jelas kelihatan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Dalam filem ini, tiga watak utama iaitu Jake, Yahya dan Eiza adalah antara yang paling menyerlah. Prestasi lakonan masing-masing adalah mantap dan penuh dengan emosi. Mungkin bukanlah yang terbaik untuk tahun ini atau dengan apa yang sudah kita tonton pada tahun lepas serta berbanding filem-filem lain mereka – tetapi watak yang mereka bawakan dalam filem ini menjadi. Walaupun begitu, aku yakin sesetengah orang akan kata mana-mana pelakon yang setaraf dengan mereka boleh bawa sahaja watak-watak ini dengan mudah kerana cerita yang ringkas.

Cerita yang ringkas ini juga membawa kepada satu masalah, iaitu mudah diramal apa yang akan berlaku. Ia adalah standard untuk filem rompakan, penganiayaan antara ahli keluarga, pihak berkuasa dungu – semuanya mudah dibaca.

Filem ini tidak mempunyai perkembangan watak yang menyerlah, sebaliknya lebih kepada Cam dan Danny sahaja. Aku akan mulakan dengan Danny, iaitu seorang abang yang kelihatan hebat, tegas dan ada sedikit baran apabila berada dalam keadaan tertekan. Namun atas sayang adik angkat beliau Will, beliau mula sedar kesilapan yang telah dilakukan – tetapi terlewat untuk segalanya. Cam pula watak EMT yang berbakat dan hebat dengan kerja beliau. Perwatakan yang jenis memendam segala perasaan dan kononnya nampak profesional ini berubah menjadi individu yang terus sedar – perasaan yang dipendam tidak boleh simpan lama jika menderita. Sebaliknya ia perlu diluahkan dan tunjuk rasa simpati dan sayang terhadap orang lain termasuk mangsa yang beliau berjaya selamatkan.

Will dari awal aku boleh jangka, yang dari mula hingga akhir watak beliau konsisten dengan pendirian tersendiri. Kecuali dalam keadaan terdesak yang memaksa atau tidak sengaja melakukan perkara di luar sifat sebenar beliau. Watak-watak lain dalam filem ini adalah klise sahaja.

Dari segi sinematografi, filem ini boleh dikatakan biasa sahaja. Apa yang mengejutkan elemen letupan yang terkenal dalam filem Michael Bay tidak banyak berlaku. Masih ada, tetapi sedikit yang membuatkan filem ini rasa lebih boleh diterima. Tetapi dah nama pun Michael Bay, jika ada adegan letupan – letupan yang berlaku adalah melampau sehingga aku terfikir takkanlah boleh meletup macam tu…

Penggunaan kamera juga agak aneh dan memeningkan. Banyak pergerakan yang laju, naik ke atas dan berpusing. Anda boleh lihat sendiri dalam treler. Filem dengan durasi 2 jam ini, walaupun rasa syok untuk tonton – pada aku ia bukanlah filem yang seronok untuk tonton dalam dewan IMAX. Dewan biasa dengan projektor biasa juga sudah memadai.

Filem ini jika dibandingkan dengan 6 Undeground, Ambulance jauh lebih baik dan lebih seronok untuk layan sambil memakan bertih jagung. Ia juga adalah filem yang pada aku layan untuk tonton sekali dan kali kedua mungkin akan rasa bosan. Perjalanan filem yang ringkas, prestasi watak utama yang boleh diterima tetapi sinematografi yang tidak begitu hebat – untuk filem Michael Bay yang sudah lama tiada di pawagam anda mungkin akan layan sahaja.

Filem Ambulance diberikan akses awal kepada Aksiz untuk tujuan ulasan. Filem ini akan mula ditayangkan kepada umum 24 Mac, Khamis – esok.

Ambulance
Tayangan bermula 24 Mac
Dua beradik merompak $32 juta di bank, tanpa disedari pasukan rompakan ini telah dipantau oleh pihak berkuasa. Dalam cubaan menyelamatkan diri, mereka merampas sebuah ambulans yang di dalamnya ada wakil EMT dan polis yang cedera parah.
Positif
Jalan cerita yang ringkas dan mudah dilayan
Prestasi watak utama yang boleh diterima
Negatif
Masih ada elemen klise
Rakaman yang memeningkan sedikit
6.5
Skor Ulasan

Sohor Kini