Apple hari ini telah mengumumkan beberapa kemaskini untuk penawaran peranti-peranti mereka termasuk juga peranti baharu. Antara yang diumumkan adalah generasi baharu untuk iPhone SE iaitu model paling mampu milik untuk iPhone dan juga iPad Air yang telah dikemaskini dengan cip serba baharu.

iPhone SE (2022)

Bagi iPhone SE, Apple telah meletakkan cip pemprosesan A15 Bionic iaitu cip yang turut digunakan oleh iPhone 13 dan iPhone 13 Pro yang dilancarkan pada tahun lepas. iPhone SE yang generasi lepas dikeluarkan pada tahun 2020 dan menggunakan cip A13 Bionic, oleh itu ia boleh dikatakan sebagia naik taraf untuk dua generasi.

Selain cip, kebanyakan bahagian lain masih mengekalkan rekaan daripada iPhone SE dua tahun lepas, seperti menggunakan skrin bersaiz 4.7″, Retina Display (IPS LCD), dengan resolusi 1334 x 750. Ia ditawarkan dengan tiga pilihan storan iaitu 64GB dengan harga RM2099, 128GB dengan harga RM2299 dan 256GB dengan harga RM2799. Ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Midnight, Starlight dan (PRODUCT)RED.

Sesi pra-tempahan di Malaysia bermula 18 Mac 2022 ini, dan ia akan mula dipasarkan pada 25 Mac 2022 ini.

iPad Air (2022)

Manakala iPad Air juga yang seperti iPhone SE akhir sekali dikeluarkan pada tahun 2020 telah menerima kemaskini dengan cip serba baharu. Berbanding menggunakan cip A15, ia menggunakan cip M1 yang sebelum ini digunakan oleh Macbook dan juga iPad Pro. Ia akan menawarkan prestasi yang lebih tinggi berbanding cip yang dikhususkan untuk peranti mudah alih sebelum ini.

iPad Air baharu ini juga mengekalkan rekaan daripada iPad Air generasi lepas dengan menggunakan skrin bersaiz 10.9″, Liquid Retina (IPS LCD) dengan resolusi 2360 x 1640. Ia ditawarkan dengan dua pilihan storan iaitu 64GB dengan harga RM2699 dan 256GB dengan harga RM3349, dan tambahan RM650 jika ingin mendapatkan model dengan sokongan selular termasuk juga 5G. Ia ditawarkan dengan 5 pilihan warna iaitu Space Gray, Starlight, Pink, Purple, dan Blue.

Sesi pra-tempahan di Malaysia juga akan bermula pada 18 Mac 2022.

Sohor Kini