The Boys Presents: Diabolical adalah siri animasi ini dan ia merupakan antologi yang berlaku dalam dunia sama siri aksi nyata The Boys.
Terdapat 8 episod, setiap episod daripada pencipta berlainan dengan rekaan animasi berbeza. Tetapi masih menjanjikan pengalaman menonton yang ngeri, seriau, tidak disangka, lucu, dan mengejutkan sama seperti siri aksi nyata The Boys.
Treler penuh pertama telah pun dikongsi hari ini, selepas mebgacah klip Laser Baby dan parodi iklan McD.
Dalam treler ini ia memperlihatkan beberapa klip untuk setiap episod dalam siri ini. Watak-watak daripada The Boys dalam versi animasi turut boleh dilihat melakukan aksi lebih kurang sama dengan versi aksi nyata. Ia juga masih ganas dan ngeri, ada juga adegan yang menjijikkan tetapi lucu.
Anda juga perlu ingat yang siri animasi ini akan menggunakan kata-kata kesat. Apa yang menarik lagi adalah, Simon Pegg menyuarakan watak Hughie. Ia menarik kerana watak ini pada asalnya dihasilkan berasaskan Simon sendiri dengan harapan suatu hari nanti ia akan diadaptasi menjadi aksi nyata. Namun itu tidak menjadi, dan kini pencipta The Boys dapat saksikan satu episod Hughie dilakonkan oleh pelakon sebenar yang mereka inginkan.
Siri animasi ini turut menyertakan pelbagai pelakon hebat seperti Awkwafina, Evan Goldberg, Seth Rogen, Andy Samberg, Simon Pegg, Kumail Nanjiani dan ramai lagi. Siri ini akan disiarkan di Prime Video pada 4 Mac akan datang.