Penafian: Permainan Uncharted: Legacy of Thieves Collection untuk PS5, disediakan oleh Sony Interactive Entertainment bagi tujuan ulasan ini. Ia akan dilancarkan pada 28 Januari 2022 di PlayStation 5. Ia juga diumumkan untuk PC akan tetapi masih tiada tarikh pelancaran.
Selain The Last of Us, Uncharted adalah satu lagi judul oleh Naughty Dog yang menjadi sinonim dengan mereka, menjadikan ia satu IP yang penting. Sama ada kita akan menerima permainan baharu berdasarkan Uncharted masih tidak disahkan lagi. Namun, kita sekurang-kurangnya akan menerima satu filem aksi nyata dan juga fokus utama bagi ulasan ini iaitu Uncharted: Legacy of Thieves Collection.
Uncharted: Legacy of Thieves Collection yang akan dikeluarkan pada 28 Januari 2022 ini, menyertakan dua permainan terakhir untuk Uncharted iaitu Uncharted 4: A Thief’s End dan Uncharted: The Lost Legacy yang pertama kali dikeluarkan pada tahun 2016 dan 2017. Selain menawarkan kedua-dua permainan, ia juga merupakan koleksi yang menerima penambah-baikkan grafik untuk PlayStation 5 dan PC.
Bagi saya, keputusan PlayStation Studios untuk mengeluarkan semula dua permainan ini dengan penambah-baikkan grafik adalah satu keputusan yang tepat. Semasa saya bermain kedua-dua permainan buat pertama kali, saya sudah menyukai dengan keseluruhan pengalaman yang ditawarkan. Ditambah lagi dengan kualiti yang ditambah baik, menjadikan permainan ini berganda-ganda lebih baik dan ia adalah wajib untuk dimainkan sekali lagi, dan tambahan lagi jika anda tidak pernah bermain-nya sebelum ini.
Uncharted: Legacy of Thieves Collection menyertakan tiga pilihan tetapan grafik iaitu Fidelity Mode (4K/30FPS), Performance Mode (menyasarkan 60FPS) dan Performance+ Mode (1080/120FPS). Setiap tetapan akan membawa kelebihan tersendiri, akan tetapi bagi saya, Uncharted tidak pernah mempunyai kekurangan kualiti grafik, oleh itu pilihan kelancaran yang lebih tinggi akan memberikan pengalaman terbaik.
Jika anda memiliki paparan yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, Performance+ adalah pilihan terbaik, jika tidak Performance. Fidelity Mode berguna untuk anda yang memiliki paparan 4K, walaupun begitu saya masih mencadangkan untuk bermain Performance kerana, kelancaran sangat penting di dalam permainan ini. Apabila saya bermain Performance+, dan mencuba Performance pun sudah cukup untuk merasakan pengalaman yang kurang memuaskan.
Tidak kesemuanya baik untuk grafik bagi permainan ini, masih terdapat pelbagai masalah terutamanya clipping yang boleh mengakibatkan anda memulakan permainan, namun dengan pemuatan boleh dikatakan segera ia bukan satu masalah besar. Selain itu, ia juga mempunyai pepijak grafik seperti ternampak bagaikan grid di bahagian muka, ataupun hujan yang nampak sangat pelik. Ia adalah masalah-masalah kecil yang mungkin akan diperbaiki, jika pun tidak ia tidak sangat menjejas pengalaman bermain.
Bagi anda yang tidak pernah bermain mana-mana permainan Uncharted, ia mungkin permainan yang keempat dan kelima bagi siri ini, akan tetapi selain untuk mengenali beberapa watak dan juga memahami pelbagai rujukan yang dilakukan, anda tidak perlu bermain tiga permainan sebelum ini, untuk memulakan permainan ini. Namun, saya masih berharap yang PlayStation Studios turut membawa tiga permainan tersebut ke versi penambah-baikkan ini.
Walaupun ia menyertakan dua permainan akan tetapi dari segi bentuk permainan saya boleh melakukan ulasan kedua-duanya secara serentak kerana ia banyak berkongsi bentuk permainan yang sama, dan sekadar mempunyai latar dan watak yang berbeza. Di dalam Uncharted 4 anda akan mengawal Nathan Drake, watak yang sama untuk tiga permainan sebelum ini, dan di dalam The Lost Legacy akan mengawal watak Chloe Frazer iaitu watak yang pernah hadir di dalam permainan Uncharted sebelum ini sebagai kenalan kepada Nathan Drake.
Kedua-dua permainan akan memfokuskan kepada pencarian satu peninggalan sejarah ataupun ‘harta karun’. Drake mencari harta karun lanun Henry Avery manakala Chloe Frazer mencari gading Ganesh. Kedua-duanya akan dihalang oleh satu pihak yang inginkan juga peninggalan tersebut, yang tidak teragak-agak untuk membunuh kedua-dua watak utama ini.
Di samping itu, penceritaan juga akan dikembangkan dengan perhubungan di antara watak-watak, dengan setiap watak dihasilkan dengan baik, kecuali watak jahat yang kebiasaannya adalah cliche, ia meningkatkan lagi kualiti penceritaan. Ditambah lagi, setiap watak dibawa dengan sangat baik oleh pelakon-pelakon suara serta penulisan yang sangat baik, menjadikan ia satu pengalaman penceritaan yang antara terbaik di dalam permainan video.
Uncharted boleh dikatakan sebagai satu permainan yang linear, kebiasaan pemain akan melalui beberapa tempat yang akan memerlukan pemain untuk menuju dari A ke B. Di antaranya terdapat pelbagai tekaria dan juga pertempuran dengan penjahat-penjahat. Berbeza dengan permainan sebelum ini, kedua-dua permainan ini menyertakan satu segmen di mana satu kawasan yang sedikit luas boleh diteroka mengikut kehendak pemain, seakan-akan permainan dunia terbuka.
Namun, ia adalah terhad dan masih lagi mempunyai banyak bahagian yang lebih linear. Oleh kerana ia adalah satu permainan yang linear, Uncharted tidak mempunyai kelebihan untuk pemain mencari keseronokan sendiri ataupun mencipta pengalaman tersendiri seperti permainan dunia terbuka. Setiap bahagian permainan perlu direka untuk menjadikan ia menarik.
Bagi saya itu adalah kekuatan utama Uncharted, setiap bahagian dihasilkan dengan baik dan epik menjadikan satu permainan yang walaupun linear tidak membosankan. Ia mungkin hadir melalui penceritaan, yang disampaikan dengan baik, setiap watak adalah berkualiti, ataupun melalui rekaan dunia serta tekaria yang menarik dan juga kedua-duanya sekali, menjadikan ia satu pengalaman yang penuh.
Bahkan, disebabkan rekaan setiap bahagian ini sangat baik apabila memasuki bahagian ‘dunia terbuka’ saya merasakan ia adalah bahagian yang paling lemah. Ia membuka peluang kepada pemain untuk lebih meneroka kawasan tersebut, yang dihasilkan dengan sangat menawan, akan tetapi tidak banyak perkara yang boleh dilakukan. Pemain boleh mencari collectible, tetapi ia terasa sangat kosong kerana tiada langsung interaksi daripada Nathan Drake ataupun Chloe Frazer mengenai apa yang dijumpai.
The Lost Legacy mempunyai kawasan dunia terbuka yang lebih baik kerana turut menyertakan collectible yang lebih berguna dan mempunyai misteri serta penceritaan tersendiri akan tetapi ia masih lagi sesuatu yang kurang menarik jika ingin dibandingkan dengan bahagian yang lebih linear. Terutama bahagian seakan “temple run” di mana Nathan ataupun Chloe perlu melarikan diri daripada sesuatu dan perlu melalui pelbagai kawasan serta halangan, ia sangat-sangat menarik. Ditambah lagi dengan kelancaran yang lebih tinggi, menjadikan ia satu pengalaman yang berganda lebih baik.
Saya boleh katakan satu bahagian di mana Nathan Drake perlu menaiki kereta untuk melarikan diri adalah antara bahagian yang terbaik pernah hadir di dalam permainan video. Ia sangat mendebarkan dan sangat epik.
Namun, satu kelemahan permainan ini adalah pertempuran senjata, saya tidak pernah menyukainya tidak kira dari Uncharted yang pertama ataupun yang terbaru ini. Saya merasakan ia terasa terlalu mendatar dan tidak menarik. Disebabkan itu, saya lebih memfokuskan kepada menyelinap berbanding sekadar membalas tembakan. Ia mempunyai beberapa senjata berbeza, tetapi setiapnya tidak membawa keunikan yang besar untuk memberikan pengalaman yang berbeza, semua terasa sama.
Secara ringkasnya saya boleh katakan, ia adalah permainan Aksi Pengembaraan, akan tetapi kekuatan utama untuknya adalah pengembaraan, melalui penceritaan, watak-watak menarik, rekaan dunia, dan juga kepelbagaian tekaria yang dihasilkan. Setiap daripadanya dihasilkan dengan satu ‘skala epik’. Manakala bahagian aksi, seperti pertempuran ia terasa bagaikan satu gangguan berbanding satu yang menambah-nilai kepada permainan.
Uncharted: Legacy of Thieves Collection adalah satu permainan yang menawarkan pengalaman penuh, ia mungkin tidak mempunyai ratusan jam masa bermain, ataupun kawasan yang sangat luas untuk pemain meneroka akan tetapi setiap bahagian yang dihasilkan adalah sangat berkualiti dan dengan skala yang besar. Ia mungkin berbeza mengikut citarasa pemain, akan tetapi bagi saya pengalaman linear adalah lebih baik berbanding memberi kebebasan kepada pemain. Terutama apabila pengalaman tersebut dilakukan dengan baik seperti yang ditawarkan di dalam dua permainan ini.
Dengan rekaan serta arahan permainan yang baik ini, ditambah lagi dengan penambah-baikkan untuk grafik, menjadikan ia satu pengalaman baharu yang merupakan satu alasan yang cukup baik untuk anda mengalami permainan ini sekali lagi. Ini ditambah lagi, jika anda sudah memiliki mana-mana permainan, anda hanya perlu membayar RM40 sahaja untuk mendapatkan koleksi ini. Jika ini akan menjadi permainan Uncharted pertama, ia adalah satu permainan yang akan memberi pengalaman penuh, yang harus dicuba.