Hello Sidney…. siapa ingat ayat ini? Francais Scream adalah filem seram yang lain daripada yang lain, walaupun dikategorikan sebagai filem slasher atyau filem pembunuhan bersiri. Sejak dulu lagi, konsep Scream adalah memecah tembok keempat dengan memperlekehkan konsep filem-filem seram yang sedia ada. Idea mendiang Wes Craven memang menarik dan mengubah konsep genre filem seram.
Scream 2022 atau Scream adalah filem kelima dalam francais ini, tetapi menggunakan nama Scream sahaja kerana dalam filem ini sendiri mereka menggelar yang filem ini adalah rekuel iaitu reboot + sequel.
Disebabkan itu, ia tidak rasa seperti mana-mana filem Scream lain dan memberikan pengalaman menonton yang berbeza. Filem ini juga masih menghormati filem-filem asal seperti melibatkan watak-watak legasi yang bukan sekadar muncul kerana penampilan istimewa, tetapi turut memainkan peranan penting.
Apa kisahnya?
Sangat ringkas sebenarnya jalan cerita filem ini. Ghostface kembali menghantui penduduk bandar Woodsboro, melibatkan sekumpulan remaja watak-watak baru dan juga watak lama. Tetapi fokus utama diberikan kepada Sam dan Tara lakonan Melissa Barrera dan Jenna Ortega, yang ada sejarah silam berkait rapat dengan kes pembunuhan 25 tahun lepas.
Disebabkan Tara diserang Ghostface, Sam mula kembali ke Woodsboro untuk melindungi adik beliau dan meminta bantuan kepada Dewey Riley lakonan tidak lain tidak bukan David Arquette. Perjalanan filem ini adalah untuk cuba merungkai misteri di sebalik Ghostface baharu yang tiba-tiba kembali membunuh dan seperti biasa, peraturan dalam francais Scream – pembunuhnya adalah orang yang penonton kenal iaitu di antara mangsa-mangsa dalam kumpulan ini.
Ini caranya melakukan sekuel
Bukan kali pertama sesebuah filem seram klasik diolah semula atau kembali dengan versi baharu yang moden. Tetapi apa yang pengarah Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett serta penulis filem James Vanderbilt dan Guy Busick lakukan adalah baik sekali. Cara penyampaian cerita, penulisan skrip, sinematografi semuanya patut dicontohi.
Filem yang mempunyai jalan cerita yang ringkas, dapat dipanjangkan menjadi tidak begitu bosan (kecuali pada awal-awal filem) sambil berjaya menyelitkan banyak elemen komedi yang membuatkan aku menjerit dalam panggung kerana teruja dan tergelak macam orang gila.
Betul, ini filem seram ngeri – tetapi ia seolah aku tonton filem parodi seperti Scary Movie. Prestasi lakonan watak utama seperti Sam dan Tara pada aku baik-baik sahaja, cuma kisah mereka berdua ini lebih mendalam dan kaitannya dengan Ghostface didedahkan awal dalam filem membuatkan penonton tidak sabar untuk lihat apa yang akan berlaku. Sam turut ditemani teman lelaki beliau Richie lakonan Jack Quaid.
Seperti sebelum ini, Scream kali ini juga memecahkan tembok ke-4 kerana mereka sedar akan kewujudan filem-filem seram, filem-filem sekuel moden yang tidak menjadi yang mengecewakan peminat dan turut watak dalam filem ini mencadangkan bagaimana perjalanan hidup mereka dalam filem ini. Ia seolah menonton pelakon-pelakon ini berbincang bagaimana mereka boleh menjayakan filem ini agar peminat tidak kecewa. Mereka juga ada teori peminat, senang cerita filem ini selari dengan filem-filem sejak beberapa bulan lalu yang menjadi trend – iaitu menjadi Meta atau separa-meta?
Setiap perbincangan mereka, pendedahan sesuatu yang mengejutkan semuanya disampaikan dengan baik sekali. Aku tidak akan dedahkan banyak, kerana pada aku kalau anda tonton Scream sebelum ini anda akan layan dan sukakan filem ini. Jika anda tidak layan filem Scream sebelum ini juga anda mungkin akan terhibur – tetapi mungkin tidak begitu faham kenapa mereka pecahkan tembok ke-4.
Dalam Scream mereka kerap tekankan yang pembunuh tidak akan mati dengan begitu mudah, pasti akan bangkit dan kembali membunuh serta pembunuh tidak akan berseorangan dan pasti akan ada rakan subahat. Aku tidak rasakan ini satu beberan, kerana masih format sama pada filem Scream lama, jadi ada dua pembunuh dalam filem ini. Apa yang aku terkejut adalah, satu pembunuh klise dan pada awal filem sudah boleh teka dan satu lagi pembunuh memang berada di luar jangkaan dan akan buatkan anda terkejut.
Watak legasi menggamit rindu
Neve Campbell kembali sebagai Sidney, Courtney Cox juga kembali menjadi Gale, Marley Shelton yang dulunya adalah Deputy Judy kini Sheriff, dan yang paling penting Roger L. Jackson kembali meminjamkan suara beliau sebagai Ghostface. Satu lagi fan service yang diselitkan adalah penglibatan Billy Loomis lakonan Skeet Ulrich yang buat pertama kalinya kembali selepas kali terakhir pada 1996.
Dengan adanya watak-watak lama berganding bahu dengan watak baru, ia menjadikan filem ini rasa segar, unik dan puas menonton. Semua watak ini juga akan menggamit rindu apabila kali pertama mereka muncul kali pertama.
Watak-watak legasi ini juga seolah menjadi mentor kepada watak baharu, kerana mereka ada pengalaman bersemuka dengan Ghostface berpuluh tahun dan cuba yang terbaik untuk membantu mangsa-mangsa terkini.
LPF potong babak sehingga rosakkan jalan cerita
Ini satu lagi perkara yang aku amat tidak puas hati. Aku rasa amat marah dan berang. Ada satu adegan pembunuhan dipotong terus sehingga mengelirukan penonton dan secara tidak langsung menjahanamkan pengalaman menonton filem ini. Pada awal aku sangka ada yang mati di luar skrin, tetapi selepas berbual dengan wakil UIP Malaysia – mereka mengesahkan yang ada babak dipotong terus dan ada banyak juga yang ditapis.
Jika wakil UIP tidak dedahkan hal ini, aku tidak akan tahu kisah sebenar filem ini. Nasib baik ada wakil bantu menjelaskan hal sebenar, jika tidak terpaksa tunggu filem ini ditawarkan secara digital untuk tonton dengan pengalaman yang lebih memuaskan.
Filem ini di Malaysia diklasifikasikan sebagai 18+, tetapi semua yang dipotong dan ditapis menjadikan filem ini seakan filem seram untuk tontonan umum – U. Sebagai peminat filem seram seriau yang ngeri, yang ada banyak pembunuhan kejam dan berdarah – ia adalah elemen paling penting dalam filem ini dan apabila dibuang memang aku akan rasa kecewa.
Kesimpulan
Scream 5 atau Scream adalah sekuel atau rekuel terbaik yang pernah aku tonton untuk sebuah francais filem seram klasik. Padat dengan fan service, Meta, pecah tembok ke-4, lucu dan menarik. Pencipta filem ini bijak menulis skrip dan bijak sampaikan kepada penonton apa imaginasi mereka. Mereka juga berjaya memuaskan peminat dengan filem ini, jadi tidak terkejut kenapa di Amerika Syarikat pembukaan filem ini tewaskan Spider-Man: No Way Home.
Ia sungguh segar dan aku rasa boleh tonton kali kedua. Tetapi masalah di Malaysia, filem ini tidak akan memberikan pengalaman menonton yang lengkap dan mudah terkeliru. Tetapi jika tidak ingin tunggu versi digital, tonton sahaja di panggung untuk elak beberan yang bersepah di Internet.
Filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada 20 Januari. Ulasan ini ditulis berdasarkan tayangan awal yang diberikan oleh UIP Malaysia.