Downton Abbey ialah antara siri televisyen kegemaran aku kerana menunjukkan kejatuhan golongan bangsawan Britain di awal kurun ke-20. Kegagalan mengawal keborosan, kehilangan tanah dan perubahan undang-undang menyebabkan orang kaya-kaya terpaksa berhadapan akan sekadar menjadi golongan kelas pertengahan. Bagi mereka yang biasa dengan kemewahan, menjadi kurang kaya ialah tragedi yang cuba dielakkan.

Selepas siri Downton usai dengan sebuah filem tiga tahun lalu, ramai menantikan apa yang akan dilakukan seterusnya oleh penulisnya Julian Fellowes. Jawapan kepada persoalan ini ialah The Gilded Age di HBO GO dengan dua episod telah boleh ditonton setakat ini.

Jika Downton mengisahkan kehidupan keluarga Earl of Grantham yang di ambang kejatuhan, The Gilded Age pula mengenai keluarga George Russell (Morgan Spector) yang mengumpul kekayaan menerusi perniagaan kereta api di penghujung kurun ke-19. Kehadiran keluarga Russell di New York tidak disenangi oleh keluarga aristokrat lama yang memandang serong golongan new money yang dilihat tidak bertamadun berbanding mereka yang sudah duduk di Amerika sejak kurun ke-17.

Semasa siri diumumkan wujud kerisauan Fellowes akan sekadar mengitar semula formula Downton dengan Gilded. Ada kebenaran di sini tetapi perbezaannya sekarang ialah kita mengikuti keluarga Russell yang ingin mengembangkan kuasa dengan menunjukkan kekayaan mereka berbanding keluarga aristokrat yang enggan menerima kemasukan mereka dalam lingkung sosial New York.

Sebagai peminat Downton, aku menonton episod pertama dengan harapan ang agak rendah tetapi di akhir episod kedua aku boleh katakan Gilded ialah siri gantian Downton yang wajib ditonton peminat. Skrip Fellowes masih mantap dengan watak Agnes van Rhijn (Christine Baranski) diberikan dialog yang tajam seperti Dowager Countess of Grantham (Maggic Smith). Kedua-dua watak ini ialah ketua keluarga yang ingin mengekalkan tradisi dalam dunia yang berubah di sekeliling mereka.

Watak kegemaran aku setakat ini ialah Bertha Russell (Carrie Coon), isteri kepada George Russell yang cuba membuktikan kepada wanita-wanita aristokrat New York bahawa beliau duduk sama tinggi walaupun datang dari latar belakang orang kebanyakan. Jika anda merasakan Coon mantap sebagai Proxima Midnight dalam filem The Avengers, tanpa CGI beliau mampu membunuh dengan hanya menggunakan kata-kata.

Watak ketiga yang menarik dalam Gilded Age ialah kostum yang dipakai oleh setiap pelakon. Kasia Walicka-Maimone menghasilkan puluhan kostum yang berjaya menarik perhatian. Pakaian Bertah Russell lebih moden dan kontemporari amat kontras dengan pakaian Agnes Van Rhijn yang lebih konservatif. Perbezaan dunia old money dan new money kedua-dua watak ini dapat ditunjukkan degan cukup sempurna menerusi kostum yang dipakai. Tidak terkejut jika Kasia Walicka-Maimone akan memenangi anugerah Emmy untuk kostum tahun ini.

Selain watak-watak yang menarik, dua episod pertama berjaya membina asas yang baik untuk beberapa subplot yang pastinya akan disentuh dalam musim pertama yang disahkan mempunyai 10 episod kesemuanya. Tanpa mendedahkan plot boleh aku katakan pertarungan orang kaya-kaya dengan orang kaya-kaya yang lebih kaya dalam The Gilded Age sangatlah menarik lebih-lebih lagi dengan skrip tulisan Fellowes yang sudah banyak kali memenangi anugerah.

Jika anda mencari period drama yang berbaloi untuk ditontons setiap minggu, The Gilded Age ialah siri yang wajib ditonton. Bagi peminat Dowonton Abbey pula ini ialah siri “sambungan” yang telah lama kita nantikan. The Gilded Age boleh ditonton sekarang di HBO GO.

The Gilded Age
Ditayangkan di HBO GO
Pengganti Downton yang laman dinantikan.
Positif
Tulian Jullian Fellowes masih mantap dan tajam.
Dua episod utama menunjukkan siri mempunyai potensi tinggi.
Lakonan mantap Carry Coon dan Christine Baranski .
Kostum terbaik untuk siri tahun 2022 setakat ini.
Negatif
Period drama yang mungkin bukan untuk semua.
9

Sohor Kini