NFT atau Non-Fungible Token merupakan sejenis geran sebagai bukti hak cipta terhadap sesuatu aset digital. Tidak kiralah imej, audio, video dan pelbagai lagi. Bukti pemilikan ini disimpan di dalam rantaian blok, menjadikannya “tidak boleh diubah” dan unik sehingga mempunyai nilai tersendiri yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Dalam arena permainan video, ia boleh dikatakan satu perkara yang membimbangkan. Kenapa? Anda boleh baca lanjut di sini: NFT Adalah Lombong Emas Penerbit Permainan Video, Disebabkan Itu Ia Membimbangkan.

Tetapi NFT ini tidak terhad kepada permainan video sahaja, kerana seperti yang dikatakan tadi – imej atau video juga boleh. Percaya atau tidak dalam industri ini sudah ada filem dan animasi berbentuk NFT. Terkini, Intraday telah mengumumkan yang mereka bakal hadir dengan filem tempatan berjudul Rompak yang merupakan filem NFT pertama di peringkat Asia Tenggara.

Filem ini akan dibintangi oleh Zizan Razak, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, MK K-Clique, Siti Khadijah, Chubb-E, Nelissa Nizam dan Megat Sharizal.

Pembeli NFT filem Rompak akan menerima 20% royalti daripada filem, akses kepada belakang tabir filem, set penggambaran dan tayangan perdana serta kuasa mengundi pelakon dan jalan cerita untuk filem seterusnya. Intraday turut bekerjasama dengan OpenSea dan 4WD Pictures bagi menjayakan projek ini.

Buat masa ini filem ini masih berada dalam fasa perancangan dan pembangunan seperti penulisan skrip, kemudian pada Februari rakaman muzik ekslusif oleh K-Clique akan dimulakan, penggambaran pula akan bermula pada bulan Mac sehingga Mei berserta dengan pelancaran runut bunyi K-Clique dan pada bulan Jun filem ini akan disiarkan secara eksklusif di Astro First.

NFT untuk filem Rompak ini akan ditawarkan bermula 22 Februari 2022 pada pukul 2.22 petang, melalui OpenSea.

Sohor Kini