Soloz merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena esukan Malaysia. Anak jati Port Dickson ini sedia menjadi sumber inspirasi ramai anak muda dan belia, dan kini Soloz mencatatkan sejarah tersendiri apabila dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Negeri Sembilan bersempena dengan Hari Keputeraan Ke-74, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Soloz atau nama sebenar beliau, Mohd Faris Zakaria sedia menjadi antara terawal dalam menyertai arena kompetitif Mobile Legends di Malaysia, dan turut telah mencatatkan nama di Malaysia Book of Records apabila memegang rekod jumlah pengikut tertinggi di Facebook dalam kategori esukan.

Disamping itu, Soloz turut pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEA di Filipina, dan pasukan Malaysia ketika itu menyumbang pingat gangsa untuk kategori Mobile Legends : Bang Bang.

Melalui perkongsian Exco Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani mengucapkan tahniah kepada Soloz ke atas pengurniaan pingat ini, dan pada masa yang sama turut berharap Soloz akan terus menjadi sumber inspirasi buat seluruh belia di Negeri Sembilan.

Sohor Kini