Isu bekalan cip yang membelenggu industri teknologi global dilihat menyebabkan syarikat-syarikat seperti Sony untuk memikirkan semula strategi pemasaran dan pengeluaran peranti mereka. Konsol Sony PlayStation 5 dilancarkan pada penghujung tahun 2020, dan selepas setahun konsol tersebut dilancarkan, orang ramai masih lagi berasa sukar untuk membeli konsol-konsol ini.

Terkini, laporan Bloomberg mengatakan bahawa Sony dilihat akan terus mengeluarkan konsol PlayStation 4 sepanjang tahun ini, walaupun pada asalnya, mereka mahu menghentikan pengeluaran konsol tersebut untuk fokus kepada konsol terbaru mereka.

Pada awal tahun lepas, Sony mengesahkan pemberhentian pengeluaran kesemua konsol PlayStation 4 kecuali PlayStation 4 Slim, dimana pada tahun ini, pengeluaran untuk kesemua konsol tersebut sepatutnya dihentikan. Walaupun begitu, perkara tersebut dilaporkan adalah pelan rahsia Sony supaya orang ramai akan memilih untuk mendapatkan konsol terbaru sahaja.

Isu bekalan cip pemprosesan dan komponen-komponen lain dilihat menjadi penghalang kepada pelan tersebut, dan oleh kerana mereka melihat bahawa permintaan untuk konsol PlayStation 4 masih lagi tinggi, Sony dilihat akan terus mengeluarkan konsol tersebut sepanjang 2022 ini, sehingga bekalan komponen tersebut diselesaikan.

Sumber: Bloomberg

Sohor Kini