Ledakan permintaan untuk konsol Sony terbaru, iaitu Sony PlayStation 5 nampaknya telah membuatkan Sony mengambil keputusan untuk menghentikan pengilangan konsol generasi yang lepas mereka.

Laman web gaming dari Jepun, GameWatch baru-baru ini telah melaporkan bahawa pihak Sony Interactive Entertainment telah mengesahkan bahawa mereka akan menghentikan pengilangan konsol Sony PlayStation 4 secara keseluruhan kecuali untuk satu model sahaja.

Model tersebut ialah Sony PlayStation 4 Slim dengan storan 500GB, ataupun nombor model CUH-2000. Menariknya, ini bermakna bahawa Sony akan menghentikan pengilangan konsol PlayStation 4 Pro juga, iaitu konsol paling berkuasa mereka pada generasi yang lepas.

Buat masa ini, laporan ini adalah untuk pasaran Jepun sahaja, tetapi pada firasat kami, keputusan yang dilakukan untuk pasaran tersebut biasanya akan dibuat sama untuk pasaran-pasaran lain juga, khususnya apabila terdapat juga laporan bahawa Sony tidak lagi membawa masuk stok PlayStation 4 Pro untuk pasaran barat.

Jika benar, kami pasti bahawa ini adalah kerana mereka ingin memfokuskan kepada pengilangan PlayStation 5 secara besar-besaran. Sony menjangkakan bahawa mereka akan menjual sebanyak 18 juta unit konsol PlayStation 5 pada tahun ini.

Sohor Kini