Apple Arcade hari ini telah mengumumkan dua permainan di dalam kategori App Store Greats akan tiba ke dalam perkhidmatan tersebut. Pertama adalah Splitter Critters yang akan tiba Jumaat ini dan Crashlands yang akan tiba dalam masa terdekat.
Splitter Critters adalah permainan tekaria yang dibangunkan oleh RAC7 dan sudah dikeluarkan sejak tahun 2017 lagi. Di dalam permainan ini, anda boleh memotong dunia untuk menyelesaikan pelbagai tekaria dan berjaya mencapai tempat yang ditujukan.
Crashlands pula adalah permainan aksi pengembaraan ketahanan hidup yang dibangunkan oleh Butterscotch Shenanigans dan sudah dikeluarkan sejak tahun 2016 lagi. Di dalam permainan ini, anda akan mengembara untuk mencari pelbagai barangan yang akan digunakan untuk menghasilkan senjata dan perisai.
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.
Anda juga boleh baca 10 permainan menarik untuk anda cuba jika memiliki langganan Apple Arcade ataupun bercadang untuk mendapatkannya: 10 Permainan Baharu Di Apple Arcade Yang Menarik.


