iCandy Interactive iaitu syarikat permainan video dan hiburan dari Australia telah mengumumkan pengambil-alihan studio permainan video Malaysia iaitu Lemon Sky Studios dengan nilai bayaran $44.5 juta (~RM134 juta) dalam bentuk tunai sebanyak $17.8 juta dan selebihnya pegangan saham yang baru dibentuk.
Gabungan di antara iCandy dan Lemon Sky Studios ini akan menggunakan nama Sky Candy, iaitu satu kerjasama yang sudahpun bermula sejak tahun lepas. Sky Candy dikatakan akan menjadi studio pembangunan permainan video terbesar di Australia dan juga Asia Tenggara.
iCandy mengatakan mereka mengambil keputusan untuk mengambil-alih Lemon Sky kerana rekod mereka yang sangat baik di dalam pembangunan permainan video. Lemon Sky Studios sebelum ini terlibat dengan pelbagai pembangunan permainan mercu seperti Demon’s Soul, Command & Conquer, The Last of Us Part II dan juga Final Fantasy VII Remake.
iCandy Interactive pula pernah hadir dengan pelbagai permainan mudah alih seperti siri permainan Garfield Games, Doraemon Games, Appxplore, dan Inzen.
Mereka juga mengatakan yang ingin membangunkan permainan mudah alih yang mempunyai kualiti AAA sebagai antara projek bagi gabungan ini.