Kita sudah mendengar yang permainan video popular Microsoft Halo akan diadaptasi menjadi siri TV aksi nyata sejak tahun 2018 lagi. Siri TV ini dikatakan akan dihasilkan oleh Amblin Television, iaitu studio milik Steven Spielberg yang berpengalaman dalam menghasilkan Amazing Stories, Roswell, Terra Nova atau juga Minority Report.

Selepas bertahun menanti, siri TV ini telah disahkan akan tiba pada tahun 2022 dan treler acah pertama telah dipertontonkan. Dalam video ini, kita boleh lihat Master Chief yang dikatakan dilakonkan oleh Pablo Schreiber (Den of Thieves) dengan badan penuh parut dan kemudiannya menyarungkan sut perisai Mjolnir.

Turut kelihatan adalah nombor ikonik beliau 117, iaitu Master Chief Petty Officer John-117 dan kemudian suara Cortana turut kedengaran menyebut ayat terkenal Hello, Master Chief. Suara ini kekal dilakonkan oleh Jen Taylor sama seperti permainan video.

Pada awalnya siri TV ini ingin disiarkan di Showtime tetapi telah diubah kepada Paramount+, iaitu platform penstriman Paramount. Pengarah bagi siri TV ini adalah Otto Bathurst (Peaky Blinders) dan Rupert Wyatt (Rise of the Planet of the Apes). Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai siri TV ini.

Sohor Kini