Netflix telah hadir dengan pelbagai siri animasi berdasarkan permainan video, buat masa saya boleh katakan siri terbaik adalah Castlevania yang telah mempunyai empat musim dan ketiga-tiga musim adalah berkualiti tinggi tidak kira animasi dan juga penceritaan.

Netflix dan Valve juga hadir dengan siri animasi berdasarkan permainan MOBA iaitu Dota: Dragon’s Blood. Ia adalah satu siri yang baik dan anda boleh baca ulasan untuknya melalui pautan ini; Ulasan DoTA: Dragon’s Blood – Siri Animasi Untuk Permainan Popular.

Pada 6 November lepas, Netflix dan Riot Games telah hadir dengan siri animasi berdasarkan permainan MOBA mereka sendiri iaitu League of Legends. Bahagian terakhir untuk siri ini iaitu bahagian ketiga sudah tiba pada hujung minggu lepas, dan saya boleh rumuskan, ia seharusnya menjadi penanda aras kepada mana-mana penerbit permainan video yang ingin mengambangkan penceritaan mereka ke kandungan-kandungan lain.

Dari K/DA ke Siri Animasi

Perkara pertama yang terus membuatkan saya terpukau dengan siri ini adalah kualiti animasi yang digunakan. Ia sangat bersesuaian dengan dunia League of Legends tetapi masih lagi memberi animasi yang secara amnya nampak sangat baik. Rekaan watak sudah semestinya tidak perlu dipercakapkan lagi ia adalah menarik, sesuatu yang Dota: Dragon’s Blood gagal lakukan adalah membawa rekaan watak seperti permainan dan Arcane berjaya melakukannya.

Selain watak, persekitaran juga sangat memukau, rekaan bandar Piltover dilakukan dengan sangat gah bersesuaian dengan status untuk bandar ini, manakala Zaun pula direka dengan lebih malap sebagai kawasan terbiar yang berhampiran dengan Piltover. Dinamik kedua rekaan kawasan ini bukan sahaja dilakukan dengan baik, ia juga membantu untuk penyampain penceritaan.

Animasi aksi yang dilakukan juga berkualiti, dan tidak takut untuk menggunakan aksi yang melampau, perlawanan, penggunaan pelbagai alatan juga dilakukan dengan kemas. Ia juga ada menggunakan gerakan perlahan yang dekat memberi efek yang sangat baik. Ia membuatkan saya ternanti-nanti pergaduhan ataupun perlawanan seterusnya yang berlaku.

Animasi dihasilkan oleh Fortiche Productions yang sebelum ini sudah berpengalaman melakukan animasi untuk League of Legends termasuk juga muzik video untuk K/DA. Oleh itu, tidak mengejutkan mereka berjaya menghasilkan satu dunia yang baik.

Bahagian 1 – Vi dan Jinx

Seterusnya adalah penceritaan, saya tidak mempunyai pengalaman yang luas mengenai penceritaan League of Legends, ataupun mencuba secara mendalam permainan mereka sama ada League of Legends ataupun Wildrift. Kebanyakan maklumat yang saya dapat adalah sekadar daripada bermain Legends of Runeterra dan ia adalah sedikit sahaja.

Namun, ini tidak mengganggu pengalaman saya menonton kerana setiap watak, setiap cabang penceritaan disampaikan dengan sangat teliti dan menarik. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk saya berhubung dengan watak-watak di dalamnya.

Watak utama sudah semestinya Vi dan Jinx, di mana bagi bahagian pertama kedua-dua mereka masih muda dan mempunyai perhubungan seperti kakak dan adik. Penceritaan dan juga perhubungan di antara mereka adalah penggerak utama untuk siri ini, walaupun sekadar mempunyai tiga episod dengan setiap satunya lebih kurang 40 minit tetapi perkembangan watak kedua-duanya adalah sangat mudah untuk diserap. Perhubungan di antara mereka terasa sangat tulen.

Selain Vi dan Jinx, terdapat juga pelbagai watak-watak lain yang memperlihatkan kepentingan mereka di dalam penceritaan ini, dan memberi gambaran yang watak-watak ini bersama dengan dua watak utama akan membawa satu penceritaan yang sangat berkembang dengan pelbagai cabang penceritaan yang menarik. Bahagian pertama dilakukan dengan kemas, penutupnya memberi ruang untuk melancarkan dua bahagian seterusnya di tempat yang baik.

Kesemua ini ditambah lagi dengan lakonan suara yang sangat mantap, terutama bahasa Inggeris. Setiap watak mempunyai suara yang sangat bersesuaian dengan pembawaan watak, ini adalah antara yang membantu untuk saya mudah berhubung dengan watak-watak ini. Ia juga menyertakan alih suara Bahasa Malaysia akan tetapi saya merasakan ia terlalu murahan dan tidak memberi impak emosi yang sama dengan lakonan suara asal. Namun, ia masih lagi boleh ditonton dan tidak terlalu teruk.

Bahagian 2 – Hextech Dan Politik

Bahagian 2 untuk siri ini menambah 3 lagi episod, beralih daripada bahagian 1 yang lebih memfokuskan kepada perhubungan Vi dan Jinx, bahagian 2 masih lagi melibatkan mereka tetapi bukan menjadi fokus utama. Sebaliknya, penceritaan dikembangkan lagi dengan teknologi Hextech yang terus berkembang dan juga perihal politik yang hadir bersama dengannya.

Oleh kerana penceritaan menjadi lebih umum dengan pelbagai watak bergilir mengambil pentas utama, ia sedikit kurang memberi kesan emosi sepertimana bahagian pertama akan tetapi ia masih lagi satu bahagian yang baik dengan memberi ruang kepada untuk penceritaan mencapai klimaks di bahagian 3 kelak. Selain itu, ia juga memberi ruang untuk lebih memperkenalkan dunia Piltover dan Zaun kepada penonton.

Bahagian 2 juga berakhir dengan baik, ia memberikan perasaan yang penceritaan yang menjadi terus menjadi lebih baik akan tetapi pada masa sama, tidak terlalu memberi maklumat mengenai apa yang akan berlaku seterusnya. Ia mempunyai pelbagai cabang yang membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana setiap cabang ini akan ditutup melalui tiga episod terakhir.

Bahagian 3 – Piltover Dan Zaun

Permasalahan yang dimulakan di bahagian 1, terus berkembang di bahagian 2 mencapai kemuncak di bahagian 3 dan oleh kerana itu saya boleh katakan yang ia adalah bahagian yang paling banyak mempunyai aksi. Disebabkan, animasi pertempuran tidak pernah gagal, ia adalah satu perkara yang baik.

Permasalahan ini memfokuskan kepada pergaduhan di antara Piltover dan Zaun, namun apa yang saya suka mengenainya adalah ia tidak terlalu menjadikan satu pihak “jahat” dan pihak lain “baik” akan tetapi menjadikan kedua-dua bahagian mempunyai masalah tersendiri, mempunyai perkara yang boleh mengatakan mereka adalah baik dan jahat.

Disebabkan perkara ini, sepanjang saya menonton saya tidak memihak mana-mana pihak, sebaliknya merasakan mereka semua perlu melakukan yang lebih baik. Tambah menarik, penceritaan masih mengekalkan perhubungan di antara Vi dan Jinx yang bermula di bahagian pertama, secara amnya mereka berdua menggambarkan Piltover dan Zaun sendiri, iaitu satu perhubungan yang rumit.

Membawa permasalahan politik yang besar kepada perkara yang lebih mudah untuk difahami melalui Vi dan Jinx bagi saya adalah perkara yang sangat bijak, tambah lagi ia dilakukan dengan sangat baik. Ia menjadikan setiap aspek penceritaan mudah untuk diikuti dan difahami. Pengakhiran mungkin sedikit mengecewakan akan tetapi dengan Netflix telah mengesahkan musim kedua, saya boleh katakan ia berakhir dengan baik.

Kesimpulan

Arcane adalah satu siri yang sangat berkualiti, terutama dari nilai produksi, animasi, lakonan suara dan rekaan persekitaran serta dunia yang bukan sahaja bergaya tetapi sangat menarik. Selepas menonton kesemua 9 episod, saya boleh katakan ia adalah antara siri animasi terbaik pernah saya tonton sejak beberapa tahun yang lepas.

Saya merasakan siri ini seharusnya menjadi penanda aras untuk mana-mana permainan video yang ingin hadir dengan siri animasi tersendiri. Ia bukan sahaja membantu untuk mengembangkan lagi penceritaan bagi watak-watak tersebut, tetapi membuatkan semua yang menonton tertarik walaupun tidak pernah mencuba permainan yang menjadi sumber.

Oleh itu, tidak kira anda pernah bermain League of Legends ataupun tidak langsung bermain permainan video, saya yakin yang animasi ini cukup umum untuk dihargai oleh semua, dan saya boleh senaraikan ia sebagai satu siri yang wajib ditonton oleh semua.

Arcane
Arcane adalah satu siri animasi yang sangat baik, berjaya menghasilkan dunia yang mendalam seperti di dalam permainan dengan penceritaan yang menarik walaupun tanpa pengetahuan mengenai mana-mana watak.
Positif
Animasi Yang Memukau
Penceritaan Yang Baik
Lakonan Suara Berkualiti Tinggi
Negatif
Jumlah Episod Yang Sedikit
9

Sohor Kini