Selepas kejayaan siri animasi Castlevania, Netflix tampaknya terus menambah minat mereka untuk membawa siri animasi berdasarkan IP permainan video, contohnya Dragon’s Dogma yang juga merupakan siri oleh Capcom. Satu lagi siri Capcom yang akan menerima sentuhan animasi oleh Netflix adalah Resident Evil. Netflix juga telah mengumumkan akan hadir dengan siri animasi Tomb Raider yang mempunyai penceritaan berdasarkan permainan video. Dengan kata lain, Netflix tidak akan kehabisan siri animasi berdasarkan permainan video.
Satu siri animasi yang akan dikeluarkan pada hari ini adalah Dota: Dragon’s Blood iaitu siri animasi berdasarkan permainan MOBA yang boleh dikatakan paling popular di dunia. Sama ada anda menyukai genre MOBA ataupun tidak akan tetapi nama Dota sukar untuk dielak dan akan dikenali ramai. Tambahan lagi melalui kejohanan The International yang terus menjadi kejohanan terulung di dalam dunia esukan. Namun, siri animasi ataupun sebarang medium yang membawa penceritaan untuk Dota bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan.
Ia ada menerima beberapa komik, tetapi setakat pengetahuan saya siri animasi ini adalah pertama kali penceritaan mengenai Dota dikembangkan. Walaupun saya tidaklah mengikuti permainan Dota, tetapi peluang untuk mengetahui penceritaan mengenainya adalah satu perkara yang saya teruja. Adakah siri animasi ini berjaya melakukannya dengan baik?
Jika Castlevania menyertakan Trevor dan Sypha sebagai penggerak utama penceritaan, Dota cuba menggunakan formula yang sama melalui watak Davion dan Mirana. Perhubungan di antara dua watak utama ini, walaupun masing-masing mempunyai sasaran tersendiri, menjadi tunjang utama penceritaan untuk Dota: Dragon’s Blood. Bagi kebanyakan bahagian, saya menyukai kedua-dua watak ini, perwatakan mereka juga dihasilkan dengan baik. Secara jujurnya, ia mengingatkan kepada Trevor dan Sypha.
Namun, apabila penceritaan berkembang dan tambahan watak diperkenalkan, keadaan menjadi sedikit bercelaru. Ia mungkin kerana saya kurang fasih mengenai lore di dalam Dota tetapi juga kerana terdapat terlalu banyak cabang penceritaan yang cuba disampaikan menjadikan ia sedikit sukar untuk diikuti. Walaupun, ia saling berkait antara satu sama lain. Kesan daripadanya juga menjadikan perhubungan di antara Davion dan Mirana sedikit kurang berkesan terutama pada bahagian pengakhiran siri ini.
Ada juga sebahagian penceritaan disampaikan dengan terlalu gopoh, mungkin kerana untuk memastikan ia dapat ditamatkan dalam 8 episod sahaja. Contohnya, pada bahagian akhir, terdapat satu perkara penting yang dilakukan oleh Invoker Carl, akan tetapi ia disampaikan dengan keadaan mengelirukan dan rumusan mengenai perkara tersebut hanya disampaikan dengan dua tiga ayat sahaja. Walaupun saya faham apa yang berlaku, tetapi saya merasakan ia lebih baik jika diluangkan sedikit masa untuk menyampaikan-nya tanpa rasa terburu-buru. Terutama ia adalah bahagian penting bagi penceritaan.
Secara keseluruhannya, Dota: Dragon’s Blood mempunyai penceritaan yang menarik dengan penyampaian yang baik, namun ia boleh dikemaskan lagi terutama kerana kerumitan sesetengah cabang penceritaan. Ia berakhir dengan memerlukan musim ke-2, sedikit mengecewakan akan tetapi saya juga ingin ia menerima musim berikutnya dan berharap ia akan menerima jumlah episod yang lebih banyak.
Dota: Dragon’s Blood dihasilkan oleh Studio MIR yang juga bertanggungjawab untuk The Legend of Korra, oleh itu anda sudah boleh jangkakan kualiti yang disampaikan. Bagi saya ia cukup baik dan berkualiti. Terutama dengan rekaan-rekaan pelbagai raksasa seperti naga. Kesan visual seperti magis juga dilakukan dengan cukup untuk menjadikan adegan pertempuran lebih epik.
Namun, bercakap mengenai adegan pertempuran saya sedikit kurang berpuas hati kerana kebiasaan ia akan memperlihatkan aksi secara dekat dan sukar untuk melihat apa yang sedang berlaku. Ia juga menggunakan gegaran kamera untuk memperlihatkan aksi yang pantas. Saya tidak menyukainya, dan lebih berharap setiap aksi diperlihatkan dengan lebih jelas, terutama setiap watak yang berasal dari Dota mempunyai gerakan ikonik yang sudah semestinya ingin dilihat oleh pemain.
Sebagai siri animasi berdasarkan permainan video, saya juga merasakan rekaan watak terlalu biasa sedangkan apabila kita melihat permainan Dota 2 mempunyai rekaan watak yang lebih ekspresif, yang lebih unik. Ia mungkin pilihan kreatif pengarah siri ini, tetapi saya ingin watak-watak direka dengan lebih pelbagai, agar ia tidak nampak seperti siri animasi fantasi kebiasaan. Kita mungkin akan melihat pelbagai lagi rekaan menarik, dengan hadirnya pelbagai watak lain pada musim-musim yang seterusnya.
Kesungguhan Netflix untuk hadir dengan siri animasi ini boleh dilihat melalui pilihan pelakon suara yang menyertakan beberapa nama besar. Contohnya, watak utama Davion disuarakan oleh Yuri Lowenthal iaitu pelakon suara untuk Peter Parker di dalam permainan Marvel’s Spider-man, Mirana pula Lara Pulver yang merupakan pelakon untuk pelbagai siri TV termasuk juga dalam siri Sherlock sebagai Irene Adler dan Invoker Carl pula disuarakan oleh Troy Baker yang saya rasakan tidak perlu diperkenalkan lagi.
Dengan penyampaian berkualiti membantu untuk menghasilkan penceritaan yang lebih baik, ia juga berjaya untuk menyampaikan setiap emosi di dalam penceritaan siri ini, walaupun tidak banyak adegan yang benar-benar memperlihatkan emosi yang ‘tinggi’ tetapi apabila ia ada, ia dilakukan dengan sangat berkesan, menambah nilai dan rasa kepada siri ini.
Musim pertama untuk Dota: Dragon’s Blood adalah satu permulaan yang baik, akan tetapi jelas, mereka memerlukan lebih banyak episod untuk menghuraikan lagi pelbagai cabang penceritaan. 8 episod dengan setiap satunya lebih kurang 23 minit sahaja tidak mencukupi. Ia serba sedikit menjadikan penceritaan sedikit bercelaru dengan beberapa bahagian penting disampaikan dengan gopoh. Walau bagaimanapun saya merasakan ia adalah satu siri yang berbaloi untuk anda luangkan masa menontonnya, tambahan ia juga sangat ringkas. Saya yakin anda akan mempunyai masa yang baik untuk mengetahu secara lanjut mengenai watak-watak yang hadir dan juga penceritaan yang disampaikan.
Saya juga tidak sabar untuk menonton musim seterusnya, bahkan saya juga mungkin akan mengulangi sesi tontonan untuk memastikan tidak terlepas mana-mana bahagian penting. Ia mungkin bukan satu siri yang akan membuatkan saya bermain Dota 2, akan tetapi ia sudah semestinya membuatkan saya tertarik untuk mengetahui lore yang hadir di dalam permainan tersebut.
Dota: Dragon’s Blood akan disiarkan di Netflix pada 25 Mac 2021 (pukul 3 petang), dan tontonan awal untuknya telah disedikan kepada kami oleh Netflix untuk tujuan ulasan ini.