Dengan pelancaran konsol generasi terkini iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series, antara perkara yang menjadi semakin penting adalah sokongan HDMI 2.1, sebelum ini apa sahaja versi HDMI tidak menjadikan sesuatu yang dipercakapkan kerana kebanyakan HDMI yang biasa sudah menyokong paparan yang terbaik. Di PC pula, jika ingin paparan yang lebih baik kebanyakan pengguna akan menggunakan DP berbanding HDMI. Oleh itu, versi HDMI bukan sesuatu yang menjadi fokus utama.

Sekarang, jika ingin mendapatkan prestasi yang terbaik untuk penggunaan konsol, sambungan HDMI 2.1 akan dilihat. Buat masa ini hanya terdapat beberapa TV yang mula menyokong-nya, manakala bagi monitor terdapat juga beberapa di pasaran akan tetapi Acer Nitro XV282K KV adalah antara monitor pertama yang dilancarkan di Malaysia menyokong HDMI 2.1.

Saya telah diberi peluang untuk mencuba monitor ini selama sebulan, dan saya menggunakannya di PlayStation 5, Xbox Series serta PC dan saya boleh katakan ia adalah antara monitor terbaik di pasaran bukan sahaja untuk PC tetapi konsol.

Spesifikasi Ringkas

Acer Nitro XV282K KV merupakan monitor bersaiz 28-inci dengan sokongan resolusi 3840 x 2160 ataupun 4K UHD dengan menggunakan panel IPS. Bagi Kadar Segar Reaksi ia menyokong sehingga 144hz dengan Jangka Reaksi 1ms. Ia juga menyokong AMD FreeSync Premium dan turut boleh digunAkan walaupun anda mempunyai kad grafik NVIDIA.

Seperti saya nyatakan di atas, ia menyokong HDMI 2.1 dan di monitor ini terdapat tiga port kesemuanya iaitu 1 untuk DP dan dua untuk HDMI 2.1. Ia juga mempunyai pembesar suara terpasang dan mempunyai palang pemicu audio jika ingin menyambung audio terus ke monitor.

Ini adalah spesifikasi ringkas untuk monitor ini, saya akan terangkan lebih lanjut melalui ulasan di bawah dan anda juga boleh membaca spesifikasi penuh melalui pautan ini.

Paparan

Sebelum saya menggunakan monitor ini untuk tujuan ulasan, monitor harian yang saya guna adalah Acer Nitro XV240 Y oleh itu, kualiti paparan adalah seperti yang saya jangkakan dan ia adalah antara yang terbaik di pasaran. Ini ditambah lagi dengan monitor ini menyokong resolusi sehingga 4K ia akan memberi kualiti paparan yang lebih baik.

Perkara utama yang saya suka mengenainya adalah penyampaian warna yang disampaikan adalah sangat baik. Ia tidak terlalu terang sehingga membuatkan warna terlalu ‘artifical’ dan tidak terlalu malap sebaliknya memaparkan dengan warna yang tepat.

Ia juga menyokong fungsi HDR, dan memberi paparan yang baik dengan paparan warna hitam yang baik untuk satu paparan IPS oleh itu ia bukanlah berkualiti tinggi. Sepanjang ulasan ini saya tidak sangat membuka fungsi HDR kerana sudah berpuas hati dengan paparan yang hadir walaupun tanpa menggunakan fungsi tersebut.

Bagi kecerahan pula, ia adalah baik dan bersesuaian dengan keadaan berbeza, ini ditambah lagi dengan ia menyertakan Acer Vision Care 3.0 yang menggunakan pakai sensor untuk memberikan keterangan terbaik bagi keadaan bilik.

Saya kebiasaan menggunakan keadaan yang sama sahaja tidak kira siang ataupun malam oleh itu ia tidak memberi kesan yang ketara tetapi apabila saya mencuba dengan menukar-nukar keterangan di dalam bilik, ia di lakukan dengan baik dan tidak menjadikan paparan terasa silau.

Pengalaman Bermain Permainan Video

Konsol permainan video mungkin lebih direka untuk dimainkan di ruang tamu menggunakan TV akan tetapi bagi saya pengalaman bermain permainan video adalah lebih baik apabila dimainkan di monitor berbanding di TV, terutama untuk permainan yang aksi, menembak bahkan bola sepak seperti FIFA 22. Oleh itu, saya sentiasa menggunakan satu monitor untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.

Hadirnya monitor ini dengan sokongan HDMI 2.1, ia membolehkan saya untuk mencapai prestasi terbaik untuk kedua-dua konsol tersebut iaitu 4K/144hz, monitor yang saya ada sekarang sekadar menyokong 1080/144hz sahaja, walaupun ia cukup baik akan tetapi paparan 4K akan jelas terasa lebih baik bahkan ia membantu untuk memberi perasaan yang sedang bermain konsol generasi terkini.

Monitor yang saya biasa guna adalah bersaiz 24-inci dan bagi saya ia adalah saiz terbaik untuk penggunaan jarak dekat seperti di meja komputer. Monitor ini mempunyai saiz 28-inci yang bagi saya sedikit kurang selesa untuk digunakan sebagai PC harian, akan tetapi ia adalah saiz yang lebih baik berbanding 24-inci apabila bermain konsol ataupun menggunkaan alat kawalan kerana saya akan berada sedikit ke belakang bernbanding semasa menggunakan papan kekunci dan tetikus.

Dua perkara yang membuatkan saya sering menggunakan monitor berbanding TV untuk konsol adalah kadar segar semula dan Jangka Reaksi, dan monitor ini menyokong sehingga 144hz dan Jangka Reaksi pula 1ms. Walaupun bermain permainan yang menyokong 60FPS sahaja masih lagi memberi sesi permainan yang lebih baik di monitor ini. Di TV, saya sering mempunyai masalah “ghosting” akan tetapi boleh dikatakan langsung tidak ada di monitor ini.

Dengan sokongan AMD FreeSync Premium, ia akan menyokong FreeSync jika anda menggunakan kad grafik AMD tetapi pada masa sama, ia juga menyokong G-Sync jika menggunakan kad grafik NVIDIA. Saya menggunakan kad grafik RTX 2060 dan tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan fungsi tersebut.

Sesuatu yang saya ingin katakan tetapi tidak khusus untuk monitor ini sahaja adalah jika ingin mendapatkan monitor yang menyokong resolusi sehingga 4K, pastikan anda mempunyai PC yang berkemampuan. Saya mempunyai PC yang menyasarkan 1080/144hz sahaja oleh itu ia memberi pengalaman yang kurang baik semasa bermain.

Ia adalah baik untuk penggunaan biasa termasuk juga menonton kandungan media akan tetapi apabila bermain permainan video, anda perlu mengurangkan tetapan agar ia dapat dimainkan di resolusi 4K, benar anda boleh merendahkan resolusi akan tetapi ia memberi kualiti yang kurang baik. Ini adalah masalah utama saya semasa menggunakan monitor ini.

Sekali lagi saya katakan, ia bukan masalah monitor tetapi masalah spesifikasi PC. Namun, ini bukanlah masalah untuk konsol PlayStation 5 dan Xbox Series yang dihasilkan untuk mendapatkan prestasi 4K/144hz.

Perkara yang mengecewakan akan tetapi ia adalah kebiasaan untuk monitor-monitor yang mempunyai pembesar suara terbina adalah ia tidak pernah cukup baik. Termasuk juga monitor ini, saya merasakan kualiti bunyi yang diberikan adalah kurang baik dan terlalu perlahanan. Ia tidak menjadi masalah semasa bermain secara kasual akan tetapi jika anda bermain secara kompetitif terutama permainan yang mementingkan bunyi, set fon telinga ataupun set fon kepala harus digunakan.

Secara ringkasnya, saya boleh katakan monitor ini memberi pengalaman yang terbaik untuk sesi permainan video tidak kira jenis permainan yang anda main. Paparan yang cantik dengan kadar kelancaran yang baik, ia benar-benar memberi perasaan generasi baharu termasuk juga di PC jika anda mempunyai PC yang berkemampuan.

Rekaan

Walaupun mempunyai saiz 28-inci, bagi saya Acer Nitro XV282K KV tidak terasa terlalu besar ataupun terlalu berat, ia masih lagi satu monitor yang mudah untuk diurus. Pemasangan juga ringkas, anda hanya perlu mengemaskan panel kepada pendiri tanpa memerlukan sebarang pemasangan skru.

Walaupun rekaan mempunyai profil yang sedikit tebal tetapi dengan disertakan palang untuk USB di bahagian tepi ia tidak terasa dibazirkan, di bahagian depan selain daripada bahagian dagu yang mempunyai sensor dan logo, monitor ini hampir tidak mempunyai bazel yang tebal memberi rekaan monitor yang menawan dan membolehkan ia memfokuskan kepada paparan sahaja.

Perubahan condongan adalah mencukupi, ia tidak banyak akan tetapi sudah memadai untuk pelbagai jenis penggunaan, tambahan pada itu jika anda ingin menggunakan monitor secara menegak ia juga boleh digunakan secara di ubah secara terus dan mudah, tanpa memerlukan sebarang pemasangan semula.

Bagi ketinggian pula, seperti condongan, ia adalah mencukupi, dengan monitor bersaiz 28-inci, saya tidak merasakan yang ia memerlukan ditinggikan secara melebihi daripada yang dibolehkan melalui pendiri yang disediakan di dalam kotak.

Bercakap mengenai kotak, selain monitor dan pendiri, ia juga hadir dengan pelbagai kabel iaitu 1 DP, 1 HDMI, 1 USB Type-C dan 1 USB3.0, boleh dikatakan mencukupi untuk pelbagai jenis penggunaan. Ia juga mempunyai penyangkut di tapak untuk memudahkan pengurusan wayar. Oleh kerana model yang saya terima adalah Xbox Edition, ia adalah berwarna hijau berbanding mereka untuk kebiasaan bagi monitor Acer Nitro.

Bagi kawalan, kesemua butang dan satu kayu ria terdapat di bahagian belakang tepi monitor. Ia adalah kedudukan yang baik, tidak mengganggu rekaan depan untuk memberikan rekaan yang lebih kemas pada masa sama memudahkan untuk mengaksesnya. Ia mungkin sedikit remeh jika anda menggunakan dua monitor dan berkedudukan secara dekat, tetapi ia mudah untuk di pusing tanpa sebarang masalah.

Keseluruhan badan adalah plastik akan tetapi terasa kemas walaupun tidak akan memberi perasaan monitor yang premium.

Kesimpulan

Acer Nitro XV282K KV ditawarkan dengan harga RM3,299 yang mungkin membuatkan ramai membandingkannya dengan TV yang akan mempunyai saiz yang lebih besar. Namun, dengan kadar segar semula 144hz, Jangka Reaksi 1ms termasuk juga jika kita mengambil kira input lag, monitor sentiasa adalah pilihan yang lebih berbanding TV walaupun saiz yang lebih kecil.

Dengan sokongan HDMI 2.1, ia juga sangat bersesuaian untuk digunakan bersama dengan konsol generasi terkini, dan lebih sebulan saya menggunakan monitor ini, saya boleh katakan ia adalah antara monitor terbaik untuk konsol terutama yang mementingkan kelancaran sesi permainan.

Paparan monitor ini juga sangat baik, dengan kejituan warna yang baik. Ia mungkin sedikit mengecewakan untuk paparan warna gelap ataupun hitam, akan tetapi sesuatu yang sudah dijangkakan untuk panel IPS walaupun dengan penggunaan HDR.

Ia sudah semestinya bukan satu monitor yang mesra dompet, akan tetapi harga yang ditawarkan terasa berbaloi dengan prestasi yang diberikan.

Penafian: Acer Nitro XV282K KV Xbox Edition disediakan oleh Acer Malaysia

Sohor Kini