Pada tahun lepas, Activision-Blizzard mengadakan acara tahunan BlizzCon mereka secara atas talian kerana wabak COVID-19 yang membelenggu dunia. Pada tahun ini, acara tersebut dijangka akan berterusan sekali lagi, tetapi terkini, Blizzard nampaknya telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan membatalkan acara tersebut untuk tahun ini.

Kebelakangan ini, Blizzard dilihat sedang menghadapi pelbagai isu dalaman, seperti masalah gangguan seksual dan kes saman oleh kerajaan California yang mengatakan bahawa Blizzard mempunyai masalah tempat kerja dimana ramai pembangun-pembangun permainan di syarikat tersebut menghadapi masalah gangguan tempat kerja, dan diberi tugas-tugas yang tidak munasabah.

Blizzard yang memperlihatkan penukaran presiden dari J. Allen Brack ke Jen Oneal dan Mike Ybarra beberapa bulan yang lalu kini masih lagi sedang dalam proses untuk memperbaiki keadaan tempat kerja, dan oleh kerana itu, acara BlizzCon tidak akan diadakan pada tahun ini.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan, situasi syarikat pada masa ini tidak akan membuahkan sebuah acara yang akan mahu dihadiri oleh orang ramai, dan oleh kerana itu, buat masa ini mereka akan memberi fokus kepada membangunkan permainan sedia ada, disamping memperbaiki keadaan syarikat, dan pada masa yang sama mengolah semula acara BlizzCon supaya ia hadir dengan kandungan yang mahu dilihat orang ramai.

Sumber: Blizzard

Sohor Kini