Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz dan Aksiz akan berkongsi ulasan untuk siri dan juga filem yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

The Movies That Made Us S3 – Netflix

The Movies That Made Us musim ketiga muncul di Netflix minggu lalu dengan pilihan enam episod yang dipenuhi fakta menarik mengenai pembikinan filem kultus dan mungkin yang tidak diketahui oleh orang ramai. Musim ini Halloween, Friday The 13th, Nightmare on Elm Street, RoboCop, Aliens dan Coming To Amerika menjadi tumpuan pembikin siri yang pada hemat aku konsisten kelakar tetapi penuh maklumat bersama dengan siri The Toys That Made Us juga di Netflix.

Tiga episod pertama membincangkan pembikinan tiga siri filem seram popular yang membuatkan aku trauma sehingga sekarang. Timing Netflix tahun ini adalah cukup sempurna kerana Halloween Kills baru sahaja memasuki bioskop tempatan walaupun Fahim mengatakan ia mengecewakan. Aku harus akui aku tak pernah tengok Halloween atau Friday The 13th versi klasik kerana ia terlalu ganas untuk ditayangkan di Malaysia way back in the 80s. Zaman dahulu tak ada platform pentriman jadi aku ketinggalan kapal untuk menjadi peminat tegar.

Tetapi episod Nightmare on Elm Street adalah paling menarik bagi aku kerana siri Freddy Kruger ini ditayangkan di TV2 semasa aku remaja. Sehingga sekarang cakar Freddy bagi aku lebih menakutkan dan ikonik jika dibandingkan dengan Wolverine dan Edward Scissorhands.

Paling menarik ialah apabila menyedari filem dengan budget rendah dan hampir dibatalkan kerana kehabisan wang ini bertanggungjawab menyelamatkan New Line Cinema. Tanpa Nightmare on Elm Street dengan pungutan pecah panggung 57 kali ganda dari kos pembikinan kita tak akan ada New Line Cinema. Tanpa New Line Cinema tiada siri Trilogi Lord of The Rings, IT, The Mask, Teenage Mutant Night Turtles, Se7en, Austin Powers dan Blade. Seperti yang kita semua tahun tanpa Blade tak akan ada Marvel Cinematic Universe!

Kesemua episod musim ini adalah menarik tapi episod Halloween, Robocop dan Aliens adalah pilihan aku bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen enam jam untuk menonton kesemua episod musim ketiga. Aku memang sukakan kandungan seperti ini di Netflix kerana ia biasanya ditawarkan bersama DVD dan BluRay edisi khas suatu ketika dahulu. Dengan kedai menjual DVD (halal) sudah semakin pupus, peminat tegar sinema seperti aku kena bergantung kepada pembikin TMTMU untuk mengisi kekosongan kandungan fakta-fakta filem.

The Movies That Made Us musim ketiga boleh ditonton di Netflix

Izzat – Editor, Aksiz

Ted Lasso Musim 1

Ted Lasso adalah antara rancangan paling popular di Apple TV+ akan tetapi saya tidak pernah berkesempatan untuk menontonnya hinggalah minggu ini. Saya sekadar ingin ‘mencuba’ satu episod, tetapi tanpa saya sedari saya sudah menghabiskan satu musim dan tidak mengejutkan mengapa ia adalah siri yang popular. Saya boleh katakan ia adalah seperti siri buku “Chicken Soup for the Soul” iaitu satu siri buku yang berkongsi cerita-cerita yang memberi perasaan yang baik.

Siri ini memfokuskan kepada Ted Lasso iaitu bekas jurulatih bagi pasukan American Football yang telah dilantik untuk mengurus pasukan bola sepak AFC Richmond iaitu pasukan di Liga Premier di England. Ia adalah satu perlantikan yang aneh kerana Ted Lasso tidak langsung mempunyai pengalaman mengenai bola sepak, bahkan beliau tidak memahami peraturan Offside.

Sepanjang musim pertama ini, diceritakan mengapa perlantikan ini berlaku, akan tetapi tarikan utama sudah semestinya perwatakan Ted Lasso yang sangat optimis. Prinsipnya yang tidak kisah mengenai menang atau kalah sebaliknya ingin memfokuskan kepada latihan jati diri dilakukan dengan sangat baik. Ia juga dibantu dengan pelbagai perwatakan yang menarik dan juga baik untuk mengembangkan lagi siri ini.

Penceritaan dikembangkan dengan pelbagai permasalahan yang tidak semestinya berkait dengan bola sepak. Ia adalah siri komedi yang mencuit hati, ada sahaja jenaka di setiap adegan, akan tetapi apabila penceritaan menyentuh sesuatu yang lebih mendalam ataupun sedih, ia benar-benar memberikan perasaan tersebut. Setiapnya disampaikan dengan sangat baik dan segala emosi yang ingin disampaikan, dilakukan dengan jayanya.

Sedikit perkara yang bagi saya mengecewakan adalah mereka memilih untuk meletakkan AFC Richmond di Liga Premier iaitu liga tertinggi di England yang bagi saya menjadikan ia lebih tidak masuk akal, kerana secara nyatanya pasukan-pasukan di Liga Premier mempunyai pengurusan yang besar dan bukan sekadar bergantung kepada tiga jurulatih sahaja.

Namun, oleh kerana ini adalah satu filem yang bersifat komedi, ia boleh dimaafkan. Tambahan daripada itu, fokus utama bukanlah sangat kepada kelab bola ini, sebaliknya kisah manusia di sebaliknya, yang bagi saya disampaikan dengan sangat baik.

Ted Lasso sudah mempunyai dua musim dan boleh ditonton di Apple TV+.

Nazrin – Penulis, Amanz/Aksiz

Cowboy Bebop (Anime)

Siri aksi nyata Cowboy Bebop akan diperkenalkan oleh Netflix pada 19 November kelak yang dibintangi oleh pelakon-pelakon popular seperti John Cho, Mustafa Shakir dan Daniella Pineda yang akan memainkan watak-watak Spike Spiegel, Jet Black dan Faye Valentine.

Bagi mereka yang tertanya-tanya mengapa Cowboy Bebop sering diperkatakan ialah kerana siri televisyen ini memulakan hayatnya sebagai sebuah siri anime pada era 90an yang boleh dikatakan diantara siri animasi yang meletakkan genre tersebut di peta global.

Gabungan animasi penuh aksi, lakonan suara yang terbaik di era tersebut dan runut bunyi bertemakan jazz yang disusun oleh penulis muzik lagenda Yoko Kanno membuatkan Cowboy Bebop sebuah siri anime yang sangat disayangi bukan sahaja di Jepun, tetapi oleh mereka yang membesar menonton anime di seluruh dunia, termasuklah saya.

Dari segi jalan cerita, setiap episod sehingga sebahagian daripada beberapa episod terakhir hadir dengan jalan ceritanya sendiri, tetapi apabila watak antagonis siri ini mula diperkenalkan, jalan cerita anime ini dilihat menjadi jauh lebih serius dan gelap sehingga penghujungnya. Bagi saya, saya mengharapkan bahawa filem Knockin’ On Heaven’s Door akan diperkenalkan juga tidak lama lagi.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui apakah yang hebat mengenai anime ini sebelum tayangan siri aksi nyata, Netflix Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan siri anime tersebut kedalam senarai kandungannya, yang mana anda boleh menontonnya dalam alih-suara Jepun dan Bahasa Inggeris jika diingini.

Artikel Lepas Untuk – Apa Kami Tonton Minggu Ini

Sohor Kini