Tahun 2018, filem seram pembunuhan klasik Halloween telah diolah semula. Ia juga masih dikira sebagai sekuel atau soft reboot dengan beberapa pelakon asal dikekalkan serta masih cuba menghormati konsep sama. Selepas tiga tahun, Halloween Kills pula tiba sebagai filem kedua daripada tiga yang telah dirancang.

Ya, filem terakhir yang dikatakan adalah penutup bagi francais ini adalah Halloween Ends yang dirancang untuk ditayangkan pada 2022 akan datang pada tarikh sama. Jadi apa kisahnya filem kedua ini? Best ke? Berbaloi tak beli tiket untuk tonton di wayang?


Jalan Cerita

Filem ini terus bersambung daripada filem 2018, iaitu saat di mana Laurie (Jamie Lee Curtis), Karen (Judy Greer) dan Allyson (Andi Matichak) sangka beliau berjaya perangkap Michael dan biarkan pembunuh gila ini mati terbakar di rumah Laurie. Tanpa diketahui mereka bertiga kerana dalam perjalanan ke hospital, Michael berjaya melepaskan diri dan kembali membunuh dengan ganas. Malah lebih ganas daripada filem sebelum ini dan Michael memang maraton membunuh siapa sahaja yang beliau lihat.

Mangsa-mangsa Michael yang lalu yang terselamat, kemudiannya tubuhkan pasukan protes dan menjemput ramai orang untuk memburu Michael.

Ya, kisah yang ringkas dan dengar seperti menarik. Jika kita maratonton filem pertama dan kedua secara terus – akan rasa lebih menarik kerana kesinambungan yang secara terus. Filem ini juga mempunyai konsep penceritaan yang menarik, di mana ia pergi ke masa silam tahun 1978 zaman Michael masih muda bersama berserta memperlihatkan kisah di sebalik seorang polis iaitu Frank Hawkins yang kali terakhir kita lihat beliau ditikam dalam filem 2018.

Tommy Doyle, Marion Chambers, Lindsey Wallace, dan Lonnie Elam iaitu adalah mangsa dalam filem lepas yang kini sudah dewasa menyambut ulang tahun ke-40 selepas berjaya selamat daripada dibunuh oleh Michael Myers dan memberi hormat kepada Laurie kerana mampu bertahan dan tabah selama ini. Laurie tidak diberikan perhatian penuh kerana berada di hospital. Fokus diberikan kepada Karen dan Allyson serta Tommy Doyle dan tiga orang mangsa terselamat tadi.

Konsep kali ini turut memperlihatkan penubuhan pasukan protes tadi mengakibatkan satu tragedi yang tidak diingini.

Best Ke?

Okay, kalau aku bandingkan dengan filem pertama (versi 2018) filem kedua ini jauh lebih baik. Tetapi, ia masih mengecewakan. Kenapa? Aku mulakan dengan apa yang menarik dulu. Konsep penceritaan yang ada beberapa kali mengimbau kembali ke masa silam, cukup menarik. Kemudian, aksi Michael yang membunuh secara Maraton tanpa henti juga agak menarik dengan darah merata, tikaman, kepala pecah dan banyak lagi. Menjadikan setiap aksi ini rasa seriau adalah tiada satu pun yang dipotong atau dipangkas (crop) semasa di pawagam.

Aku katakan begini kerana aku tonton dua kali, di wayang dan juga versi digital melalui platform Peacock dan ia sama sahaja. Agak jarang untuk lihat aksi berdarah ini boleh ditonton dengan puas di Malaysia. Sinematografi juga adalah lebih gelap, kerana berlaku pada waktu malam Halloween dan berjaya beri rasa seram. Pergerakan kamera juga buat aku rasa puas hati.

Tidak lupa juga kepada muzik dalam filem ini yang memberi perasaan seakan menonton filem Halloween klasik. John Carpenter kembali sebagai komposer yang memberikan elemen asal filem ini dengan sedikit iterasi moden menjadikan ia seronok dan seriau.

Apa yang jadi tidak menarik adalah, pertama majoriti perkara dalam filem ini klise dan mudah diramalkan. Tiada yang mengejutkan pun. Kemudian keputusan yang dilakukan oleh watak-watak dalam filem ini agak dungu dan tipikal. Bukan itu sahaja, ada juga aksi yang sepatutnya ngeri, terus jadi lucu kerana ia terlampau mengarut.

Walaupun konsep protes tadi aku suka sebab ada akibatnya dan mereka pelajari nilai kerana melakukan keputusan yang dungu. Cuma protes ini aku rasakan terlampau lama dan agak serabut. Rasa semak sehinggakan membuatkan aku rasa bosan dan pening.

Walaupun aku sudah tahu filem ini akan ada kesinambungan tetapi pengakhiran filem tidak memberikan aku semangat untuk nantikan filem terakhir mereka tahun hadapan. Kerana aku risau ia akan kekal klise dan mudah diramalkan.

Kesimpulan

Ok, filem ini kalau korang ingin tonton aku rasa tiada masalah pun kalau nak puaskan hati kerana ingin tahu kesinambungan filem pertama. Tetapi jangan letak harapan yang tinggi, untuk elak rasa kecewa. Anda akan hanya tonton satu filem slasher di mana Michael Myers kembali membunuh tidak kira usia seakan filem klasik asal francais ini.

Kalau anda gemarkan aksi pembunuhan dan ingin rasakan seriau dengan muzik John Carpenter tontonlah di wayang. Jika anda rasa ingin tonton dalam kadar yang dipercepatkan, langgan Peacock dengan VPN USA jadi anda tidak akan habiskan masa 1 jam 45 minit termenung kerana menghadap filem yang klise ini.

Halloween Kills
Di Pawagam 14 Oktober
Sekuel secara terus kepada filem Halloween 2018, di mana Michael Myers masih hidup dan bebas daripada rumah terbakar Laurie. Michael kini maraton membunuh dan mangsa terselamat daripada filem klasik tubuh pasukan protes untuk memburu Michael untuk hentikan pembunuh seram ini!
Positif
Konsep penceritaan yang lebih menarik
Pemubunhan tanpa henti yang ganas
Negatif
Penceritaan yang klise dan mudah diramal
Watak-watak yang dungu
Adegan lucu yang kacau elemen serams seriau
6.5
Skor Ulasan

Sohor Kini