Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz dan Aksiz akan berkongsi ulasan untuk siri dan juga filem yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Covergence : Courage in Crisis – Netflix

Beberapa minggu yang lalu “filem” Frontliner ditawarkan menerusi Netflix sebagai cara pembikin filem memberikan penghormatan kepada anggota barisan hadapan Malaysia memerangi pandemik. Dengan serta merta Frontliner menjadi meme dengan anggota barisan hadapan menegur babak yang tidak mengikuti prosedur sebelum pemakaian PPE, teknik CPR yang memalukan dan doktor pakar yang melanggar SOP keselamatan pamdemik. Kalangan penonton pula mentertawakan babak tak masuk akal pinggan disorongkan menerusi lubang pagar besar sebelum pagar dibuka untuk dua watak utama berborak tanpa topeng.

Dalam ulasan Amanz sendiri aku mengatakan Frontliner bukanlah cara untuk berterima kasih kepada anggota barisan hadapan sebaliknya adalah karya memalukan kerana ia filem yang ditawarkan kepada semua penonton Netflix. Ia menjadi wakil Malaysia di pentas dunia. Rakyat marhaen dipaparkan sebagai jahat kerana tidak mematuhi SOP, merungut, menangis apabila dikurung dalam kawasan PKPD dan emak juga jahat kerana rindu anak bertugas. Sementara itu insiden VIP melanggar SOP, pergi melawat artis dan bebas dari denda tidak berani pula disentuh untuk pembikin Frontliner.

Jadi apakah kandungan yang boleh ditonton sekarang untuk melihat situasi pandemik sejak lebih 20 bulan yang lalu? Jawapannya ialah Covergence : Courage in Crisis yang boleh ditonton menerusi Netflix. Cerita sebenar barisan hadapan menggunakan kamera mereka sendiri digabungkan di dalam dokumentari sepanjang 113 minit ini.

Penonton dapat melihat bagaimana reaksi awal penduduk Wuhan apabila pesakit mula ditemukan mati di kaki lima. Kemudian melihat kegawatan di Brazil dan UK di awal 2020. Terdapat juga temubual dengan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang menyatakan kekecewaan beliau apabila dunia tidak mengambil serius situasi di Wuhan pada bulan Februari dan March yang mengakibatkan virus merebak ke seluruh dunia.

Selain petugas barisan hadapan yang sering kita diingatkan untuk berterima kasih, Convergence juga menemubual Profesor Sarah Gilbert yang mengetuai pasukan yang membangunkan vaksin Oxord-AstraZaneca. Beliau menceritakan bagaimana proses penghasilan vaksin yang paling pantas dalam sejarah dunia sebelum ini mengambil masa empat tahun. Maka pembangunan pelbagai vaksin Covid-19 yang telah digunakan adalah kejayaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam sejarah peradaban manusia. Oleh sebab itulah Profesor Sarah Gilbert dianugerahkan pangkat Dame oleh Ratu Elizabeth yang setara dengan Tan Sri di Malaysia. Kita juga dapat melihat wajah-wajah kumpulan awal yang menerima vaksin AstraZaneca bagi tujuan kajian klinikal sebelum boleh diberikan kepada umum.

Menonton Convergence akan mengingatkan ketika semula kepada situasi-situasi tegang pada Apri 2020, langkah keselamatan yang diambil orang ramai untuk mengelakkan dijangkiti (seperti membasuh kesemua barang dapur yang dibeli di pasar raya), petua tradisional yang diamalkan untuk “merawat penyakit” dan apakah sebenarnya dilakukan oleh frontliners di sebalik pintu wad yang tidak boleh diakses orang awam.

Covergence : Courage in Crisis bukanlah dokumentari yang mudah untuk ditonton. Ia mungkin akan mengakibatkan trauma membuak naik sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang mati akibat Covid-19. Tetapi sungguhpun visual yang dipaparkan adalah tidak menyenangkan seperti visual ICU di Chile dan pengurusan mayat di India). Convergence ialah karya jujur yang menunjukkan hakikat sebenar kehidupan petugas barisan hadapan yang bergaduh, dimarahi, kepenatan dan berhadapan kematian setiap hari. Jika anda seorang petugas barisan hadapan, terima kasih aku ucapkan dan sekarang aku lebih faham.

Izzat – Editor, Aksiz

12 Angry Men

12 Angry Men adalah satu filem klasik, dikeluarkan pada tahun 1957 iaitu sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Saya menjumpai filem selepas menonton The Man from Earth, yang saya juga kongsi ulasan ketika Apa Kami Tonton Minggu Ini? #5, ini adalah kerana kedua-dua filem ini berkongsi satu konsep yang sama, keseluruhan penceritaan di sampaikan melalui dialog sahaja, bahkan penonton tidak tahu siapa nama-nama setiap watak.

Filem ini adalah mengenai 12 orang juri yang perlu menentukan seorang remaja berumur 18 tahun bersalah ataupun tidak di dalam kes pembunuhan bapanya sendiri. Pada awal lagi, kesebelas juri telah membuat keputusan yang remaja tersebut bersalah kecuali seorang juri iaitu juri nombor 8 yang mengatakan yang mereka perlu terlebih dahulu berbincang mengenai segala bukti yang ada sebelum membuat keputusan.

Pada awalnya juri-juri lain terus berpegang dengan keputusan untuk mengatakan yang remaja tersebut bersalah, sehinggalah juri nombor 8 mencadangkan untuk melakukan undian secara tanpa nama, dan jika kesemua juri lain masih lagi mengekalkan yang remaja tersebut bersalah, dia akan menukar keputusannya dari tidak bersalah ke bersalah dan menamatkan sesi perbincangan ini.

Namun, selepas undian dilakukan, kini terdapat 2 juri yang mengatakan remaja tersebut tidak bersalah. Maka bermulalah ketegangan perbincangan diantara juri-juri ini. Sepanjang 1 jam dan 37 miniti filem ini, diisi dengan perbincangan ini dan kesemuanya secara dialog sahaja. Tiada imbas kembali, tiada gambaran visual, semuanya secara dialog sahaja.

Oleh kerana itu, saya sangat kagum dengan filem ini yang berjaya menyampaikan setiapnnya dengan sangat menarik dan tidak terasa bosan walaupun mendengar perbualan sahaja. Sepanjang perbincangan ini, pelbagai perkara diungkitkan, termasuk juga membincangkan semula bukti-bukti yang ada, selain itu dari semasa ke semasa terdedah juga perkara dan juga masalah peribadi setiap juri yang memberikan motivasi keputusan mereka.

Kita mungkin tidak akan lagi dapat melihat filem seperti 12 Angry Men pada zaman sekarang, mendengar perbualan 12 orang sebagai satu filem bukan sesuatu yang menarik perhatian ramai, tetapi jika anda meminati filem saya cadangkan anda memberi peluang untuk filem ini dan saya yakin anda juga akan menyukainya.

12 Angry Men boleh dibeli ataupun sewa melalui iTunes Store.

Fahim – Penulis, Amanz/Aksiz

V/H/S 94 – Shudder

Minggu lepas aku balun filem V/H/S pertama tahun 2012 dan sekuelnya V/H/S/2 yang ditayangkan pada tahun 2013. Filem ini adalah filem seram yang mengerikan, ganas, penuh dengan darah, ada juga yang jijik serta amat mengejutkan. Mereka yang lemah semangat adalah sangat tidak digalakkan untuk menonton. Ia merupakan antologi yang mana setiap filem ada beberapa kisah tersendiri, sambil premis utama yang ringkas berlaku dalam filem adalah ada orang yang sedang menonton pita-pita VHS kisah-kisa tersendiri ini. Aku cuba tonton filem ketiga V/H/S Viral, tetapi tidak boleh masuk kerana premis yang karut, kisah yang tidak masuk akal, tidak seram, dan amat bosan.

Untuk sekuel keempat, V/H/S 94 – ia berlaku pada tahun 1994 yang mana pasukan SWAT cuba mencari dalang di sebalik pembunuhan secara beramai-ramai kerana sukar untuk percaya orang boleh mati apabila tonton pita VHS ini. Biasalah, pihak berkuasa mana percaya benda-benda ghaib ini. Tetapi ada twist yang tersendiri. Kisah pasukan Swat ini berada dalam judul Holy Hell.

Filem ini diteruskan dengan kisah anotlogi pertama iaitu Storm Drain yang mengisahkan Rat Man, seakan tikus jadian yang orang ramai anggapnya sebagai sejenis dewa dan menyembah makhluk ini. Ia kurang ngeri, tetapi ada elemen mengejutkan yang memuaskan. Kisah kedua adalah The Empty Wake, acara pengebumian yang tiada siapa hadir dan wanita yang mengendali acara ini diganggu dengan si mati yang membunuh diri dengan kepala hancur.

The Subject adalah filem Indonesia dengan kisah doktor gila yang berkesperimentasi dengan manusia untuk mengubah mereka menjadi cyborg atau hibrid manusia dan mesin. Tetapi, eksperimen beliau kerap gagal dan mangsa yang diuji menjadi cyborg ini dibiarkan begitu sahaja sama ada kepala dengan alatan mekanikal, badan yang dibedah dengan organ bersepah, tangan putus berdarah dengan senjata, robot dengan otak manusia dan pelbagai lagi. Ia mempunyai penceritaan yang ringkas tetapi memuaskan.

Terror walaupun menarik, tetapi bukan kegemaran aku sendiri. Ia lebih kepada konsep pontianak. Dengan satu kumpulan pengganas yang mempercayai pontianak ini mampu mengubah hidup mereka. Ia satu konsep kumpulan kultus yang mendera pontianak ini demi kebaikan mereka.

Artikel Lepas Untuk – Apa Kami Tonton Minggu Ini

Sohor Kini