NBA 2K22 Arcade Edition Untuk Apple Arcade Akan Tiba Minggu Depan

Pada bulan lepas, Apple Arcade telah mengumumkan yang 2K Games akan menawarkan NBA 2K22 Arcade Edition untuk perkhidmatan tersebut, selepas baru sahaja melancarkan NBA 2K21 Arcade Edition pada bulan April lepas. Permainan terbaru ini akan dikeluarkan pada 19 Oktober 2021.

Melaluinya, 2K Games masih lagi mengekalkan sepertimana permainan yang lepas tetapi dengan pasukan dan juga senarai pemain yang telah dikemaskini. Seperti mana-mana permainan Apple Arcade yang lain, segala sistem pembelian di dalam aplikasi akan dibuang daripada versi ini.

Selain itu, mereka juga mengumumkan yang permainan Tiny Wings oleh Andreas Illiger yang diumumkan bersama dengan NBA 2K22 sebelum ini, akan dilancarkan pada hari Jumaat ini. Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi seekor burung dan boleh mengembara di pelbagai tempat yang menarik.

Apple Arcade juga akan menerima Kingdom Rush Frontiers TD iaitu permainan seterusnya untuk siri Kingdom Rush. Namun buat masa ini tarikh pelancaran untuknya masih tidak diumumkan.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.

Anda juga boleh baca 10 permainan menarik untuk anda cuba jika memiliki langganan Apple Arcade ataupun bercadang untuk mendapatkannya: 10 Permainan Baharu Di Apple Arcade Yang Menarik.

Sohor Kini