Walaupun lebih lewat sedikit bagi tahun ini, EA Sports akhirnya melancarkan permainan tahunan FIFA mereka pada 1 Oktober lepas, FIFA 22 menjanjikan pelbagai penambahan terutama dari segi bentuk permainan untuk memberi sesi yang lebih realistik, menggunakan sesuatu yang dipanggil sebagai “HyperMotion Technology”. Secara teorinya, teknologi ini membantu mempertingkatkan kualiti permainan dengan merakam seratus lebih pemain untuk melihat cara mereka bergerakan di atas padang.

Pergerakan ini kemudiannya diterjemahkan kepada pergerakan di dalam permainan menggunakan pembelajaran mesin. Adakah ia sesuatu yang benar-benar membawa perbezaan ataupun sekadar gimik pemasaran sahaja? Saya boleh katakan ia adalah kedua-duanya. EA mungkin terlalu menjual teknologi ini sehinggakan ia adalah eksklusif untuk konsol generasi terkini sahaja iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series.

HyperMotion Technology

Pada percubaan saya sendiri, ia rasa dan nampak ada peningkatan. Pergerakan pemain terasa lebih semula jadi, tidak terasa terlalu kaku, terutama semasa menerima bola, berlari dan juga melakukan pelbagai skill. Namun, apabila berkait dengan pelanggaran, lompatan dan tackle contohnya masih terasa janggal jika apabila dibandingkan dengan perlawanan bola sepak sebenar.

Dengan PS5 membolehkan saya untuk memasang versi PS5 dan juga PS4, saya mencuba versi konsol generasi lepas dan boleh dikatakan tidak terasa perubahan yang ketara. Tidak sejelas seperti mana perbezaan skrin pemuatan dan juga grafik yang benar-benar memperlihatkan kualiti yang lebih baik di konsol generasi baharu, sepertimana versi PS5 bagi FIFA 21 yang dikeluarkan pada tahun lepas. Namun, saya bukanlah pemain FIFA 22 yang profesional ataupun pakar, oleh itu ada kemungkinan perbezaan HyperMotion ini lebih terasa bagi pemain-pemain yang lebih berpengalaman dan berkemahiran.

Sesi perlawanan juga terasa lebih perlahan berbanding sebelum ini, dan terasa memberi peluang kepada lebih perancangan teknikal dan pemain yang laju pecutan tidak memberi kelebihan yang sangat ketara. AI pertahanan juga terasa lebih baik terutama dari segi positioning, yang memaksa saya untuk lebih berhati-hati apabila melakukan pass. Ini ditambah lagi, passing di dalam FIFA 22 terasa lebih sukar dan memerlukan pengawalan yang lebih jitu untuk tidak menyepak bola terus ke pihak lawan ataupun ke ruangan yang kosong.

Antara fungsi baharu yang diperkenalkan untuk membantu serangan adalah ‘player lock’, di mana jika saya menggunakannya, berbanding mengawal pemain yang membawa bola saya akan mengawal pemain lain dan boleh meminta hantaran dilakukan terus ke anda. Bagi anda yang biasa bermain mod karier pemain ataupun Pro Club ia mempunyai fungsi yang lebih kurang. Fungsi ini sangat baik jika digunakan dengan baik, tetapi pada percubaan saya oleh kerana yang membawa bola adalah AI, menjadikan pergerakannya lebih mudah untuk dijangka.

Bagi pertahanan pula, Icon Switching diperkenalkan. Semasa tidak membawa bola, saya boleh tekan R3 (di PS5) untuk mengeluarkan arah D-pad di atas kepala pemain, saya boleh menekan arah tersebut untuk mengawal pemain tersebut. Ini adalah sesuatu yang baik, semasa saya bermain NBA 2K, fungsi ini adalah paling berguna dan begitu juga untuk FIFA, akan tetapi saya lebih gemar jika saya boleh menggunakan butang biasa berbanding D-Pad, kerana apabila melakukan dengan pantas, ia boleh jadi mengelirukan.

Tidak pasti jika ia berkait dengan HyperMotion, kemungkinan besar ya, penjaga gol juga terasa mempunyai peningkatan bagi FIFA kali ini. Mereka akan melakukan lebih banyak save, dengan penambahan animasi yang lebih berkesan. Namun, masih lagi ada beberapa masalah mengenai kedudukan, contohnya sering bolos apabila rembatan dari tepi gawang, saya juga merasakan sepakan jarak jauh “terlalu berkesan”, ada masa lebih baik untuk sekadar rembat berbanding cuba untuk masuk ke dalam kotak penalti.

Saya boleh katakan yang penambahan yang di bawa oleh FIFA 22 adalah sederhana sahaja, ia seperti penambah-baikkan telefon pintar saban tahun, sama ada anda harus membeli permainan ini setiap tahun bergantung kepada anda menyukai masakan utama ataupun pencuci mulut.

Hidangan Utama: FIFA Ultimate Team (FUT)

Saya menerima FIFA 22 beberapa hari sebelum dilancarkan secara rasmi dan terus bermain hampir setiap hari sehingga hari penulisan ulasan ini dan saya boleh katakan 80% diluangkan untuk bermain FIFA Ultimate Team. Ia adalah mod yang menyumbang pendapatan terbesar kepada EA, selain penjualan secara terus dan oleh kerana iaitu ia adalah mod yang boleh dikatakan sebagai hidangan utama dan dimasak dengan lebih baik berbanding mod-mod lain yang boleh dianggap sebagai pencuci tangan sahaja.

Perubahan utama yang dibawa oleh FUT adalah sistem Division Rivals, iaitu medan utama untuk anda menguji kemahiran melawan dengan pemain lain. Bagi tahun ini, Rivals akan mempunyai satu musim selama lebih kurang 6 minggu. Di dalam masa ini saya boleh bermain melawan dengan pemain lain menggunakan pasukan binaan saya untuk mempertingkat kedudukan Division. Bermula dari Division 10 sehinggalah mencapai Elite Division.

Sesuatu yang baik bagi saya yang masih lagi sedang belajar adalah di antara setiap division akan mempunyai sesuatu yang boleh dikatakan sebagai penanda. Jika mencapai penanda ini, walaupun beberapa kali kalah, saya tidak akan turun. Sepanjang musim, saya juga tidak akan jatuh daripada division yang telah tercapai. Ia adalah baik dan juga tidak baik. Baik kerana memberi peluang untuk terus meningkat divisiont tanpa perlu bermula semula, tetpai tidak baik kerana ada kemungkinan saya akan tersangkut di satu division dan sukar untuk memperoleh kemenangan.

Memenangi perlawanan penting bukan sahaja untuk naik division akan tetapi juga untuk mendapat ganjaran mingguan di mana memerlukan saya untuk memenangi 3 dan 7 perlawanan setiap minggu, jika saya tersangkut di division yang “diluar” kemahiran saya, mendapat kemenangan sebanyak 7 kali mungkin menjadi sangat sukar. Selain hadiah mingguan, terdapat juga hadiah semusim yang mempunyai tiga tahap mengikut jumlah permainan yang dimainkan.

Tahap pertama bermain 20 perlawanan, tahap kedua bermain 50 perlawanan dan tahap ketiga 90 perlawanan, oleh itu terdapat tiga ganjaran kesemuanya, tambahan daripada itu setiap division akan mempunyai ganjaran tersendiri, oleh itu jika saya mencapai Division 6, saya akan memperoleh sekurang-kurangnya 15 ganjaran, lebih banyak jika mencapai division yang lebih tinggi.

Setiap kali bermain, saya juga akan mendapat markah kelayakan untuk Champions, iaitu satu bahagian lagi untuk menguji kemahiran. Selepas dapat membuka Champions, saya akan diberikan 9 perlawanan untuk mencapai tahap tertinggi. Setiap kemenangan akan memberikan 4 markah dan kalah 1 markah, jika pemain mencapai Rank II iaitu 24 markah (sekurang-kurangnya 5 kemenangan) untuk memasuki Champions Finals yang akan memberikan anda 20 lagi perlawanan untuk mendapat tahap yang lebih baik.

Champions boleh dimainkan sepanjang musim, manakala Champions Final akan dianjurkan setiap hujung minggu. Bagi pemain “baharu” ataupun kurang berpengalaman seperti saya, sistem ini adalah baik, akan tetapi saya ada mendengar rungutan daripada pemain yang lebih berpengalaman yang mengatakan sistem kali ini kurang mencabar dan habis terlalu cepat.

Selain daripada itu, tidak banyak perubahan lain yang dilakukan, Squad Battle, Friendlies, Player Draft masih disertakan untuk memberi pelbagai cabaran lain. Sistem ekonomi FUT juga terus kekal dengan pemain boleh membeli pek menggunakan FIFA Coins ataupun FIFA Points, membawa fungsi yang dipekenalkan pada FIFA 21, saya kini dapat melihat kandungan satu pek tanpa perlu membelinya, akan tetapi ia terhad satu pek sahaja setiap hari. Satu-satunya penambahan untuk sistem ekonomi adalah pemain juga boleh membeli berkas yang akan memberikan alat kosmetik seperti jersi dan juga hiasan stadium. Buat masa ini, berkas tersebut hanya boleh dibeli menggunakan coins sahaja.

Mengapa saya mengatakan yang FUT adalah hidangan utama, kepelbagaian aktiviti yang boleh dilakukan di dalam mod ini sudah mengisi sepenuhnya masa saya bermain, jika saya melalui kekalahan yang berterusan, saya akan mengubah bentuk pasukan dan bermain Friendlies untuk menguji, saya juga boleh melakukan Squad Draft dan juga Squad Building Challenges. Setiap hari, dan setiap minggu juga terdapat objektif tersendiri untuk dilakukan untuk mendapatkan segala ganjaran melalui “Season Progress” yang sekaan Battle Pass bagi FIFA.

Bercakap mengenai sistem kotak tikam, ia masih FUT yang semua kenali, jika ingin membina pasukan terbaik sudah semestinya memerlukan penggunaan wang ringgit tambahan. Namun, terdapat juga pelbagai cara lain untuk mendapatkan pek secara percuma. Bagi saya, ia tidak terlalu menekan untuk menggunakan wang ringgit, akan tetapi pengalaman bermain akan bertambah jika anda melakukannya.

Pencuci Mulut: Mod-Mod Lain

Seperti FIFA-FIFA sebelum ini, FIFA 22 juga mempunyai pelbagai mod lain yang boleh dimainkan, antaranya adalah Volta Football, Career – pengurusan atau pemain, Pro Clubs dan Seasons. Secara keseluruhannya, EA memberikan beberapa perubahan tetapi tidak sangat besar untuk menjadikan ia mod yang berbeza berbanding siri lepas.

Bagi Volta Football tidak banyak penambahan yang disertakan, selain daripada Volta Acrade iaitu pelbagai permainan-mini yang boleh dilakukan melawan dengan pemain lain, selain perlawanan biasa. Volta juga mempunyai battle pass dan ekonomi tersendiri untuk mendapatkan barangan kosmetik. Seperti rungutan pada tahun lepas, saya masih tidak menyukai bentuk permainan volta, ia masih lagi rasa tidak kemas.

Selain daripada itu, agak sukar untuk mencari sesi permainan, terutamanya di PS5, berkemungkinan besar pemain masih lagi memfokuskan kepada FUT, akan tetapi semasa percubaan saya tidak ramai yang mempunyai FIFA 22 menyentuh mod ini. Perkara yang sama saya boleh katakan untuk Pro Clubs.

Pro Clubs iaitu mod yang membolehkan anda mengawal pemain anda sendiri sahaja, melawan dengan pemain-pemain lain. Pro Clubs kali ini memberi saya pilihan untuk menghasilkan avatar sebagai seorang perempuan atau-pun lelaki. Ia adalah penambahan yang baik akan tetapi melainkan anda mempunyai satu pasukan untuk bermain bersama, agar sukar untuk mencari perlawanan secara drop-in. Sering kali saya mendapat 2 lawan 2 ataupun 2 lawan 1, yang bagi saya tidak memberikan keseronokan sebenar untuk Pro Clubs.

Season adalah seperti Division Rival di dalam FUT tetapi lebih ringkas dan pemain akan mengawal pasukan sedia ada seperti Manchester United ataupun negara Perancis untuk melawan dengan pemain lain. Boleh dikatakan tiada perubahan berbanding permainan lepas, namun sekurang-kurangnya lebih cepat untuk mencari lawan berbanding Volta dan juga Pro Clubs. Ini mungkin adalah masalah untuk PS5 yang masih tidak mempunyai ramai pemain, saya mempunyai pengalaman yang lebih baik mencari sesi permainan, apabila bermain menggunakan versi PS4.

Manakala Career, bagi pengurusan perubahan utama adalah saya kini boleh menghasilkan pasukan sendiri termasuk juga mereka jersi dan pelbagai lagi. Namun, oleh kerana saya perlu menggantikan satu pasukan sebenar, saya tidak berapa menyukainya. Apabila bercakap mengenai pengurusan, saya inginkan pengalaman yang sedekat mungkin dengan dunia nyata. Aspek tersebut juga tidak dipertingkatkan, masih ada lagi pemindahan yang tidak masuk akal, ataupun keputusan yang walaupun tidak mustahil tetapi sangat janggal.

Bagi Career sebagai pemain pula, terdapat pelbagai penambahan, antaranya sistem RPG, setiap kali meningkat tahap, pemain boleh menambah mana-mana kebolehan yang sekaligus meningkatkan rating pemain. Ia adalah mod yang menarik, tetapi mempunyai masalah yang sama dengan Career pengurusan, ia kurang realistik. Contohnya saya menjadi pemain baharu di kelab Manchester United, selepas satu perlawan persahabatan, saya terus dipilih oleh Ole untuk menjadi pasukan utama menggantikan Bruno Fernandez.

Ia mungkin dilakukan agar dapat memberi peluang kepada saya untuk bermain dengan lebih cepat, tanpa perlu menunggu setahun dua sebelum menjadi antara kesebelasan utama. Bagi mengekalkan “simulasi” saya mencadangkan untuk anda bermula dengan pasukan bawahan, agar lebih masuk akan untuk terus menjadi pemain utama, berbanding bermain di kelab-kelab yang besar.

Secara ringkasnya, mod-mod lain yang disertakan di dalam FIFA 22 tidak seharusnya menjadi penyebab mengapa anda perlu berbelanja ratusan ringgit untuk bermain. Ia sangat terhad dan jika anda sudah memiliki FIFA 20 ataupun FIFA 21, ia masih lagi perkara yang sama.

Sudah Masa Untuk Resipi Baharu

EA sebelum ini telah mengumumkan yang mereka sedang merancang untuk tidak lagi menggunakan jenama FIFA, namun saya mengharapkan bukan itu sahaja perubahan yang boleh dilakukan. Saya tidak mempunyai masalah penambahan yang sederhana ataupun sedikit setiap tahun, secara jujurnya apa perubahan besar yang boleh dilakukan untuk satu permainan simulasi bola sepak?

Perkara pertama yang saya merasakan EA harus lakukan adalah, seperti yang saya katakan di ulasan untuk FIFA 21 adalah mengasingkan FUT daripada mod-mod lain, mod ini telah menyumbangkan wang ringgit kepada EA, terus meminta pemain untuk berbelanja ratusan ringgit, semata-mata untuk bermain mod ini adalah perkara yang sangat sangat tidak masuk akal. EA akan menjadikan alasan terdapatnya pelbagai mod lain untuk memberi justifikasi meminta bayaran tersebut, akan tetapi saya merasakan jika seseorang itu bermain FUT, mereka tidak akan meluangkan masa yang banyak untuk bermain mod lain, sekurang-kurangnya ia benar untuk saya.

Jika FUT diasingkan, walaupun tidak menjadi permainan percuma untuk dimainkan akan tetapi ia masih lagi satu perkara yang baik kepada masa depan untuk FUT.

Manakala untuk mod-mod lain, ia perlu dijadikan lebih mendalam dan berbaloi untuk pemain luangkan masa. Saya juga merasakan yang EA peluang yang baik untuk menggabungkan Volta dengan Pro Clubs, di mana pemain boleh menggunakan pemain yang sama dan meningkatkan tahap serentak berbanding menjadikannya ia dua pemain ataupun mod yang berbeza.

Buat masa ini, EA masih lagi berada di dalam keadaan yang selesa, walaupun peningkatan secara sederhana sahaja, FIFA 22 masih lagi adalah permainan terbaik untuk simulasi bola sepak. Tambahan dengan apa yang berlau dengan eFootball buat masa ini, ia adalah fakta yang akan terus berkekalan sekurang-kurangnya untuk setahun dua lagi. Namun, jika anda bermain FUT, FIFA 22 adalah berbaloi walaupun ia tidak sepatutnya akan tetapi jika anda sekadar ingin bermain mod-mod lain, tidak banyak kandungan menarik disediakan.

Penafian: FIFA 22 Ultimate Edition disediakan oleh EA untuk tujuan ulasan ini.

FIFA 22
FIFA 22 tidak membawa penambahan yang besar bagi tahun ini, akan tetapi setiap yang ditambah menjadikan ia lebih baik dan mengekalkan sebagai permainan simulasi bola sepak terbaik di pasaran
Positif
Grafik Generasi Baharu Yang Lebih Baik
Kawalan Yang Lebih Cekap
Division Rival Untuk FUT Lebih Mesra Pemain Baharu
Negatif
Mod Selain FUT Tidak Diberi Penekanan
Tidak Ramai Pemain Di PS5
7

Sohor Kini