Rockstar Games sebentar tadi mengesahkan kewujudan Grand Theft Auto The Trilogy The Definitive Edition. Sebuah trailer pendek sepanjang 25 saat menunjukkan imej dari GTA III, GTA Vice City dan GTA San Andreas telah dikongsi menerusi akaun Twitter rasmi Rockstar Games.
Berdasarkan ciapan yang dihantar seterusnya, GTA The Trilogy The Definitive Edition akan dilancarkan pada penghujung Oktober sebagai menandakan ulang tahun ke-20 pelancaran GTA III. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, GTA The Trilogy Definitive Edition akan dilancarkan pada platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Switch, PC, iOS dan Android. Versi ini akan dibangunkan oleh Rockstar Dundee iaitu Ruffian Games yang dijenamakan semula selepas diambil-alih oleh Rockstar pada tahun lepas dan akan menggunakan Unreal Engine.
Kotaku juga melaporkan yang ia akan menggunakan campuran rekaan grafik baharu dan grafik lama, antaramuka juga akan dikemaskini tetapi mereka menyasarkan untuk memberi pengalaman sehampir mungkin dengan versi lama maka bukanlah olahan semula menggunakan enjin grafik moden.