Ura-ura mula kedengaran mengenai Rockstar akan mengeluarkan semula permainan Grand Theft Auto lama mereka melalui versi Remastered. Minggu ini, Kotaku telah melaporkan yang mengesahkan ura-ura tersebut, tiga permainan GTA yang akan menerima versi Remastered adalah GTA III, GTA Vice City dan GTA San Andreas.

Versi Remastered tersebut dikatakan tiba pada akhir tahun ini, di mana ia pada awalnya dirancang untuk menjadi ganjaran bagi pemain yang membeli GTA V dan GTA Online untuk PlayStation 5 dan Xbox Series sebelum ditukar untuk dilancarkan pada awal tahun ini tetapi ditunda ke tingkap pelancaran baharu tersebut.

Ia akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Switch, PC dan juga untuk peranti pintar iaitu iOS dan Android. Versi ini akan dibangunkan oleh Rockstar Dundee iaitu Ruffian Games yang dijenamakan semula selepas diambil-alih oleh Rockstar pada tahun lepas dan akan menggunakan Unreal Engine.

Kotaku juga melaporkan yang ia akan menggunakan campuran rekaan grafik baharu dan grafik lama, antaramuka juga akan dikemaskini tetapi mereka menyasarkan untuk memberi pengalaman sehampir mungkin dengan versi lama.

Sohor Kini