Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz dan Aksiz akan berkongsi ulasan untuk siri dan juga filem yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Britney vs Spears – Netflix

Minggu ini berita paling hangat ialah Britney Spears akhirnya bebas dari penjagaan oleh bapa beliau Jamie Spiers. Di Amerika Syarikat ada undang-undang yang boleh memaksa seorang dewasa menyerahkan pengurusan harta dan diri kepada pihak ketiga sekiranya didapati mempunyai masalah mental. Britney Spears sudah di bawah pengurusan bapa beliau sejak 2008. Sejak 13 tahun yang lalu beliau tidak diberikan pilihan untuk menggunakan duit yang dikumpul dari kerjaya sendiri, tidak boleh menambah jumlah anak dan merancang sendiri kerjaya yang telah beliau lakukan ketika masih kanak-kanak.

Dokumentari Britney vs Spears menjawab persoalan bagaimanakah Britney Jean Spears boleh diletakkan di bawah penjagaan bapa beliau Jamie Spears. Kenapa beliau dipaksa untuk menerima dijaga seperti seorang remaja bawah umur dan usaha yang dilakukan untuk mendapatkan keadilan yang dinafikan sejak 2008.

Seperti kesemua dokumentari yang baik, BvS memulakan penceritaan dengan sejarah hidup Britney yang telah menjadi sumber pendapatan keluar beliau sejak masih lagi kecil. Pembabitan dalam pertandingan bayi cantik kemudian berkembang kepada kerjaya di TV menerusi Mickey Mouse Club. Selepas berdekad di bawah telunjuk ibu bapa Britney cuba berdikari dan melepaskan diri dari imej anak dari sunti dari selatan yang membuatkan beliau menjadi artis wanita nombor satu dunia.

Kejayaan berubah menjadi tragedi apabila Britney menjalinkan hubungan dengan penari latar Kevin “Popozao” Faderline. Kebebasan yang dinikmati kemudian membuka pintu penjara dengan paparazzi memburu beliau setiap hari. Kesihatan mental terjejas sehingga akhirnya Britney memotong rambut sehingga botak di sebuah stesen minyak.

Perangai yang semakin hilang kawalan dijadikan alasan untuk beliau dimasukkan ke institusi mental dan akhirnya menyerahkan urusan harian kepada bapa. Wang saku yang diberikan terlalu sedikit dan memandu kereta juga memerlukan Britney mendapatkan kebenaran bapa. Semua ini berlaku kepada seorang wanita berusia 39 tahun!

Penerbit dokumentari melalukan tugas yang baik menujukan kelicikan Jamie dan bagaimana sistem perundangan di Amerika Syarikat mengakibatkan Britney dihalang dari mendapatkan keadilan. Jika anda berminat melihat apa yang dilakukan Britney sejak 13 tahun yang lalu sehingga berjaya membebaskan diri sekarang, ini dokumentari yang aku rekemen kepada anda dan khususnya kepada peminat Britney.

Izzat – Editor, Aksiz

Man of Steel

Man of Steel seperti Iron Man untuk MCU, adalah filem pertama di dalam penghasilan satu siri DC Extended Universe, namun selepas kekecewaan untuk filem Batman v Superman serta Suicide Squad, walaupun dengan penerimaan yang lebih baik untuk Wonder Woman dan Aquaman, masa depan DCEU masih tidak menentu. Ada yang ingin Zack Snyder meneruskan siri ini, ada juga yang inginkan DC dan Warner Bros untuk memulakan semula.

Namun, saya tidaklah menonton keseluruhan DCEU, seperti mana saya lakukan untuk MCU Fasa 1 dan MCU Fasa 2, sebaliknya minggu ini saya sekadar meluangkan masa untuk menonton semula Man of Steel, projek pertama Zack Snyder. Adakah DCEU bermula dengan langkah kanan atau langkah kiri?

Secara jujurnya, selepas menonton semula, saya boleh katakan ia tidak melangkan, ia mempunyai sedikit tenaga untuk melangkah kanan tetapi tidak kesampaian. Man of Steel mempunyai pelbagai elemen dan lapisan penceritaan yang menarik, akan tetapi setiapnya disampaikan dengan sangat lemah menjadikan keseluruhan penceritaan terasa tidak teratur dengan pacing sangat umbang ambing.

Saya faham, Zack Snyder cuba untuk membawa Clark Kent yang masih tidak pasti dengan kuasanya dan juga penerimaan manusia terhadapnya, akan tetapi penyampaian terlalu lemah, motif penceritaan tidak sampai, watak Clark Kent sendiri menjadi kurang menarik. Belum sempat, watak dikembangkan, datang pula General Zod sebagai antagonis utama yang makin celarukan perwatakan Superman.

Manakala watak Lois Lane yang berperanan untuk “me-manusiakan” Superman juga dilakukan dengan gopoh, perhubungan di antara Lois dan Clark terasa sangat artificial, bagaikan mereka berdua dipaksa untuk mempunyai perhubungan. Ada masa juga Lois Lane dimasukkan di dalam sesuatu adegan tanpa sebab, contohnya pada bahagian menghampiri pengakhiran, Clark Kent sepatutnya mempunyai momen tersendiri tetapi diselitkan Lois Lane yang bagi saya mencacatkan momen tersebut.

General Zod pula adalah satu watak jahat yang tipikal, dorongan untuk dia melakukan perkara yang jahat tersebut difahami, tetapi sekali lagi, ia disampaikan dengan gopoh menjadikan tidak sangat membawa impak yang besar kepada keseluruhan penceritaan.

Satu-satunya impak yang diberikan adalah kemusnahan bandar dan bumi, di mana setiap CGI aksi yang dilakukan adalah bukan terbaik tetapi masih mencukupi untuk memperlihatkan bertapa berkuasanya Superman dan juga General Zod. Ada masa ia terasa terlalu melampau, tetapi pada masa sama saya merasakan apabila melibatkan seorang adiwira seperti Superman, tiada cara lain untuk menyampaikannya.

Kesimpulannya, seperti saya katakan di atas, Man of Steel memulakan DCEU dengan tidak langsung melangkah, ia tidak memberi gambaran yang benar untuk masa depan bagi siri ini, tetapi ia juga bukanlah satu filem yang kurang menarik. Bahkan saya boleh katakan ia adalah satu filem yang lebih baik berbanding mana-mana filem Iron Man.

Fahim – Penulis, Amanz/Aksiz

V/H/S 2012 & V/H/S 2 (2013) – Bloody Disgusting

Kalau haritu aku tonton beberapa siri dan filem di Shudder, kerana minat aku terhadap kandungan seram seriau yang seriau, ngeri dan kadangkala menjijikkan. Tetapi aku ada had juga, kalau terlampau geli macam Centipede tu memang aku tidak boleh diterima jalan cerita dan konsepnya. Meneruskan lagi usaha mencari kandungan seram seriau yang mengejutkan ini adalah melalui platform Bloody Disgusting yang boleh dilanggan menggunakan VPN.

Aku tonton dua filem, iaitu V/H/S pertama tahun 2012 dan V/H/S 2 tahun 2013. Aku tonton kedua-dua ini atas persediaan ingin tonton filem baharu mereka V/H/S 94 yang baru sahaja disiarkan di Shudder. Jadi lebih mudah untuk tonton berbanding dengan menstrim di platform Bloody Disgusting.

Konsep filem ini adalah seperti nama filem itu sendiri, VHS atau pita VHS yang ditemui dalam rumah yang aneh dan menyeramkan. Setiap orang yang masuk rumah ini akan ada rasa ingin cuba tonton setiap pita VHS yang mempunyai klip-klip aneh, yang disturbing gila. Mereka yang tonton akan akhirnya mati kerana dirasuk atau dibunuh oleh satu entiti.

Filem amat mengerikan dan ada juga yang terlampau kejam membuatkan penonton rasa kasihan, rasa marah dan rasa tidak puas hati pun ada. Filem pertama mempunyai premis yang paling dungu, remaja yang nakal pecah masuk rumah terus jumpa VHS dengan pakcik tua mati di sofa. Filem kedua lebih menarik dengan konsep pasangan penyiasat persendirian yang mencari klu klien mereka dan memecah masuk rumah yang ada VHS. Setiap satu filem akan ada kaitan tersendiri yang cukup menarik.

VHS 94 ini adalah tahun 1994, dan aku mungkin akan kongsi dalam segmen #AKTMI minggu hadapan. Perlu diingatkan, anda perlu mempunyai semangat yang kuat dan berani untuk tonton. Jangan tonton sambil makan, kerana takut termuntah atau tergigit jari.

Artikel Lepas Untuk – Apa Kami Tonton Minggu Ini

Sohor Kini