Acara pembukaan Gamescom yang berlangsung pada awal pagi tadi, boleh dikatakan sederhana sahaja. Ia banyak memperlihatkan permainan tetapi tidak banyak yang membawa sesuatu yang baharu, sehinggalah DokeV yang disebut sebagai do-ki-v iaitu permainan pengembaraan dunia terbuka oleh Pearl Abyss.

Pearl Abyss adalah pembangun permainan video dari Korea Selatan yang terkenal dengan permainan MMORPG Black Desert Online.

Melalui treler terbaru untuk permainan tersebut, yang anda boleh tonton di bawah ia menyertakan segalanya. Grafik yang baik, sistem pertempuran yang menarik serta konsep permainan yang menguja dengan lagu rancak pop sebagai nilai tambah.

Menonton treler tersebut saya boleh katakan ia adalah satu serendipiti di mana saya tidak menjangkakan yang Gamescom akan mempunyai kejutan seperti mana yang diperlihatkan di dalam permainan ini.

Pearl Abyss melalui perkongsian lanjut mengatakan yang pada awalnya DokeV dibangunkan sebagai permainan MMO akan tetapi telah diubah menjadi permainan aksi pengembaraan dunia terbuka di mana pemain boleh mengumpul haiwan.

Mereka juga mengatakan yang permainan ini adalah dihasilkan untuk dimainkan oleh seisi keluarga, dengan rekaan grafik yang ditampilkan, serta aksi yang menarik, kami boleh katakan ia adalah permainan yang boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja.

Buat masa ini tidak disahkan lagi tarikh pelancaran dan juga platform ia akan tiba, namun ia sudah semestinya satu permainan yang dinanti-nantikan.

Sohor Kini