Dikemaskini 1 Oktober 2021: Artikel ulasan ini telah dikemaskini dengan ulasan episod kesembilan yang juga merupakan episod terakhir.


Buat pertama kalinya Marvel Studios hadir dengan siri animasi tersendiri yang mungkin berkait rapat dengan siri serta filem aksi nyata MCU. Siri ini adalah What If…?, iaitu siri animasi yang menceritakan iterasi berbeza filem-filem MCU. Ia menampilkan watak-watak yang kita kenal, tetapi mungkin memainkan watak sama atau mungkin juga memainkan watak berbeza.

Daripada 30 garis log dihasilkan oleh pasukan penulis skrip, 10 daripadanya menjadi episod untuk sepanjang musim pertama. Setiap episod menceritakan kisah lain filem-filem MCU yang kita pernah tonton, tetapi dengan iterasi berbeza ia mungkin menggabungkan pelbagai filem lain sekali atau menyertakan watak utama filem lain dalam peristiwa lain.

Siri animasi ini juga adalah Fan Servicei rasmi yang Marvel Studios serta Disney boleh perah duit peminat untuk melanggan platform penstriman mereka ini.


Cukup dengan bebelan di atas, artikel ini adalah ulasan untuk tiga episod pertama. Aksiz cukup bertuah menerima akses awal untuk menonton tiga episod yang cukup mendebarkan. Disebabkan siri TV ini adalah mini filem pada setiap episod, ulasan akan lebih kepada reaksi dan pendapat untuk elak sebarang beberan.

Episod 1

Episod pertama mengikut garis masa sebenar MCU berdasarkan filem yang sudah ditayangkan. Ia bermula dengan konsep Captain America: First Avenger. Tetapi bagaimana kalau Agent Peggy Carter yang ambil serum bukannya Steve Rogers? Beliau menjadi Captain Carter atau dalam komik Captain Britain. Manakala Steve Rogers menjadi “Iron Man” pertama ciptaan Horward Stark yang digelar sebagai Hydra Stomper.

Kisah yang ringkas, tetapi puas. Ia seakan recap filem oleh peminat. Ia padat dengan informasi menarik, penceritaan yang sangat dikenali tetapi ada vibe berbeza yang memberikan satu perasaan menonton yang sangat berbeza. Watak lain turut menampilkan Bucky dan The Howling Commandos tetapi diketuai oleh Peggy. Arnim Zola dan Red Skull yang lebih berkuasa serta banyak lagi perkara kecil diubah menjadikan seluruh cerita lebih menyeronokkan.

Perjalanan watak yang menarik dan memuaskan. Gandingan watak yang cukup sepadan, jalan cerita dan susunan plot yang lebih mudah faham sambil menghormati elemen asal filem. Membuatkan kita terfikir, kalaulah ini versi aksi nyata pasti sambutan filem MCU sekarang berbeza.

Episod 2

Episod kali ini lebih berbeza. Ia menggabungkan dua filem. Apabila Black Panther iaitu Wakanda bergabung dengan Guardians of the Galaxy. Ia juga dikatakan adalah prestasi terhebat terakhir Chadwick Boseman sebagai T’Challa. Beliau dikatakan memberi prestasi lakonan suara lebih emosi dan bersemangat berbanding pelakon lain.

Apabila Yondu dan pasukan ke bumi yang sepatutnya menculik Peter Quill ketika kanak-kanak, konco-konconya salah culik manusia lain. Mereka telah menculik T’Challa ketika kanak-kanak. Ini menjadikan T’Challa, waris raja Wakanda sebagai penjenayah terkenal galaksi Star-Lord.

Episod ini lebih berbeza dan berat. Walaupun berat, ia masih mudah dihadam dan menyeronokkan. Ia menyertakan banyak watak menarik dalam satu episod bergabung pelbagai konsep dan peristiwa berbeza yang berakhir kerana iterasi berbeza. Guardians if the Galaxy bukan seperti yang anda kenal. The Collector juga bukan pakcik lemah aneh seperti dalam filem, Thor pula watak lucu dan pelbagai variasi lain watak Guardians of the Galaxy dan Black Panther disampaikan dalam penyampaian yang masuk akal.

Sekali lagi gandingan watak, chemistry setiap satu ini masuk dan secucuk. Melihat Chadwick Boseman menjadi Star-Lord juga adalah memuaskan. Sebuah persembahan yang paling menarik.

Episod 3

Daripada satu filem, kepada dua filem, episod tiga boleh dikatakan menggabungkan tiga filem terus. Iron Man 2, The Incredible Hulk dan Ant-Man. Kita tahu dalam Iron Man 2 adalah di mana pengenalan Black Widow bermula dan inisiatif Avengers menjadi semakin aktif. Ia juga adalah episod watak Tony Start paling bermasalah. Anda bayangkan adegan ini dan gabungkan dengan adegan Incredible Hulk di kampus Universiti.

Adegan di mana banyak kali klip ini muncul dalam filem-filem MCU. Adegan ini dipusingkan diubahsuai dan digabungkan dengan Iron Man 2. Tidak cukup dengan itu adegan filem Thor pertama turut dimasukkan bersama dengan pengenalan watak daripada filem Ant-Man.

Episod tiga adalah klimaks atau permulaan kepada siri What If…? Ia juga adalah petanda bagaimana Marvel Studios menggabungkan peristiwa komik Marvel Zombies ke dalam animasi ini. Episod ini penuh dengan aksi menarik, drama memuaskan dan perjalanan cerita menyiasat dan mendedahkan rahsia untuk permulaan sebuah siri yang baik.

Episod 4

Episod empat telah pun kami tonton. Terima kasih kepada Disney atas akses awal untuk tujuan ulasan ini. Kali ini ia memfokuskan kepada watak Dr. Strange, lebih tepat sekali ia adalah cerita alternatif kepada filem pertama Dr. Strange. Ceritanya sangat ringkas, tetapi penuh dengan emosi. Prestasi lakonan suara Benedict Cumberbatch sungguh realistik, penuh dengan emosi dan sangat meyakinkan.

What If…? kali ini adalah kisah cinta di antara Dr. Stephen Strange bersama dengan Christine Palmer. Penyampaian cerita ini cukup baik dan memuaskan. Bagaimana perasaan Dr. Strange terhadap Christine diceritakan dengan baik sekali. Walaupun ia adalah satu konsep yang cukup kita kenal, tetapi untuk ia berlaku di dalam dunia alternatif MCU adalah sungguh tidak disangka.

Muzik latar dalam episod ini juga cukup memuaskan dan sungguh berbeza berbanding episod lain yang mirip dengan filem-filem MCU. Khusus untuk Dr. Strange, ia mempunyai elemen muzik bertemakan cinta, drama dan juga aksi yang ada elemen mistik dan sihir. Skrip yang padat dengan aksi serta pengembaraan Dr. Strange ini akan memuaskan hati semua orang.

Ketika ulasan ini ditulis, ia sudah pun disiarkan di Disney+ Hotstar – iaitu pada 3 petang. Anda saksikan dan nyatakan pendapat anda di ruangan komen. Mungkinkah ini Dr. Strange 2?

Episod 5

Episod kelima adalah antara episod yang ramai nanti-nantikan. Ini kerana dalam komik Marvel What If…?, ia tidak mempunyai kisah zombi. Kisah zombi adalah daripada komik yang berlainan. Premis episod kali ini adalah begitu ringkas. Ia bermula dengan adegan daripada Avengers: Infinity War, di saat Heimdall menghantar Hulk/Bruce Banner kembali ke bumi dan jatuh ke dalam Sanctum Sanctorum. Tetapi beliau terjatuh ke dunia lain.

Majoriti pasukan Avengers seperti yang ada dalam klip 1 minit pertama telah dijangkiti virus. Antaranya adalah Iron Man, Wong, Dr. Strange, Falcon, Hawkeye, Wanda, Captain America dan ramai lagi. Manakala yang selamat hanya segelintir sahaja seperti Spider-Man, Okoye, Black Panther. Episod ini dilihat memberi fokus kepada watak Bruce Banner dan juga nilai heroisme Spider-Man (sayang sekali bukan Tom Holland).

Penceritaan juga agak ringkas, mudah faham dan mempunyai konsep zombi yang berlainan. Semua zombi Avengers dalam episod ini tahu menggunakan gajet-gajet, senjata dan juga kuasa mereka – menjadikan mereka yang baru sahaja dijangkiti sejenis zombi bijak. Cuma interaksi antara adiwira lain itu tidak banyak dan serangan zombinya tidak begitu menggerunkan. Episod ini turut menyertakan watak Kurt, suara sama pelakon David Dastmalchian dalam filem Ant-Man. Watak beliau memberi sedikit ketenangan, iaitu watak yang lucu sama seperti dalam filem.

Episod ini juga adalah episod yang terus dengan aksi yang menarik, kurang drama. Ssauka episod ini, tetapi ia tidak membuatkan aku rasa WOW. Mungkin kerana episod yang pendek, tetapi disumbatnya banyak watak Avengers dan aku tidak puas untuk nikmati setiap aksi. Episod kelima adalah untuk mereka yang inginkan aksi dan kurang drama. Walaupun aku rasa sedikit bosan tonton episod ini, ia masih membuatkan aku dan aku juga yakin anda semua akan terfikir – jika ada zombi Avengers Infinity War versi aksi nyata walaupun pendek – ia pasti menarik.

Episod 6

Episod kali ini menggabungkan filem Iron Man 1, Iron Man 2 dan juga filem Black Panther. Seperti episod sebelum ini, ia adalah kisah yang tersendiri dan tiada kaitan dengan episod lepas serta tiada kaitan dengan filem dalam dunia MCU. Sebaliknya kekal dengan konseo What If…? iaitu kisah yang berlainan atau kisah alternatif berbanding apa yang berlaku dalam garis masa sebenar.

Filem ini memperlihatkan apa jadi kalau Tony Stark tidak diculik oleh The Ten Rings ketika filem pertama dan telah diselamatkan oleh Killmonger. Ia adalah dunia di mana Iron Man tidak wujud, teknologi seakan dron robotik seakan daripada Hammer tech berjaya dihasilkan, serta menceritakan bagaimana jika misi Killmonger daripada filem Black Panther berjaya.

Episod ini menarik, ceritanya juga ringkas dan mempunyai perjalanan cerita yang cukup lancar. Turut kelihatan sedikit elemen daripada Avengers: Age Of Ultron, iaitu sesi urusniaga memperoleh Vibranium – cuma diceritakan daripada sudut lain. Episod ini ada sedikit drama dan padat dengan aksi menarik.

Ia juga memperlihatkan bagaimana Killmonger berjaya memperdaya penonton dengan jayanya. Apa yang tidak menarik adakah suara Tony Start bukan daripada Robert Downey Jr., tetapi oleh Mick Wingert. Ia tidak berjaya memberi impak dan membuktikan tiada siapa boleh gantikan Robert sebagai Tony Starl/Iron Man. Tetapi Michael B. Jordan kekal sebagai watak beliau.

Episod ini turut menyertakan sekali lagi suara mendiang Chadwick Boseman sebagai T’Challa/Black Panther dan turut mempunyai kata-kata semangat yang menyentuh hati.

Episod 7

Episod ketujuh pada hemat saya adalah antara episod yang paling chill dan lucu. Ia mempunyai penceritaan yang menarik, ringkas dan bersahaja. Walaupun begitu, masalah dunia seperti tragedi yang tidak diingini masih ada – mengekalkan elemen MCU yang standard untuk setiap episod. Fokus episod kali ini adalah kepada Thor, yang mana apa jadi kalau Thor adalah anak tunggal dan Loki tidak bersama dengannya sejak kecil?

Perwatakan Thor dalam episod ini menjadikan ia antara episod yang menarik dan akan membuatkan penonton ketawa berdekah. Ia dilihat tidak ambil banyak inspirasi daripada filem sedia ada, ada sedikit elemen filem Thor 1 sahaja. Secara tidak langsung menjadikan episod ini mempunyai penceritaan yang lebih asli dan menarik.

Ia adalah apabila Thor menjadi anak tunggal, di mana Loki tidak membesar bersama dengannya. Ini membuatkan Thor mempunyai personaliti yang berbeza daripada filem asal. Perwatakan Thor adalah seakan Loki, tetapi tidak jahat sebaliknya degil, nakal dan bermasalah. Lebih kepada Thor seakan remaja yang suka berparti dan tidak bertanggungjawab selepasnya. Beliau juga takutkan ibunya, sama seperti seorang remaja.

Banyak watak penting dalam episod ini adalah daripada pelakon sama, tetapi ada juga yang tidak seperti biasa. Cuma cukup menarik untuk lihat Phil Coulson, Thor, Loki, semuanya disuarakan oleh pelakon asal.

Episod yang lucu ini masih ada babak menarik di antara watak Captain Marvel dan Thor. Tetapi Captain Marvel tidak disuarakan oleh Brie Larson. Setiap adegan aksi juga menarik, cuma sayangnya aksi perlawanan antara mereka berdua tidak banyak yang lengkap dan kita tidak dapat lihat Captain Marvel gunakan kuasa beliau sepenuhnya.

Perkara yang membuatkan episod ini kurang ummphh! adalah di penghujungnya yang kelihatan gempak dan menarik, tetapi tiada sebarang petanda sama ada ia akan bersambung atau habis begitu sahaja. Sekali lagi Marvel cuba pancing kita. Apa-apa pun, selepas tujuh episod – ini adalah antara yang saya gemar kerana lucu dan dapat menghiburkan hati.

Episod 8

Sejak episod pertama lagi, watak Uatu iaitu The Watcher hanya berada di ruangan garis masa menjaga dan memantau semua dunia lain melihat segala tragedi dan perkara berbeza yang berlaku dalam dunia Marvel yang berbeza dengan garis masa utama pada filem-filem MCU. Beliau hanyalah di belakang tabir dan sudah bersumpah untuk tidak melibatkan diri kerana itu bukan tugas beliau.

Dalam episod lapan ini, ia memfokuskan kepada watak The Watcher, Ultron, Black Widow, Hawkeye dan Arnim Zola. Ia adalah episod, bagaimana kalau Ultron berjaya pindahkan diri beliau dalam badan sintetik Vision. Dalam filem, Vision sepatutnya adalah Ultron, tetapi berjaya dibendung dan JARVIS pula yang memasuki dalam badan tersebut.

Episod kali ini sedikit intense dari segi aksi. Ini kerana buat pertama kalinya The Watcher mula beraksi dan kita dapat lihat kuasa beliau, kehebatan beliau dan semangat beliau dalam menjaga semua garis masa berlainan atau dunia berlainan Marvel.

Aksi dalam episod ini tidak dinafikan cukup gempak dan menarik. Ada juga elemen ala Dragon Ball Z dengan banyak letusan dan letupan apabila jatuh ke tanah, terbang ke sana dan ke sini memasuki dunia lain, dan kita juga boleh betapa hebat dan bahayanya jika Ultron berjaya dalam Avengers: Age of Ultron.

Watak Arnim Zola, yang kita lihat ada dalam filem Captain America serta dalam Captain America: The Winter Soldier – turut muncul dalam episod ini. Beliau sama seperti dalam filem kedua Captain America, iaitu sejenis AI atau sistem kecerdasan buatan tersendiri menyimpan semua data-data dan masih up-to-date.

Disebabkan penglibatan The Watcher, buat pertama kalinya dengan lebih jelas – kita akan dapat lihat kesinambungan di antara episod ini dan episod masa hadapan ada kaitan. Mungkin ura-ura mendakwa episod akhir akan menjadi gempak seakan Endgame boleh kita saksikan?

Episod 9/Episod Akhir

WOW!!!! Hebat, menarik dan sekali lagi episod ini menarik, tertarik kau memang da bomb!. Perkara yang dijangka selama ini, iaitu setiap episod akhirnya ada kaitan dan bergabung dengan antara satu sama lain untuk watak terpilih bekerjasama. Episod akhir ini bersambung secara terus daripada episod lapan, The Watcher pecah amanah dan meminta bantuan daripada wakil-wakil setiap watak penting dari dunia lain untuk menghentikan Ultron.

Ia juga memperkenalkan pasukan Avengers baharu Guardians of the Multivese. Perjalanan cerita macam biasa, ringkas dan padat. Ada elemen komedi yang baik sekali, ada banyak emosi serta perkembangan watak yang boleh diterima.

Sinematografi seperti koreografi aksi, kesan bunyi, susunan adegan semuanya memang memberikan pengalaman menonton animasi yang lain daripada yang lain. Masih ada rasa mendebarkan itu, cuma ia kurang memuaskan.

Tetapi apa yang cuba disampaikan itu tercapai. Mungkin ada beberapa bahagian yang membuatkan orang tertanya, kenapa ahli ini dan itu terpilih dan bukan watak lain. Inilah Marvel, plot hole mana boleh dipisahkan. Harapnya 20 logline yang masih mereka simpan itu akan disampaikan dalam musim kedua.

Pada asalnya ada 30 logline, 10 logline untuk 10 episod pada musim pertama. Tetapi disebabkan pandemik mereka hanya berjaya siapkan 9 episod dan menjanjikan akan diteruskan dalam musim akan datang di masa hadapan.

Hebat tetapi tak puas!

Macam episod sebelum dan kebanyakan episod lain dalam musim pertama What If…? ini, walaupun ia hebat dan berjaya menarik perhatian peminat semua – durasi episod yang singkat ini adalah tidak memuaskan. Nampak juga ada beberapa bahagian yang sedikit terkejar-kejar yang secara tidak langsung menjadikan impaknya kurang mendebarkan.

Tetapi ia dilihat banyak memberi harapan yang filem sekuel Dr. Strange akan datang ada kaitan dengan animasi ini. Sebab dunia filem adalah daripada universe lain, tidak terkejut kalau versi dunia animasi ini akan berubah menjadi aksi-nyata dan masuk dalam filem Multiverse of Madness akan datang.

Perkembangan Watak Yang Menarik

Episod akhir ini merupakan antara episod kegemaran aku sendiri, kedua pula adalah episod lapan dan yang paling lucu adalah episod pengenalan kepada Party Thor. Menjadikan episod akhir ini lebih menarik adalah ia mempunyai perkembangan watak yang hebat dan lakonan suara yang semakin meyakinkan.

Emosi yang disampaikan menjadi, suara mereka semua menjadikan episod akhir ini benar-benar Avengers Level Threat. Walaupun ada di antara mereka hanya sementara sahaja, tetapi Marvel katakan yang akan ada sambungan lagi pada musim kedua akan datang. Siri animasi Antologi yang akhirnya bersambung di antara dunia berbeza ini juga adalah unik dan sesuatu yang baru.

  • Pelakon suara yang sama dengan filem
    • Nick Fury – Samuel L. Jackson
    • Peggy Carter/Captain Carter – Hayley Atwell
    • Brock Rumlow – Frank Grillo
    • Batroc – Georges St-Pierre
    • Starlord T’Challa – Chadwick Boseman
    • Killmonger – Michael B. Jordan
    • Thor – Chris Hemsworth
    • Doctor Strange/Strange Supreme – Benedict Cumberbatch
    • Arnim Zola – Toby Jones
    • Loki – Tom Hiddleston
    • Ego – Kurt Russell
  • Pelakon suara pengganti
    • Natasha Romanoff/Black Widow – Lake Bell
    • Peter Quill – Brian T. Delaney
    • Tony Stark/Iron Man – Mick Wingert
    • Gamora – Cynthia McWilliams
    • Shuri – Ozioma Akagha
    • Ultron/Ultron Sentries – Ross Marquand

Harapan Untuk Sekuel Dr. Strange

Dengan episod lapan dan terakhir ini, ia memperlihatkan bagaimana Marvel boleh gunakan konsep yang sama untuk Multiverse dalam Dr. Strange in the Multiverse of Madness. Adakah Strange Supreme akan diperkenalkan? Adakah akan ada iterasi aksi nyata untuk salah seorang watak dalam animasi ini? Kalau animasi puncanya adalah Ultron, bagaimana kalau dunia filem aksi nyata puncanya adalah oleh Wanda/Scarlett Witch?

Harap Marvel tidak mainkan perasaan peminat. Sama-sama kita nantikan.


Bentuk Animasi

Selepas menonton empat episod, saya sedari yang sinematografi yang cuba Disney dan Marvel bawakan adalah sangat berbeza dengan mana-mana animasi lain yang pernah disiarkan atau ditayangkan. Malah, mereka turut mengesahkan dengan Aksiz yang semua animasi adalah 100% direka semula dari mula dan inspirasi juga adalah 100% daripada filem-filem MCU dan tidak memandang animasi Marvel lain sebagai contoh.

Setiap adegan dalam semua episod animasi setakat ini, semuanya memuaskan dan menarik. Ia benar-benar memberikan pengalaman menonton seakan menonton filem aksi nyata MCU sedia ada. Jika diteliti, ia ada juga sedikit elemen 3D dan 2D bergabung menjadikan rekaan dan pemandangan dalam semua episod kelihatan berbeza dan unik.

Sudah lima episod ditonton, rekaan watak jika anda perasan juga ada iras pelakon dalam filem aksi nyata. Setiap watak juga direka dengan rekaan yang unik mempunyai identiti tersendiri dan tidak begitu sama dengan kebanyakan animasi lain.

Animasi Tiada Had

Antara sebab animasi ini dihasilkan juga adalah dalam animasi ia tiada had berbanding filem aksi nyata. Contohnya CGI tidak perlu kelihatan realistik, dan masa juga jimat. Pelakon juga boleh direka dengan pelbagai emosi yang lebih menjadi jika seseorang pelakon itu tidak mampu lakukannya di aksi nyata. Begitu juga penceritaan, dalam animasi ia boleh jadi lebih gila.

Disebabkan setiap episod juga diambil berasaskan filem asal, pengalaman menonton juga akan membuatkan penonton yang sedia meminati filem MCU mengenali serta mudah menikmati mengikut watak mengembara dalam dunia asing yang sedang disaksikan oleh The Watcher.

Siapakah The Watcher dalam siri animasi ini?

The Watcher atau nama sebenar berasaskan komik Uatu adalah penyelia kepada garis masa berbeza yang wujud. ‘Beliau adalah kita dan kita adalah beliau’, itu adalah kata-kata daripada pengarah siri TV ini. The Watcher adalah sama seperti kita, penonton kepada siri TV ini. Beliau juga pertama kali menyaksikan semua perkara ini berlaku, kerana kalau tiada garis masa berbeza – beliau tidak akan wujud.

Dalam komik, beliau adalah penyelia garis masa yang dihantar oleh Kang The Conqueror.

Sememangnya saya sendiri tidak sabar untuk nantikan episod keempat dan seterusnya disiarkan. Sementara itu, saya akan ulang siar episod kedua ketiga dan yang akan datang – sama seperti anda, sama seperti Uatu atau lebih dikenali sebagai The Watcher.

Anda boleh baca pendedahan lanjut mengenai siri animasi ini melalui pautan di bawah;

Baca: Apa Yang Patut Anda Tahu Sebelum Tonton Siri Animasi ‘What If…?’ Di Disney+?

Serta musim kedua baginya telah disahkan. Adakah pengakhiran siri animasi ini akan mengaitkan dunia animasi dengan dunia aksi nyata? Semuanya akan menjadi persoalan, Apa Jadi Kalau…? Sama-sama kita nantikan.


What If...?
What If...? iaitu siri animasi antologi pertama Marvel Studios akhirnya tamat dengan episod ke-9. Episod ini memperkenalkan pasukan baharu "Guardians of the Multiverse" yang menggabungkan watak-watak penting daripada episod lalu untuk menghentikan ancaman Ultron yang cuba menghapuskan Multiverse
Positif
Aksi mantap daripada Guardians of the Multiverse
Lakonan suara yang hebat dan penuh emosi
Penceritaan menarik dan ringkas
Negatif
Tidak puas kerana terlampau padat dan durasi pendek
9.5
Skor Ulasan

Sohor Kini