Skip to main content

Siri animasi What If…? adalah siri seterusnya yang anda boleh tonton di Disney+ Hostar tidak lama lagi, selepas Loki. Siri animasi ini akan menceritakan perspektif berbeza daripada garis masa berlainan dalam dunia MCU. Disebabkan apa yang berlaku dalam Loki dan wujudnya variasi berlainan setiap watak, siri animasi ini akan menceritakan kisah watak yang kita kenal – tetapi peranan berbeza.

Jika anda tonton video acah, anda tahu yang Captain Carter adalah Captain America kerana Agent Peggy Carter yang ambil serum Super Soldier, T’Challa adalah Star Lord kerana Yondu salah culik manusia yang sepatutnya iaitu Peter Quill dan ada juga penceritaan Marvel Zombie.

Dalam sesi sidang media untuk siri animasi ini sebentar tadi, Jeffrey Wright (pelakon suara “The Watcher”), Bryan Andrews (pengarah), AC Bradley (penulis skrip) dan Brad Winderbaum (penerbit eksekutif) telah dedahkan beberapa informasi mengenai bagaimana siri TV ini terhasil.


Siapa The Watcher?

The Watcher atau nama sebenar berasaskan komik Uatu adalah penyelia kepada garis masa berbeza yang wujud. ‘Beliau adalah kita dan kita adalah beliau’, itu adalah kata-kata daripada pengarah siri TV ini. The Watcher adalah sama seperti kita, penonton kepada siri TV ini. Beliau juga pertama kali menyaksikan semua perkara ini berlaku, kerana kalau tiada garis masa berbeza – beliau tidak akan wujud.

Dalam komik, beliau adalah penyelia garis masa yang dihantar oleh Kang The Conqueror.

The Watcher cuba mencari hubungan di antara garis masa dalam siri animasi ini dengan garis masa utama MCU dan cuba menilai setiap peristiwa yang berlaku.

Disebabkan Loki masa hadapan untuk MCU juga telah berubah. Sebagai permulaan menceritakan kisah-kisah garis masa lain, Marvel memilih untuk menyampaikan dalam bentuk animasi. Disebabkan watak lakonan suara Jeffrey Wright ini penting, beliau ada banyak potensi di masa hadapan sepertimana wujudnya watak-watak baru dalam MCU sekarang.

What If…? Adalah Siri Antologi

Agent Peggy Carter, atau Captain Carter adalah watak penting dalam siri animasi ini. Beliau yang akan membawa penonton menerokai siri TV ini. Walaupun siri animasi ini adalah sebuah antologi, di mana setiap episod adalah kisah tersendiri. Ia masih ada kaitan di antara satu sama lain. Menghubungkan setiap episod ini adalah Captain Carter yang dikatakan akan banyak kali muncul dalam siri ini.

Marvel mempunyai 30 garis log (logline) untuk siri animasi ini. Tetapi untuk musim pertama, hanya 10 dipilih. Apa yang berlaku dengan baki 20 kisah yang sudah ditulis? Menurut penerbit eksekutif dan pengarah, penonton akan dapat saksikan kisah lain di masa akan datang.

Sama ada dalam musim kedua atau projek Marvel lain. Ada juga potensi kisah-kisah ini dibawakan dalam bentuk aksi nyata. Jika musim kedua diteruskan, Captain Carter dikatakan kekal menjadi pembawa siri ini.

Chadwick Boseman Membawakan Prestasi Terbaik Berbanding Pelakon Suara Lain

Ini adalah satu-satunya cerita Marvel yang peminat semua dapat saksikan prestasi lakonan dan kehebatan Chadwick Boseman. Sebagai tanda hormat, watak beliau T’Challa tidak akan ada lagi dalam mana-mana filem atau siri TV MCU. Jadi, ini adalah penglibatan terakhir beliau yang peminat boleh lihat beliau.

Dalam siri ini (berdasarkan video acah), T’Challa adalah Star Lord. Kenapa beliau dipilih sebagai Star Lord, menurut AC Bradley selaku penulis skrip – semasa menulis skrip setiap poster watak MCU ada di dalam bilik penulis. Mereka menyedari yang Chris Pratt dan Chadwick Boseman adalah sebaya (beza tiga tahun). Mereka berdua yang menarik perhatian para eksekutif dan penulis.

Kemudian, mereka juga tertanya dengan kehebatan Wakanda – bagaimana agaknya jika Raja Wakanda ini menjelajah ke angkasa? Disebabkan itu T’Challa dipilih menjadi Star Lord dalam siri animasi ini.

Dalam siri ini, T’Challa hanya muncul untuk seketika sahaja iaitu untuk satu episod. Walaupun begitu, menurut pengarah – beliau seorang sahaja yang gila bersemangat untuk sampaikan watak baharu beliau. Beliau yang paling gembira dan teruja jika dibandingkan dengan pelakon suara lain. Beliau juga memahami skrip dengan penuh butiran untuk menjayakan watak Star Lord versi beliau.

Tidak Semua Pelakon Kembali Melakonkan Suara

Walaupun siri animasi ini adalah penceritaan alternatif kepada filem sedia ada dalam MCU, dan banyak pelakon sama akan kembali menyuarakan watak baharu masing-masing – tidak semua akan terlibat. Kemudian, daripada 23 filem yang sudah ditayangkan oleh Marvel – bukannya satu episod mewakili satu atau dua filem.

Sebaliknya, satu episod boleh menggabungkan menjadi pelbagai filem menjadi satu dan pelbagai watak yang kita kenal akan muncul dalam satu episod serentak. Antara yang sudah didedahkan adalah Black Widow/Natasha Romanoff bukannya suara Scarlett Johansson dan Peter Parker/Spider-Man juga bukan daripada Tom Holland.

Marvel Zombies Dimasukkan Secara Kebetulan

Marvel Zombies adalah komik edisi khas menceritakan kisah-kisah watak-watak Marvel menjadi zombi. Ia bukannya satu cerita What If...? Semasa dalam proses menulis skrip dan mencari idea, konsep zombi dibentangkan dan ia menarik perhatian Kevin Feigi.

Ia dimasukkan ke dalam siri animasi ini secara kebetulan. Seperti yang kita semua tahu, siri atau filem MCU tidak mengikut jalan cerita komik 100%. Ada penceritaan baru, ada gabungan daripada pelbagai komik dan ada juga iterasi tersendiri. Dengan idea siri animasi What If…? sebagai cerita alternatif MCU, mereka masukkan sahaja Marvel Zombies dalam siri ini.


Siri animasi ini akan disiarkan di Disney+ Hotstar pada 11 Ogos akan datang. Ia akan mempunyai 10 episod dan akan disiarkan setiap minggu.

Leave a Reply