Saya sudah meluangkan puluhan jam bermain Hades di Nintendo Switch, ia adalah antara permainan terbaik yang dikeluarkan pada tahun lepas dan tidak mengejutkan apabila tersenarai sebagai salah satu calon untuk Anugerah Permainan Terbaik di Game Awards 2020.
Walaupun, terlepas anugerah tersebut yang dimenangi oleh The Last of Us Part II, yang juga layak untuk memenanginya, akan tetapi saya pasti ramai pemain yang pernah mencuba permainan ini, tidak akan terkejut jika ia memenanginya.
Oleh itu, apabila Private Division penerbit yang bertanggungjawab membawa versi PlayStation dan Xbox ke pasaran Asia Tenggara, saya menerimanya dan bersedia untuk bermainnya sekali lagi.
Tidak mengejutkan, apabila saya memulakan sesi baharu di PlayStation 5, saya ‘jatuh cinta’ sekali lagi dengan permainan ini dan dengan kualiti grafik serta kelancaran yang lebih baik, ia sudah semestinya satu versi yang lebih baik.
Walaupun permainan ini menggunakan judul Hades, namun, ia adalah permainan mengenai Zagreus iaitu anak kepada Hades yang bagi mengikut mitos yunani merupakan tuhan kepada neraka. Zagreus bertekad untuk keluar daripada neraka dan naik ke dunia luar.
Sebagai seorang putera yang boleh dikatakan adalah pewaris kepada neraka ini, Hades sangat tidak menyukai perancangan tersebut dan meminta pahlawan-pahlawannya untuk menghalang Zagreus daripada berjaya keluar daripada neraka tersebut.
Itu adalah premis permainan ini, Zagrues akan terus mencuba dan mencuba sehinggalah berjaya. Sebagai satu permainan roguelite, setiap kali Zagreus mati, dia akan kembali kepada permulaan. Permainan ini berjaya menggunakan bentuk permainan tersebut untuk mengembangkan lagi penceritaan.
Hades akan menghalang Zagrues dan tidak tidak kisah anaknya itu mati kerana dia tahu yang Zagrues akan hidup semula, manakala Zagrues juga tidak berdendam dengan sesiapa sahaja yang membunuhnya kerana dia tahu, dia akan mempunyai peluang untuk mencuba nasib sekali lagi.
Ini juga akan memberi perbualan yang menarik di antara mereka, tidak terlalu mendatar dengan perasaan “benci” ataupun watak jahat, sebaliknya kesemua watak adalah dalam keadaan neutral. Jika Zagrues kalah, mereka akan mengherdik, jika mereka kalah, mereka lebih kepada terasa malu. Ia adalah satu dinamik yang baik.
Jika tuhan-tuhan yang berada di Neraka cuba menghalang Zagrues, berlainan pula dengan tuhan-tuhan yang berada di dunia, seperti Zeus, Poseidon dan Athena. Mereka akan membantu Zagrues dengan memberi ‘boon’, iaitu kuasa yang akan mempunyai elemen berdasarkan kuasa tuhan tersebut.
Mereka juga akan mempunyai dialog yang menarik dengan Zagrues, jika tuhan-tuhan di Neraka cuba memujuk untuk dia berhenti mencuba, tuhan-tuhan dunia ini pula akan terus memberi kata-kata semangat. Sekali lagi, ia memberi satu dinamik yang sangat baik.
Walaupun saya sudah meluangkan masa berpuluh jam bermain permainan ini, akan tetapi sentiasa ada dialog-dialog baharu yang tidak membuatkan konsep roguelite ini terasa terlalu berulang, satu perkara yang membuatkan saya tidak sangat menyukai genre ini dan Hades berjaya mengurangkan-nya.
Saya sudah mencuba pelbagai permainan roguelite, seperti Returnal yang saya baru ulas sebelum ini, Slay the Spire, Dead Cells, Spelunky, Into the Breach dan pelbagai lagi, walaupun setiap daripadanya adalah permainan yang baik, seronok untuk dimainkan akan tetapi selepas satu masa saya akan hilang minat untuk meneruskannya.
Ia adalah berbeza dengan Hades, tidak kira berapa puluh kali saya mati ataupun bertempur dengan tuhan yang sama, ia tidak terasa berulang dan membosankan. Ini dibantu oleh penceritaan serta dialog yang sangat dinamik seperti saya nyatakan di atas, selain itu ia juga mempunyai beberapa bentuk permainan yang digunakan dengan baik.
Pertama adalah ‘Boon’, iaitu kuasa yang diberikan oleh tuhan-tuhan di dunia kepada Zagrues untuk membantunya di dalam usaha melarikan diri. Boon ini akan diberikan oleh 10 tuhan yang berbeza dan setiapnya mempunyai pelbagai kelebihan yang unik.
Kepelbagaian boon ini menjadikan setiap sesi permainan berbeza, selepas bermain dan mencuba berulang kali saya mempunyai satu pilihan boon yang paling sesuai akan tetapi ia tidak sentiasa boleh dilakukan, ada masa ia sangat berlainan dengan apa yang dijangkakan.
Ini akan membuatkan saya untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan kebarangkalian yang saya tidak akan mendapat boon yang diinginkan dan cuba melakukan terbaik dengan apa yang ada.
Selain boon, terdapat juga pilihan senjata yang berbeza iaitu 6 kesemuanya, dan setiap-nya akan mempunyai gaya serta kelebihan tersendiri. Mengubah senjata bermakna saya perlu mengubah gaya bermain, ada masa memilih sesuatu senjata akan memberikan kelebihan untuk menggalakkan penggunaan senjata yang berbeza-beza.
Setiap senjata ini juga akan memberikan pilihan boon yang berbeza, gabungan pilihan untuk kedua-dua ini sangat membantu untuk memastikan setiap sesi anda bermain sentiasa terasa segar. Walaupun pada asasnya saya masih melalui satu kawasan serta bertempur dengan penjahat yang berbeza.
Perkara kedua yang yang dilakukan dengan baik di dalam permainan ini adalah tiada satu sesi terasa membazir. Ini adalah kerana Hades menyertakan pelbagai barangan yang barangan yang akan terus kekal walaupun mati. Antaranya adalah Chthonic Key, Darkness, Gemstones dan Nectar.
Terdapat juga barangan yang diperoleh selepas mengalahkan bos menggunakan senjata-senjata berbeza iaitu Titan Blood, Diamond dan Ambrosia. Setiap daripada barangan ini akan membantu untuk memberikan kuasa yang lebih baik pada permulaan, dengan kata lain memudahkan sedikit sesi permainan.
Walaupun bermula dari awal semula, walaupun telah melalui beberapa peringkat, akan tetapi setiap daripadanya akan serba sedikit akan memudahkan untuk sesi berikutnya. Ia juga membuatkan setiap sesi permainan tidak semestinya adalah sesi yang anda ingin habiskan sehingga penamat, saya sering melakukan sesuatu sesi dengan sekadar memfokuskan untuk mendapatkan sebanyak mungkin barangan-barangan tersebut.
Ketiga adalah tempoh untuk setiap sesi adalah tidak terlalu lama, ini mungkin adalah rungutan utama saya untuk sesetengah permainan roguelite, setiap satu sesi mengambil masa terlalu lama untuk dihabiskan melainkan saya mati terlalu awal.
Di dalam Hades, boleh dikatakan satu sesi dari mula sehingga adegan terakhir akan mengambil kurang daripada 40 minit, oleh itu setiap sesi tidak terlalu rasa membosankan. Jika anda mati lebih awal, ia akan mengambil masa yang lebih sedikit.
Perkara ini yang membuatkan saya sentiasa mengambil peluang untuk bermain, walaupun saya tahu tidak mempunyai tempoh untuk bermain yang lama. Dengan kata lain, “satu sesi sahaja lagi”. Selepas pemain menyelesaikan satu sesi sehingga terakhir buat pertama kali, disebabkan perkara di dalam penceritaan, pemain akan meneruskan sesi permainan.
Selain itu, pemain juga boleh memilih pelbagai tetapan lain untuk menjadikan setiap sesi lebih sukar tetapi akan diberi ganjaran untuk mempertingkatkan tahap senjata.
Permainan ini “benar-benar” berakhir selepas menghabiskan sejumlah sesi permainan pemain akan mendapat adegan terakhir dan kredit juga akan dikeluarkan, walaupun begitu permainan masih lagi memberi sebab untuk pemain terus bermain.
Ketiga-tiga perkara yang saya nyatakan di atas adalah antara sebab utama yang membuatkan saya tidak terasa ‘kelesuan roguelite’ sepertimana permainan-permainan genre sama yang saya cuba sebelum ini. Walaupun sudah bermainnya di Nintendo Switch, apabila mencuba bermain di PlayStation 5 saya sekali lagi bagaikan ketagih untuk terus bermainnya.
Kesemua ini dibantu lagi dengan sistem pertempuran di dalam Hades sangat menyeronokkan, tidak kira senjata apa yang digunakan ataupun boon apa yang diperoleh, pertempuran sentiasa bergerak pantas. Jika saya berhenti, saya akan diserang.
Pergerakan yang pantas, serangan daripada pelbagai sudut, tambahan penggunaan kuasa, ia benar-benar mempunyai sistem pertempuran yang berkualiti tinggi. Walaupun ada masa yang ia tidak memberi ruang untuk saya melakukan sebarang strategi sebaliknya terus dan terus menyerang.
Saya mendapatkan permainan ini pada awalnya di Switch kerana saya ingin bermainnya semasa perjalanan pergi dan pulang dari pejabat, ia dimainkan dengan baik dan mencapai 60FPS di kebanyakan tempat, dan ia menjadi lebih baik untuk PlayStation dan juga Xbox Series.
Di PlayStation 5 dan Xbox Series ia menggunakan resolusi 4K dengan kadar kelancaran sehingga 60FPS, manakala di PlayStation 4 dan Xbox One ia dimainkan dengan resolusi 1080p dengan kadar kelancaran sehingga 60FPS. Ia adalah perkara yang baik untuk pembangun menyasarkan 60FPS di kesemua konsol termasuk juga untuk Nintendo Switch.
Semasa saya bermainnya di PlayStation 5 saya tidak pernah merasai sebarang kelancaran jatuh ataupun terjejas walaupun semasa pelbagai serangan sedang berlaku dengan partikel memenuhi ruang. Saya merasakan yang PS5 dan Xbox Series X mampu untuk mencapai FPS yang lebih tinggi akan tetapi menurut pembangun Hades menggunakan rekaan grafik dan animasi yang paling bersesuai digunakan dengan kadar kelancaran 60FPS.
Seperkara yang mengecewakan, sekurang-kurangnya buat masa ini Hades untuk PlayStation dan Xbox tidak menyokong fungsi rentas kemajuan sepertimana di PC dan juga Nintendo Switch, akan tetapi ia mungkin akan disertakan kemudian.
Bagi rekaan grafik dan animasi, Hades juga adalah satu permainan yang sangat cantik. Tidak kira mana-mana peringkat, setiapnya membawa rekaan tersendiri. Tidak kira di bahagian dalam satu istana, ataupun tempat yang dipenuhi lava dan juga kawasan hijau yang dipenuhi dengan tumbuhan.
Rekaan-rekaan watak juga menarik dan pelbagai, tambahan lagi watak-watak tuhan walaupun tidak semua hadir secara terus di dalam permainan.
Muzik di dalam permainan ini juga berada di kelas yang tersendiri, ada masa saya mati kerana hilang fokus daripada pertempuran kerana terlalu asyik mendengar muzik runut yang sedang dimainkan. Begitu juga untuk lakonan suara untuk setiap watak, semua membawa perwatakan tersendiri yang sangat-sangat baik.
Hades adalah permainan terbaik tahun lepas, dan kini ia dikeluarkan untuk PlayStation dan Xbox. Genre roguelite mungkin tidak digemari oleh sesetengah pemain, akan tetapi Hades mempunyai bentuk permainan ditambah lagi dengan penceritaan yang menarik untuk ia memenuhi kehendak pemain yang menggemari genre ini, dan pemain yang tidak biasa dengannya.
Saya boleh katakan ia adalah permainan pertama di dalam genre ini yang benar-benar membuatkan saya ingin terus bermain, iaitu magis yang sudah kebiasaan untuk roguelite akan tetapi hanya Hades yang berjaya memberikannya kepada saya.
Ia dibantu oleh beberapa aspek permainan yang menjadikan setiap sesi tidak kira mati terlalu awal, ataupun selepas menyelesaikan sesi tersebut, ia tidak terasa rugi dan sentiasa ada perkara yang menjadikan sesi tersebut berbaloi. Ini ditambah lagi dengan sistem pertempuran yang menyeronokkan.
Semua ini akhirnya membantu untuk mengurangkan kelesuan yang saya sering rasa daripada permainan-permainan roguelite lain dan Hades adalah permainan menyeronokkan walaupun berpuluh kali, ataupun ratus kali anda mengulangi daripada awal.
Penafian: Permainan Hades untuk PlayStation 5 disediakan oleh Private Division. Hades sudah dilancarkan untuk Nintendo Switch dan PC. Ia akan tiba untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One dan Xbox Series pada 13 Ogos 2021. Ia juga ditawarkan di dalam Xbox Game Pass.