Seperti diumumkan sebelum ini, Panic Inc telah memulakan sesi pra-tempahan untuk konsol mini Playdate mereka pada 29 Julai, di mana mereka mengumumkan mereka menyasarkan untuk membuat penghantaran pertama pada akhir tahun ini, akan tetapi ia adalah terhad kepada 20 ribu unit sahaja. Penghantaran selanjutnya adalah pada tahun 2022.
Seperti diumumkan oleh Panic Inc sebelum ini, mereka juga terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang bermula pada 3 Julai lepas telah mengakibatkan kilang-kilang yang bukan penting diarah untuk ditutup. Ia juga melibatkan kilang elektronik yang memasang konsol Playdate.
Dengan jumlah yang terhad, ia tidak mengambil masa yang lama untuk kesemua unit tersebut habis di pra-tempah, menurut Panic Inc, ia mengambil masa 20 minit sahaja. Walaupun begitu, Panic Inc tidak akan menutup sesi pra-tempahan, sebaliknya ia akan terus dibuka dan jangkaan tahun ia akan diantar adalah pada tahun 2022.
Buat masa ini sesi pra-tempahan adalah terhad kepada beberapa negara sahaja, walaupun dikilangkan di Malaysia akan tetapi tidak termasuk di dalam senarai tersebut. Sebaliknya, Panic Inc sedang mencari cara terbaik untuk menjual konsol tersebut bagi peminat tempatan.