Tidak banyak informasi yang HBO Max atau DC kongsi mengenai musim ketiga siri TV Titans. Setakat yang kita tahu Jason Todd adalah Red Hood, Scarecrow dan Barbara Gordon akan muncul dalam siri TV ini. Ia juga adalah musim baharu yang menjadi siaran eksklusif di HBO Max tidak lagi di DC Universe.

Video acah baharu ini memperlihatkan pelbagai aksi menarik dan mempunyai jalan cerita yang cukup menarik. Kebanyakan elemen di dalam ini sungguh berkait rapat dengan Batman. Kita boleh lihat yang Jason naik ingin atas sesuatu yang berkait dengan badut. Mungkin Joker? Adakah Warner Bros., DC dan HBO Max ingin hasilkan satu lagi watak Joker untuk dunia siri TV DC HBO Max?

Disebabkan hal ini, beliau telah berubah menjadi Red Hood. Dalam komik Jason mati terlebih dahulu sebelum berubah, dalam siri TV tidak pasti lagi apakah peristiwa spesifik yang menyebabkan transformasi beliau? Scarecrow/Dr. Jonathan Crane lakonan Vincent Kartheiser juga dilihat muncul buat pertama kali. Beliau dilihat dipenjarakan di Arkham Asylum dan menjadi penasihat untuk menghentikan Red Hood.

Starfire (lakonan Anna Diop) dilihat kini beraksi dengan kostum penuh untuk bertempur dengan Blackfire (lakonan Damaris Lewis) iaitu adik beliau. Kita juga dapat melihat Savannah Welch berlakon sebagai Barbara Gordon. Beliau dilihat berada dalam kerusi roda, mirip dalam watak dalam komik. Aksi Superboy (lakonan Joshua Orpin menggantikan Brooker Muir pada musim pertama) dan Krypto the Superdog juga dapat dilihat

Di samping itu, Burce Wayne dilihat telah ‘pencen’ dan menasihati Dick untuk menjadi Batman yang lebih baik.

Tidak pasti sama ada siri TV Titans ini akan disiarkan di Netflix ataupun tidak. Biasanya selepas selesai satu musim di DC Universe, Netflix akan siarkannya. Kini dengan hak siaran telah beralih kepada HBO Max, tidak pasti bagaimanakah siri TV ini dapat ditonton oleh pengguna di Malaysia. Di Netflix Malaysia tiada sebarang petunjuk yang ia akan tiba, dan masih kekal menyiarkan musim pertama dan kedua. Sama juga pada HBO Go Asia, yang tidak menyiarkan langsung siri TV ini.

Di HBO Max, Musim Ke-3 Titans akan disiarkan pada 12 Ogos dengan 3 episod. Episod ke-4 akan disiarkan pada 19 Ogos, iaitu setiap hari Khamis sehinggalah 21 Oktober dengan 13 episod. Mungkin kita akan mendengar khabar daripada HBO Go Asia atau Netflix sekitar penghujung siaran di HBO Max tamat? Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini